Isnin, 28 March 2022 | 11:15am
Istana Negara. - Foto fail NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Istana Negara. - Foto fail NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Perlembagaan imbangi amalan demokrasi, kedaulatan Raja Melayu

KEFAHAMAN yang betul mengenai demokrasi di sisi sistem Perlembagaan dan asas kenegaraan Malaysia perlu dipupuk kepada rakyat bagi memastikan kekeliruan yang masih ada tidak menggugat kedudukan Islam dan adat Melayu dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Demokrasi adalah perkataan Greek yang dibina daripada dua patah perkataan iaitu 'demos' dan 'kratos' yang bermaksud pemerintahan rakyat.

Secara amalannya, demokrasi dimanifestasi melalui Parlimen atau badan perwakilan yang berpaksi kepada doktrin kedaulatan rakyat.

Doktrin kedaulatan rakyat bermaksud rakyat adalah pemilik kuasa agung di dalam sebuah wilayah pemerintahan dan tiada kuasa yang lebih tinggi daripadanya.

Oleh kerana rakyat adalah pemilik kuasa agung, maka sebuah kerajaan dan pemerintahan hanya sah jika diperintah oleh rakyat melalui wakil dipilih melalui proses yang dipersetujuinya.

Terdapat pelbagai wajah demokrasi di dunia pada hari ini. Secara prinsipnya apabila kedaulatan terletak pada rakyat, maka rakyat berhak untuk menggubal, meminda dan memansuhkan sebarang undang-undang mengikut kehendak majoriti perwakilan yang dipilihnya secara mutlak.

Di Malaysia, masih ramai mendakwa sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dikawal demokrasi Westminster, seperti juga demokrasi berperlembagaan di Amerika Syarikat (AS) bersumberkan kedaulatan rakyat.

Rakyat di Britain menubuhkan Parlimen dan mengembalikan pemerintahan beraja mereka secara bersyarat selepas 'The Glorious Revolution, 1688'.

Kedaulatan tidak lagi terletak pada Raja Britain, tetapi kedudukan itu dinikmati kerana baginda berada di Parlimen Britain.

Terdapat perbezaan dengan demokrasi di AS kerana kedaulatannya terletak pada perlembagaan diinstitusikan 13 pemimpin koloni Amerika utara pada 1776.

Perlembagaan AS mengisytiharkan kedaulatan rakyatnya berteraskan enam matlamat utama yang termaktub di dalamnya.

Jika diperhatikan peruntukan Perlembagaan dan sejarah perundangan yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, kuasa kedaulatan terletak pada Raja-raja Melayu, termasuk apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Meskipun berlaku krisis Perlembagaan yang membawa kepada pindaan beberapa peruntukan utama Perlembagaan, kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu masih terpelihara.

Pada hakikatnya, Malaysia tidak menerima doktrin demokrasi Westminster secara mutlak. Sistem Perlembagaan dalam kerangka undang-undang tempatan hanya menerima beberapa bentuk amalan demokrasi.

Amalan demokrasi di Malaysia tidak menjadikan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berkedudukan sebagai badan tertinggi. Sistem demokrasi di Malaysia adalah demokrasi berperlembagaan.

Badan perundangan boleh menggubal undang-undang melalui suara majoriti, tetapi banyak perkara juga tertakluk persetujuan Majlis Raja-raja.

Sistem Perlembagaan di Malaysia berevolusi melalui perkembangan Perlembagaan yang berakar umbi pada watannya, bukan daripada rahim Westminster.

Begitu juga pemakaian prinsip common law dan kaedah ekuiti dalam pentadbiran keadilan dibataskan Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972).

Dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, amalan demokrasi juga perlu berperlembagaan.

Justeru, rakyat berhak untuk memilih wakil mereka dan Raja berkuasa untuk membentuk syura kerajaan baginda.

Perkara 181(1) Perlembagaan mengekalkan kedaulatan Raja-raja Melayu yang fungsi kuasa baginda terdiri dari aspek legislatif, eksekutif dan kehakiman dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Pihak yang melaksanakan fungsi kuasa baginda dikehendaki taat setia kepada Perlembagaan seperti dilafazkan mengikut Jadual Keenam.

Perkara 4(1) mengesahkan ketinggian Perlembagaan yang mengatasi kedudukan Parlimen dan DUN. Justeru, istilah demokrasi tidak disebut dalam Perlembagaan.

Kedua-dua peruntukan di atas menunjukkan kedaulatan Raja dan Keluhuran Perlembagaan adalah governan utama Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu diletakkan kewajipan untuk memerintah dengan adil, memelihara agama Islam serta kedaulatan undang-undang sesuai dengan kedudukan sebagai pemerintah tertinggi dan ketua agama Islam dalam bidang kuasa masing-masing.

Raja-Raja Melayu menurut adat Melayu dan undang-undang bertulis sejak sebelum hari merdeka berkedudukan sebagai pemegang amanah kuasa kedaulatan milik Allah SWT.

Kedudukan dimanifestasikan melalui sumpah Yang di-Pertuan Agong dan kewajipan Raja-Raja Melayu menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melayu masing-masing.

Sumpah Yang di-Pertuan Agong serta kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan negeri beraja khususnya juga menjadikan patuh syariah sebagai prinsip kedaulatan negara.

Prinsip ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan Islam sebagai law of the land dan adat Melayu yang sekian lama menjadi struktur asas perlembagaan watan.

Pemerintahan pada peringkat Persekutuan dan negeri yang dilaksanakan melalui sistem legislatif dan eksekutif pada hari ini bukan suatu yang baharu.

Kedua-duanya masih berkonsepkan syura cuma bezanya ahli badan legislatif dan eksekutif dipilih dalam kalangan wakil rakyat atas nasihat Perdana Menteri dan Menteri Besar.

Oleh itu, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja yang tidak dibataskan oleh peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tidak boleh dinafikan dengan hanya ungkapan slogan demokrasi.

Raja dan mereka yang menganggotai syura dalam pelbagai bentuk menurut undang-undang perlembagaan berkewajipan menegakkan patuh syariah sebagai prinsip kedaulatan Malaysia.

Pada hakikatnya, Perlembagaan mengekalkan prinsip kedaulatan diwarisi sebelum hari merdeka iaitu kewajipan pemerintah melaksanakan pemerintahan adil dalam amalan syura berlandaskan undang-undang mendukung amalan patuh syariah.

Itulah maksud sebenar kedaulatan undang-undang dan ciri demokrasi yang diterima pakai.

Penulis adalah Pengasas Jurisprudens Watan

Berita Harian X