Selasa, 15 March 2022 | 11:03am
Pengundi muda perlu didedahkan dengan pelbagai program literasi politik bertujuan mendidik tanggungjawab mereka merealisasikan Demokrasi Berparlimen. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengundi muda perlu didedahkan dengan pelbagai program literasi politik bertujuan mendidik tanggungjawab mereka merealisasikan Demokrasi Berparlimen. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

SPR perlu kaji punca peratusan keluar mengundi rendah

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu menunjukkan ciri-ciri tersendiri dalam rekod pilihan raya negara.

Apa yang pasti, tanda-tanda Barisan Nasional (BN) akan menang besar pada PRN Johor dikatakan dapat dilihat menerusi kaji selidik dilakukan pemerhati dan penganalisis ketika pra pilihan raya.

Berdasarkan petunjuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini, PRN Johor menunjukkan tanda-tanda rakyat tetap menaruh keyakinan kepada keupayaan BN menjadi kerajaan.

Parti selain BN pula dilihat seperti teraba-raba serta gagal mengangkat cakna dan falsafah 'rakyat didahulukan'. Namun, PRN Johor agak mengejutkan kerana 53 peratus pengundi daripada 2.5 juta pengundi keluar mengundi.

Ia sesuatu yang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk parti politik perlu mengkaji punca sebenar mengapa pengundi tidak keluar mengundi.

Peratusan pengundi yang rendah ini petunjuk penting dalam proses pilihan raya negara. Kerajaan berbelanja jutaan ringgit untuk melaksanakan PRN Johor, justeru keengganan pemilih keluar mengundi sesuatu yang amat malang.

Senario ini pernah direkodkan dalam beberapa PRN dan PRK sebelum ini. Bermakna, perlu ada mekanisme untuk mengukur mekanisme pilihan raya dan kesediaan pengundi keluar mengundi sebelum kerajaan membuat keputusan membubarkan Parlimen atau mengadakan pilihan raya.

Jika tidak, perbelanjaan mengadakan pilihan raya itu hanya satu pembaziran. Ia seolah-olah menunjukkan 'orang enggan hadir ke majlis perkahwinan' walaupun ia dianjurkan secara gilang-gemilang'.

Sementara itu, jangkaan pengundi baharu, terutama kumpulan Undi18 akan menjadi penentu kepada PRN Johor ternyata amat meleset.

Faktor pengundi 18 tahun yang digembar-gemburkan sangat penting dalam menentukan keputusan PRN Johor, amat mengecewakan, walaupun kebanyakan parti menampilkan calon 'muda, segar dan bersih'.

Di sini, kelulusan akta Undi18 ini wajar diisi dengan pelbagai program literasi politik, iaitu mendidik generasi muda tanggungjawab mereka merealisasikan Demokrasi Berparlimen.

Subjek kenegaraan dan politik di sekolah atau universiti perlu menerapkan pendekatan kepada pengundi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan dididik untuk 'mengundi siapa' berbanding memilih calon 'undilah saya'.

Dalam aspek lain, SPR boleh dikatakan menjalankan proses penamaan calon, berkempen dan pengundian dengan profesional, cekap dan lancar.

Parti yang bertanding juga didapati mengambil bahagian dengan disiplin tinggi, tiada insiden boleh mencacatkan proses dan sistem pilihan raya.

Namun, parti dan calon yang tewas masih menggunakan modal 'undi popular' untuk menjustifikasi keputusan PRN Johor. Perbandingan terhadap undi popular diterima parti selalunya menjadi taruhan.

Mereka yang gagal membentuk kerajaan, tetapi menang di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) enggan menerima kenyataan kaedah menentukan calon dan parti menang adalah menerusi sistem first past the post yang diterima pakai lebih 60 tahun.

Jika ada pihak menyatakan ada sesetengah pihak sahaja mendapat manfaat daripada sistem ini dan akhirnya kerap memenangi pilihan raya, hujah ini mungkin benar atau mungkin boleh disangkal.

Tiada sesiapa dapat menyangkal pilihan raya ialah permainan nombor. Justeru, nombor harus dikuasai mengenai kebarangkaliannya.

Dalam hal ini, ada sesuatu yang agak menghairankan apabila ada parti berusia 'setahun jagung' sanggup meletak calon ramai sedangkan mereka belum dapat membuktikan dapat diterima rakyat.

Selain itu, ada parti berkali-kali hilang wang deposit, tetapi masih menggunakan strategi sama dan masih mahu bertanding banyak kerusi.

Parti dan calon ini boleh memberi seribu alasan bertanding dalam PRN Johor seperti mahu memeriahkan proses demokrasi, meneruskan perjuangan dan test market, tetapi ia seperti strategi politik yang tidak kena, kemudian menyalahkan pula sistem pilihan raya apabila tewas.

Pasca PRN Johor, sudah tentu kerajaan baharu akan dibentuk dan bertanggungjawab memerintah serta mentadbir mengikut acuan manifesto dijanjikan kepada rakyat.

Dalam usaha kerajaan baharu ini meneruskan pentadbiran, pihak pembangkang pula perlu berusaha menjadi kelompok konstruktif dan matang, menegur serta tetap menyokong kepemimpinan negeri yang baharu dipilih demi kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Apa yang diharapkan, kualiti pilihan raya negara akan terus meningkat dan menjadi penanda aras proses demokrasi terbaik di dunia sama ada dari sudut falsafah, sistem atau prosesnya.

Kini sampai masanya untuk semua pihak duduk semeja dan membawa kepentingan rakyat dan negara ke hadapan dan meletakkan perbezaan dan permusuhan ke belakang.

Harapan rakyat Johor kini menjadi tanggungjawab BN, parti paling berpengalaman memerintah di negara ini, sama ada pada peringkat kerajaan negeri atau Persekutuan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X