Isnin, 14 March 2022 | 11:19am
PRN Johor mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi sangat rendah iaitu 54.92 peratus. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
PRN Johor mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi sangat rendah iaitu 54.92 peratus. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Strategi pembangkang gagal tawan hati pengundi Johor

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir kelmarin menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang majoriti melebihi dua pertiga apabila berjaya meraih 40 daripada 56 kerusi yang ditandingi.

Walaupun BN memenangi PRN Johor dengan selesa, namun keputusan ini juga menimbulkan persoalan kerana pembangkang walaupun berada dalam satu gabungan tetapi seperti 'tidur sebantal mimpi lain-lain'.

Perikatan Nasional (PN) yang disertai BERSATU, PAS dan GERAKAN boleh disifatkan 'gagal' dalam langkah mereka untuk menyaingi BN.

Timbul persoalan adakah parti atau pemimpin dalam PN terutama Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih relevan dalam arus politik baharu.

Kerjasama BERSATU, PAS dan GERAKAN nampaknya tidak mendatangkan impak yang besar apabila PN hanya menang tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani. Malah DUN Gambir yang sebelum ini disandang Muhyiddin juga berjaya dirampas BN.

Pakatan Harapan (PH) pula yang sering membayangi BN, hanya bergantung kepada DAP untuk meneruskan cabaran mereka di Johor dan berjaya menang 10 kerusi daripada 16 kerusi ditandingi manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) menang satu kerusi daripada 20 kerusi.

Sementara itu, strategi PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri dalam PRN Johor ini juga nampaknya 'tidak menjadi' apabila hanya memenangi satu kerusi daripada 20 kerusi ditandingi iaitu DUN Bukit Batu.

PRN Johor mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi sangat rendah iaitu 54.92 peratus. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
PRN Johor mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi sangat rendah iaitu 54.92 peratus. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Keputusan ini menjadi tamparan hebat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas parti itu tidak mampu menyaingi BN atau parti lain dalam usaha merebut hati pengundi.

Adakah keberadaan PKR dalam pentas politik negara juga masih relevan kerana jika dilihat rekod penyertaan parti itu dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak, jelas sekali ia 'semakin hilang taring'.

Penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Angkatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan (WARISAN) dan parti lain dilihat seperti sekadar mencuba nasib atau test market tetapi impaknya menyebabkan undi Melayu terus terpecah sama ada pada BN atau PN.

Seperkara yang dapat dilihat, undi kaum Cina dan India juga kembali kepada BN. Ini dapat dilihat MCA memenangi empat DUN iaitu Bekok, Yong Peng, Paloh dan Pekan Nanas manakala MIC menang di DUN Kemelah, Kahang dan Tenggaroh.

Kejayaan selesa BN itu sebenarnya dikatakan sudah dijangka sejak awal walaupun jumlah peratusan keluar mengundi sangat rendah iaitu 54.92 peratus, antara paling rendah pernah direkodkan dalam sejarah pilihan raya negara.

Beberapa pihak termasuk penganalisis politik tempatan menyatakan antara faktor utama jumlah peratusan undi sangat rendah itu kerana fenomena kelesuan politik membuatkan pengundi bosan sekali gus menjauhi politik dan memilih untuk enggan keluar mengundi.

Ia turut dipengaruhi sikap pengundi baharu atau muda yang tidak keluar mengundi terutama di kawasan bandar selain pengundi luar Johor yang tidak pulang mengundi selain undi kaum Cina yang rendah.

Undi pos pekerja Malaysia di Singapura juga amat rendah, membabitkan sekitar 7,000 pengundi pos sedangkan terdapat 200,000 golongan berkenaan di republik itu.

Jumlah pemohon undi pos yang rendah itu dikatakan disebabkan isu teknikal berlaku pada laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila banyak permohonan pekerja Malaysia di Singapura ditolak secara automatik dan tidak diatasi sehingga tarikh permohonan ditutup.

Isi teknikal ini seharusnya dapat ditangani sebaik mungkin untuk memastikan sistem dan perjalanan pilihan raya negara diyakini, berjalan dengan telus dan lancar.

Sementara itu, pihak yang 'bising-bising' mendakwa pembangkang lebih mendapat sokongan pengundi jika merujuk kepada undi popular diraih berbanding BN harus menerima hakikat yang kemenangan kini di pihak BN kerana penentuan parti yang menang dalam pilihan raya negara ditentukan mengikut sistem first past the post.

Namun, keputusan PRN ini turut memberi isyarat, jika parti lain mahu menyaingi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mereka sekurang-kurangnya perlu mewujudkan kerjasama dalam satu gabungan terbuka seperti dilakukan pada PRU-14.

Jika ia tidak dilakukan, PRU-15 akan mengulangi episod sama seperti PRN Melaka dan Johor, parti lain terutama PN dan PH 'jangan mimpi' hendak atau dapat menyaingi BN.

Di pihak BN pula, undi popular diraih PN dan PH seharusnya menjadi 'wake up call' kerana ia menjadi petunjuk pengundi lebih menyokong pembangkang berbanding BN.

Justeru, BN perlu berwaspada dan berhati-hati untuk mengharungi PRU-15 jika Parlimen dibubarkan kerana fakta peratusan undi daripada PRN Johor dan Melaka jelas menunjukkan trend kecenderungan pengundi kepada pihak mana. 'Tepuk dada tanya selera'.

Begitu pun, penganalisis berpendapat kemenangan selesa BN pada PRN Johor dan PRN Melaka bukan petunjuk sebenar rakyat menerima semula parti itu, sebaliknya ia disebabkan kebijaksanaan BN dan UMNO merangka strategi dan taktikal untuk menang di setiap DUN.

"Ia bukan kemenangan menyeluruh atau kemenangan mutlak sebaliknya taktikal bersandarkan situasi, demografi, geografi dan psikografi pengundi di Johor sendiri," kata Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Katanya, pola pengundian dilihat hanya membabitkan akar umbi dan pengundi setia berikutan peratusan keluar mengundi sangat rendah selain undi terpecah berikutan terdapat banyak parti bertanding.

"Untuk menyatakan kemenangan BN itu isyarat rakyat menerima kembali parti itu, ia tidak memberi gambaran sebenar. Parti lain dilihat mampu menyaingi undian BN jika jumlah undi diterima pembangkang digabungkan," katanya.

Berdasarkan keputusan PRN Johor ini, ia memberi gambaran yang BN tetap memiliki kelebihan kerana mereka mempunyai pengundi teras yang setia dan teguh berdiri menyokong parti. Walau apa pun terjadi, mereka tetap mengundi UMNO dan BN.

Berita Harian X