Sabtu, 19 Februari 2022 | 10:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pastikan jaminan keselamatan, kebajikan pekerja p-hailing

Isu membabitkan pelanggaran peraturan lalu lintas dan kes kemalangan maut membabitkan pekerja p-hailing mendapatperhatian umum termasuk pengguna

media sosial.

Statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menunjukkan lebih 60 peratus kematian membabitkan penunggang motosikal

dalam kemalangan jalan raya sepanjang 20 tahun lalu, manakala Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), membabitkan golongan itu.

Sehingga kini, dianggarkan lebih 60,000 individu mendaftar sebagai penghantar p-hailing menggunakan motosikal di Malaysia dengan anggaran penyertaan 200 orang setiap hari.

Justeru, isu keselamatan jalan raya dan peraturan lalu lintas wajar diberi perhatian oleh industri p-hailing di negara ini khususnya melalui kempen dan latihan, keperluan akta baharu, pengiktirafan serta kebajikan pekerja, selain manfaat sosial, penyelidikan dan penciptaan inovasi.

Penganjuran kempen kesedaran menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain semakin meningkat bagi mengurangkan jumlah kes kemalangan seperti Kempen Keselamatan Lebuh Raya khusus untuk penunggang p-hailing dan penuntut seperti #SAYAGENGHIGHWAY.

Bagi merapatkan jurang inisiatif sedia ada, pelantikan duta mampu memberi suntikan nilai positif melalui pendekatan 'mendidik bukan menghukum' pekerja untuk terus mengutamakan aspek keselamatan ketika bekerja. Duta akan bertindak sebagai 'orang tengah' mendekati pekerja dan saling bertukar pandangan bagi memahami isu dan cabaran terkini.

Fungsi latihan dan pembangunan juga wajar dijadikan platform pendedahan awal serta berterusan kepada pekerja bagi keberhasilan jangka panjang. Dalam konteks pembangunan sumber manusia, pekerja diakui aset penting perlu dibekalkan program intervensi latihan dan pembangunan bertujuan menambah baik set kemahiran, pengetahuan serta kebolehan baharu yang diperlukan.

Dalam konteks penggubalan akta baharu, Akta Kerja 1955 (Akta 265) terarah kepada amalan bekerja secara normal, iaitu memperuntukkan keberadaan pekerja sepenuhnya di pejabat secara bersemuka. Seksyen 15(1) dan 15(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 pula memperuntukkan kewajipan setiap majikan serta setiap orang bekerja sendiri untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja.

Namun, situasi ini bercanggah dengan amalan bekerja secara p-hailing dengan pekerja dan majikan terpisah dari aspek persekitaran dan cara bekerja. Ini menggambarkan perlu ada pendekatan tertentu bagi keperluan ini.

Justeru, usaha menjaga kebajikan pekerja phailing melalui pemindaan Akta 256 penting bagi memperjelaskan takrifan berkaitan hubungan pekerja dan majikan. Akta sedia ada tidak meliputi hubungan kontrak perkhidmatan seperti dimeterai pekerja terbabit dalam kontrak bebas. Kandungannya khusus kepada pekerja ditakrifkan di bawah Jadual Pertama Akta 265, iaitu meliputi kontrak perkhidmatan dan persetujuan berkhidmat dengan majikan.

Ini penting bagi memperkukuhkan industri pekerjaan seperti dalam ekonomi gig, terutama menentukan kategori kontrak sama ada jatuh di bawah kontrak untuk perkhidmatan atau kontrak perkhidmatan.

Pada masa sama, kerajaan juga disaran untuk mengiktiraf status individu terbabit dalam industri p-hailing sebagai pekerja dilindungi Akta 265 dan akta lain.

Sebagai perbandingan, terdapat hampir 10 negara yang sudah mengiktiraf pekerja kategori gig ini sebagai pekerja.

Di United Kingdom (UK), 70,000 pekerja Uber sudah diiktiraf sebagai pekerja, manakala Sepanyol sudah lama mewujudkan undang-undang rider untuk pekerja gig termasuk p-hailing.

Terbentuknya akta baharu, maka akan wujud gaji minimum bagi pekerja selain jaminan keselamatan sosial, di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti penggubal dasar, penyedia perkhidmatan serta pemain industri perlu terus diperkasa untuk memperhalusi keperluan menggubal perundangan baharu, khusus melindungi dan menjaga kepentingan

serta kebajikan mereka terbabit dalam ekonomi gig.

Bentuk perlindungan tambahan diperlukan perlu diberi penekanan bagi memastikan pekerja menerima perlindungan sewajarnya, selain meningkatkan keyakinan rakyat tempatan untuk menceburinya.

Dari aspek kebajikan, jaringan keselamatan sosial bagi pekerja dikuatkuasakan PERKESO di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789). Pekerja dikehendaki mendaftar secara mandatori dan mencarum di bawah Akta 789 sebagai pelan bagi perlindungan sosial atas faktor berisiko tinggi mendapat kemalangan ketika bekerja.

Realitinya, ketersediaan peluang pekerjaan berkurangan secara drastik disebabkan banyak syarikat terkesan akibat pandemik hingga ada terpaksa gulung tikar. Sehingga kini, ada dalam kalangan pengusaha masih belum menyambung operasi meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah berakhir.

Beradaptasi dengan situasi tersebut, ramai cenderung memilih bidang pekerjaan lain, termasuk dalam kategori ekonomi gig hingga terdapat peningkatan pengiklanan jawatan kosong oleh syarikat penyedia perkhidmatan sama ada jawatan secara sambilan atau kontrak.

Berdasarkan data Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), lebih 10 syarikat p-hailing kategori baharu menghantar permohonan pendaftaran, sekali gus menambah kerancakan industri itu dan membuka ruang pemikiran mengenai bagaimana untuk mengimbangi permintaan dan penawaran masa depan secara konsisten.

Seiring itu, aktiviti penyelidikan dan inovasi perlu giat dijalankan ahli akademik, pakar bidang dan industri, manakala kerjasama penyelidikan melalui kepelbagaian latar belakang bidang golongan profesional mampu memperkukuhkan industri, terutama dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kajian 'di jalanan' seperti temu bual bersama pekerja dan syarikat penyedia perkhidmatan penting untuk mendapatkan maklumat sahih mengenai isu dan cabaran, manakala gambaran awal ini memberi manfaat jangka panjang kepada industri serta penggubal dasar bagi tujuan pelaksanaan kajian tindakan.

Pembangunan model pekerja p-hailing berpaksikan 'identiti Malaysia' perlu dibangunkan selain alat penilaian berbentuk 360 darjah, iaitu mengambil kira sumber penilaian boleh dipercayai kesahihannya.

Pendekatan penyelidikan seperti ini amat signifikan bagi membantu kerajaan membangunkan kerangka mekanisme pengiktirafan pekerja phailing, bergantung kepada keperluan, manakala hasil aktiviti penyelidikan menjurus kepada penciptaan inovasi baharu seiring dengan keperluan semasa, efektif dan efisien boleh diketengahkan.

Hakikatnya, dimensi dan hala tuju baharu industri p-hailing bertepatan dengan polisi utama kerajaan di bawah Rangka Kerja 10-10 Sains,Teknologi, Inovasi & Ekonomi (10-10 MySTIE), Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Pembangunan masa hadapan industri p-hailing perlu dijadikan pemangkin pencapaian polisi berkenaan, selain memberi nafas baharu kepada industri pekerjaan di negara ini yang berpotensi besar menyumbang kestabilan ekonomi negara terutama dalam fasa pasca pandemik kompetitif.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis

Berita Harian X