Selasa, 1 Februari 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Undi18 PRN Johor rintis idealisme anak muda bina negara bangsa

BERDASARKAN rekod Penyata Rasmi Parlimen atau Hansard, perbincangan mengenai Undi18 sudah bermula sejak 1971. Ia berlaku ketika negara baru sahaja memperkenalkan Rukun Negara pada 1970, rentetan Peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam sejarah Malaysia.

Pada 10 Disember 1971, Ahli Parlimen Bandar Melaka, Lim Kit Siang, mencadangkan dalam Dewan Rakyat supaya had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun dengan alasan Parlimen sudah meluluskan penurunan umur legal melalui Akta Umur Dewasa 1971 daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Tambah beliau lagi, faktor 60 peratus rakyat ketika itu di bawah umur 25 tahun perlu diambil kira, lantas memerlukan penyertaan politik dalam kalangan orang muda. Aspirasi dan suara anak muda wajar diangkat dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Samarahan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Abdul Taib Mahmud berhujah, Malaysia belum bersedia membenarkan penurunan had umur mengundi 18 tahun memandangkan pada waktu itu, negara baru sahaja memperkenalkan Rukun Negara.

Hujah beliau, adalah penting bagi rakyat Malaysia ketika itu memahami dan menghayati Rukun Negara sebelum membenarkan warganegara berumur 18 tahun mengundi.

Yang pasti, sesuatu perubahan sememangnya mengambil masa panjang dan harus berlaku pada masa yang tepat. Selepas 48 tahun, had umur mengundi akhirnya berjaya diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada 2019, selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Landskap politik negara dijangka berubah dengan kehadiran pengundi muda berikutan penurunan had umur baharu ini. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung turut menyaksikan 700,000 pengundi muda yang akan mengundi buat kali pertama apabila Undi18 buat julung kali dilaksanakan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu baru-baru ini menyatakan 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta yang layak mengundi, adalah pelajar yang berumur antara 18 hingga 20 tahun berada di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Beliau turut menjelaskan bahawa KPT berperanan menyediakan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang matang dan berketerampilan dalam sudut pandangan politik susulan pelaksanaan Undi18.

Sebelum itu, IPT sudah pun berusaha menyediakan ekosistem politik kampus yang lebih terbuka dalam meraikan kebebasan berpolitik mahasiswa, apabila pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) membenarkan mahasiswa berpolitik dalam dan luar kampus.

Justeru, Undi18 wajar disantuni secara bijaksana supaya ia dapat membantu ke arah pembinaan negara, bukan sekadar mencapai tuntutan politik kepartian yang sememangnya memerlukannya untuk menang pilihan raya.

Untuk itu, lima pemikiran penting mengenai Undi18 dan politik anak muda masa kini perlu diambil kira:

l Pertama, penyertaan politik dalam kalangan anak muda tidak seharusnya dibatasi agenda politik kepartian semata-mata, sebaliknya bagaimana untuk membangunkan negara melalui bakat dan potensi mereka. Idealisme mereka perlu dipasakkan dengan matlamat pembinaan negara bangsa dalam berpolitik.

l Kedua, Undi18 perlu dilihat melangkaui batas politik kepartian, iaitu menjunjung politik kenegaraan yang mementingkan aspek perpaduan dan patriotisme. Undi18 tidak sepatutnya menganjurkan perpecahan sebaliknya penyatuan meskipun berbeza fahaman politik kepartian.

l Ketiga, kebebasan berpolitik anak muda mesti berlandaskan nilai bersama yang dipersetujui, sekali gus mengikat mereka untuk berpolitik secara berhemah, matang dan bertanggungjawab. Nilai seperti kerjasama, kebijaksanaan, keterbukaan, berwawasan dan keberanian wajar diangkat menjadi perisai kepada anak muda berpolitik. Nilai ini juga mesti bersandarkan semangat dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

l Keempat, kebebasan berpolitik anak muda seharusnya dapat membentuk mereka menjadi seorang warganegara yang baik. Inilah matlamat akhir dalam kebebasan berpolitik yang dapat membentuk insan yang bermanfaat untuk kepentingan awam dan negara. Anak muda mesti dipupuk supaya berpolitik untuk berkhidmat dan membantu orang lain, bukannya mengutamakan kepentingan peribadi.

l Kelima, pemimpin dan ahli politik perlu menunjukkan teladan yang baik kerana mereka membentuk budaya politik yang mempengaruhi budaya politik anak muda. Jangan dipersalahkan gaya anak muda berpolitik yang tidak beradab jika ahli politik tidak berubah sikap dan bertindak tidak matang.

Hakikatnya, masih terlalu awal meramalkan impak Undi18 terhadap politik Malaysia. Namun, apa yang pasti, kepentingan anak muda dalam politik dan aspirasi mereka kini menjadi perhatian semua pihak, terutama parti politik.

Kewujudan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bakal menyertai PRN Johor boleh dijadikan ukuran bagaimana kekuatan Undi18 dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.

MUDA sudah pun memulakan gerak langkah apabila Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan untuk bertanding pada PRN Johor. MUDA Johor juga membuka pendaftaran, sama ada untuk sumbangan atau sukarelawan bagi menjayakan penyertaan sulung mereka pada PRN Johor.

Parti politik lain yang bertanding pula, sudah tentu akan menampilkan calon baharu dan muda bagi memikat pengundi. Pengunduran beberapa ahli politik senior pada PRN Johor pasti membuka ruang kepada nama baharu untuk bertanding.

Yang pasti, penyertaan anak muda sebagai calon dan pengundi pada pilihan raya akan membuka lembaran baharu dalam politik tanah air.

Justeru, Undi18 pada PRN Johor kali ini wajar dilihat sebagai suatu proses politik membina negara dalam konteks lebih luas, bukan sekadar memenuhi tuntutan politik kepartian sahaja.

Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X