Isnin, 6 Disember 2021 | 2:26pm

Kemunculan Omicron buka mata kepentingan suntikan vaksinasi

KEMUNCULAN varian membimbangkan (VOC) Omicron, meriuhkan suasana di banyak negara termasuk mencetus spekulasi kemunculan satu lagi gelombang baharu COVID-19.

Malaysia tidak terkecuali apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar Jumaat lalu, mengumumkan kes pertama varian Omicron dikesan di daerah Kinta, Perak.

Kes terawal varian Omicron dikesan di Afrika Selatan 9 November lalu. Ini diikuti peningkatan kes harian daripada 280 kepada 800 minggu berikutnya.

Dari Afrika Selatan, ia di Botswana pada 11 November disusuli Hong Kong selang beberapa hari. Seterusnya, lebih banyak negara merekodkan kehadiran Omicron.

Penjujukan genom menambahkan kebimbangan dengan 50 jumlah mutasi pada varian ini. Daripada jumlah itu, 32 dikesan pada protein pepaku yang menjadi tapak pelekatan virus kepada sel perumah dan juga tapak pelekatan antibodi.

Ada antara 32 mutasi itu bertindih dengan mutasi VOC lain - Alpha, Beta, Gamma dan Delta seperti 69–70del, T95I, G142D/143–145del, K417N, T478K, N501Y, N655Y, N679K dan P681H.

Semua mutasi pada VOC sebelum ini menunjukkan kesan buruk dengan peningkatan transmisi virus dan keupayaan mengelak tindak balas sistem imun. Kesan mutasi ini memungkinkan penyakit lebih teruk dan menjejas keberkesanan vaksin.

Dengan jumlah mutasi lebih banyak pada protein pepaku, varian Omicron dikhuatiri lebih ganas daripada VOC sebelum ini.

Namun, mutasi tidak semestinya membawa perkhabaran buruk. Ada kemungkinan, mutasi pada virus memberi kebaikan kepada hubungan virus dengan perumah.

Varian Mu dan Beta sebagai contoh, evolusinya membolehkan virus mengelak sistem pertahanan badan. Namun, varian Mu dan Beta mempunyai keupayaan transmisi rendah.

Ini memberi kebaikan dari segi hubungan virus dan perumah yang mengurangkan kebarangkalian penularan. Ada juga keadaan mutasi tidak memberi sebarang kesan kepada virus serta hubungan virus dengan perumah, dikenali mutasi senyap.

Dari segi virologi, ini dijangkakan. Virus adalah mikrob bersifat parasit yang bergantung kepada perumah untuk terus wujud.

Adalah tidak menguntungkan kepada virus untuk bermutasi lebih ganas dan berterusan mendatangkan masalah kepada perumah. Lebih baik bermutasi kurang ganas untuk memastikan ketersediaan perumah dijangkiti. Itu memungkinkan penularan berterusan.

Lebih baik juga bagi virus bermutasi tanpa menghasilkan beban viral tinggi sehingga mencetus tindak balas sistem imun yang tinggi. Secara mudah, lebih baik bermutasi tanpa menonjolkan diri jika mahu berterusan bersama perumah.

Virus asal Wuhan disyaki lompatan spesies daripada haiwan kepada manusia yang memerlukan ia berevolusi dan beradaptasi kepada perumah baharu. Dalam proses ini, berlaku mutasi ketika proses replikasi menghasilkan virus baharu.

Virus akan terus berevolusi untuk mencapai kestabilan genom dengan tujuan kekal bersama perumah. Hubungan virus dan perumah bersifat dua hala, maka kedua-dua pihak perlu bersedia untuk kebersamaan yang dihajati.

Kebimbangan kemungkinan gelombang baharu COVID-19 oleh varian Omicron yang berevolusi ini meletakkan banyak negara dalam keadaan waspada yang tinggi. Malah, ada negara mengambil langkah proaktif yang drastik menutup sempadan mereka.

Walaupun masih banyak belum diketahui berkenaan Omicron, data dari Afrika Selatan tidak menunjukkan peningkatan kadar kematian oleh varian baharu ini.

Terkini Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan pakar virus Corona semakin yakin Omicron hanya menyebabkan jangkitan sangat ringan dengan kesan tidak lebih daripada Delta. Maklumat terkini firma data analisis berpangkalan di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemungkinan mutasi pada varian Omicron, membabitkan bahan genetik yang 'dicuri' daripada virus lain (besar kemungkinan virus selesema biasa) yang membabitkan jangkitan pada perumah sama.

Terdapat jujukan genetik varian Omicron yang tidak pernah dikesan pada virus SARS-CoV-2, tetapi hadir pada virus lain seperti virus selesema biasa dan jujukan genetik manusia.

Keadaan ini menjadikan varian Omicron more human (adaptasi kepada manusia). Ini berkemungkinan menjadikan Omicron 'lebih mesra' dengan sistem pertahanan badan manusia. Kemungkinan kesan mutasi adalah varian Omicron lebih mudah tersebar, tetapi hanya menyebabkan penyakit tidak teruk atau tidak bergejala.

Kewujudan varian baharu ada kaitannya dengan liputan vaksinasi. Imunisasi berkeupayaan mengurangkan kemungkinan wujud varian baharu. Kehadiran antibodi hasil vaksinasi memberi rintangan kepada proses replikasi virus, seterusnya mengurangkan kemungkinan berlaku mutasi semasa replikasi virus.

Dengan sekitar satu pertiga populasi Afrika Selatan lengkap vaksinasi, dua pertiga daripada jumlah penduduk masih terdedah jangkitan COVID-19. Inilah iktibar perlu kita ambil daripada Omicron atau varian lain.

Keperluan vaksinasi bukan hanya untuk mengurangkan atau menghalang penyakit teruk, tetapi juga mengurangkan kemungkinan wujud varian baharu. Sudah pasti kita tidak mahu menjadi perumah yang bertanggungjawab kepada kewujudan varian baharu.

Dalam negara kita, masih ada sejumlah penduduk teragak-agak menerima vaksin. Keraguan dari segi keselamatan dan keberkesanan vaksin serta anggapan ia masih pada peringkat uji kaji terus membelenggu fikiran mereka.

Golongan ini perlu melihat dan menilai data sebenar serta tidak perlu ke peringkat global, data di Malaysia sudah mencukupi.

Antara 24 Februari hingga 20 November lalu, lebih 51,8 juta juta dos vaksin diberikan, hanya 23,163 merekodkan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) atau 0.04 peratus. Tiada kematian secara langsung boleh dikaitkan pengambilan vaksin.

Untuk jangkitan membabitkan mereka yang lengkap vaksin pula, lebih 98 peratus bergejala ringan atau tidak bergejala. Kurang dua peratus mereka yang lengkap vaksin dan dijangkiti berada dalam kategori tiga hingga lima, majoriti mempunyai komorbiditi.

Dengan merujuk data sebenar, isu keselamatan, keberkesanan dan vaksin masih pada peringkat uji kaji sudah tidak relevan.

Satu perkara pasti, kita cuma boleh bersedia dengan kemungkinan pada masa hadapan. Analogi mudah sebelum memulakan perjalanan, kita akan memeriksa keadaan kenderaan. Kereta dalam keadaan baik dapat membawa kita ke destinasi tujuan dengan selamat.

Adakah kita akan membatalkan perjalanan hanya kerana kemungkinan berlaku kemalangan dalam perjalanan, walaupun sedia maklum kenderaan digunakan selamat?

Berbalik Omicron dan varian baharu lain, kenyataan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus merumuskan dengan jelas, iaitu liputan vaksin dan ujian saringan rendah adalah kombinasi berbahaya yang boleh menjadi resipi kemunculan varian baharu.

Ini memberikan justifikasi kukuh untuk pengambilan vaksin. Jika wujud keperluan, terutama kumpulan berisiko tinggi, untuk mengekalkan perlindungan tertinggi, maka pengambilan vaksin penggalak dapat membantu mengurangkan kemungkinan wujud varian baharu, di samping mengurangkan kemungkinan penyakit yang teruk.

Kemunculan Omicron bukan alasan menekan butang kecemasan, tetapi mengambil sikap berwaspada sementara menunggu lebih banyak maklumat berkenaan varian baharu ini.

Di samping pengambilan vaksin sama ada suntikan vaksin primer atau vaksin penggalak, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan sangat penting.

Pakar Virologi di Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X