Sabtu, 27 November 2021 | 10:00am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Elak gelombang baharu pandemik jejas pemulihan ekonomi negara

DATA ekonomi Malaysia pada suku ketiga tahun ini dilihat memerlukan penelitian lebih menyeluruh dan mendalam. Walaupun 'senario paling buruk' sudahpun di belakang kita, cabaran ekonomi akibat pandemik ini masih lagi signifikan.

Jelas menuju ke hadapan, jangkaan prospek pertumbuhan ekonomi menjadi semakin tidak menentu dan sukar diramal.

Penguncupan pada kadar 4.5 peratus direkodkan pada Julai hingga September tahun ini agak membimbangkan, memandangkan tahap pertumbuhan ekonomi baik direkodkan pada suku sebelumnya, iaitu 16.1 peratus, yang antara sebabnya adalah kesan asas rendah pada suku kedua tahun lalu apabila ekonomi Malaysia menurun pada kadar 17.1 peratus.

Walaupun Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diperkenalkan pada 28 Jun lalu bernilai RM150 bilion, ia masih lagi tidak dapat mengekang impak sekatan pergerakan dilakukan terutama dalam fasa permulaan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan juga pelbagai bentuk perintah sekatan pergerakan dilaksanakan, sama ada secara bersasar ataupun sebaliknya.

Jelas dapat dilihat prestasi ekonomi global dan juga kebanyakan negara di dunia, sama ada negara maju mahupun sedang membangun, menampakkan momentum pemulihan bermula pada suku kedua tahun ini dan diteruskan pada suku ketiga walaupun pada kadar sedikit rendah daripada suku sebelumnya.

Negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Filipina misalnya, bertumbuh pada kadar 6.5 peratus, 3.5 peratus serta 7.1 peratus masing-masing. Begitu juga negara serantau seperti Hong Kong, China dan Korea Selatan masing-masing merekodkan pertumbuhan pada kadar 5.4 peratus, 4.9 peratus serta 4 peratus.

Trend pertumbuhan ini juga dapat dilihat di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara di Eropah masing-masing mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.9 peratus serta 3.7 peratus.

Apa lebih membimbangkan pada data suku ketiga tahun ini adalah semua sektor ekonomi mengalami penguncupan, manakala dari sudut permintaan pula, seperti dijangka, hanya sektor kerajaan sahaja, iaitu penggunaan sektor awam, mengalami pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus, iaitu lebih rendah daripada pertumbuhannya pada suku sebelumnya (9 peratus).

Sumbangan komponen perbelanjaan dalam sektor awam ini pada suku ketiga kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula hanyalah pada kadar 1 peratus.

Secara keseluruhan untuk tahun ini, ekonomi Malaysia dijangka akan merekodkan pertumbuhan ekonomi pada kadar sekitar 3 peratus hingga 4 peratus.

Adalah sukar untuk mengatakan ekonomi Malaysia sudah berada pada fasa 'pemulihan' dengan jangkaan pertumbuhan pada kadar di bawah 5 peratus, lebih-lebih lagi kesan asas rendah sepatutnya dapat dilihat pada tahun ini apabila ekonomi negara menguncup pada kadar 5.6 peratus pada tahun lepas, iaitu apabila ekonomi mengalami kemelesetan ekonomi.

Sebenarnya, jika prestasi ekonomi negara dilihat pada suku ketiga tahun ini dari sudut asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi Malaysia secara teknikalnya, sudahpun berada pada keadaan kemelesetan ekonomi.

Ini kerana Malaysia mengalami penguncupan aktiviti ekonomi pada dua suku berturut-turut, menguncup pada kadar 3.6 peratus dan pada suku sebelumnya merekodkan penguncupan pada kadar 1.9 peratus.

Satu aspek penting perlu diberi perhatian dalam data ekonomi pada suku ketiga ini adalah penguncupan pada aktiviti pelaburan dapat dilihat pada kadar Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK), yang menyusut sebanyak 10.8 peratus.

Perlu diingat nilai PMTK ini juga menyusut pada kadar 11.6 peratus pada suku ketiga tahun lepas. PMTK ini boleh dilihat sebagai indikator asas untuk menilai tahap prestasi pelaburan negara dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Begitu juga aspek lain berkait rapat dengan isu pelaburan, sama ada dalam aspek momentum pertumbuhan ekonomi, aktiviti pengeluaran negara, prestasi daya saing negara atau prospek kewujudan perniagaan dan penciptaan peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Disebabkan itu juga kita dapat melihat tahap pemulihan lemah dalam pasaran buruh negara pada suku ketiga tahun ini.

Namun, prestasi ekonomi pada suku keempat dijangka akan berada pada tahap lebih baik, terutama akibat pembukaan semula sempadan negeri dan daerah di seluruh negara.

Begitu juga tahap kebanyakan negeri di bawah PPN, yang kebanyakannya sudah berada pada tahap empat dan ada beberapa negeri sahaja berada pada tahap tiga.

Berdasarkan jangkaan pada Bajet 2022, ekonomi Malaysia disasarkan akan berada pada fasa pemulihan tahun hadapan dengan unjuran pertumbuhan ekonomi lebih baik pada sekitar 5.5 peratus dan 6.5 peratus.

Persoalan pokok di sini adalah bolehkah unjuran ini dicapai pada tahun hadapan? Hakikatnya, seperti juga Bajet 2021, fasa pemulihan dijangkakan ini mungkin akan terbantut sekiranya muncul lagi gelombang baharu pada jangkitan pandemik COVID-19 dalam masa terdekat.

Baru-baru ini pun, beberapa pakar kesihatan sudah memberikan amaran bahawa gelombang jangkitan harian pandemik dijangka akan muncul dalam masa terdekat jika tidak ada dasar intervensi konkrit diletakkan pada masa ini.

Jadi, adalah penting bagi semua pihak untuk mematuhi segala bentuk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya tidak ada lagi apa-apa bentuk perintah sekatan pergerakan yang mungkin terpaksa diperkenalkan pada masa hadapan yang akan menjejaskan proses pemulihan ekonomi tahun hadapan.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X