Isnin, 15 November 2021 | 11:30am

Platform sumber khalayak beri banyak faedah, jimatkan kos

PERKEMBANGAN ekonomi gig pada masa kini membuka banyak ruang dan peluang untuk menambahkan pendapatan. Antara peluang itu adalah melalui platform sumber khalayak atau crowdsourcing.

Sumber khalayak berfungsi sebagai tempat mencari pekerjaan dan menambahkan pendapatan, selain menjadi alternatif baharu kepada majikan untuk mendapatkan sumber pekerja lebih meluas dengan kadar bayaran lebih murah.

Malah, maklumat dan pandangan juga boleh diperoleh menerusi sumber atau data yang dikongsi orang ramai mengenai sesuatu perkara.

Berbanding dengan luar negara, perkembangan penggunaan sumber khalayak di negara ini masih berada pada tahap pengenalan, terutama kepada majikan. Jika dilihat peratus penggunaan platform sumber khalayak di negara ini, bilangan pencari pekerjaan lebih ramai berbanding kerja ditawarkan.

Namun, ia bukanlah masalah kepada karyawan bebas atau freelancer kerana kerja ditawarkan meluas dan pelbagai kerana platform ini biasanya disertai majikan dari seluruh negara.

Pengenalan penggunaan sumber khalayak di negara ini asalnya adalah untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 yang dipertanggungjawabkan kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Namun, pada masa kini penggunaan ini sudah berkembang kesan kesedaran pelbagai pihak hasil daripada usaha kerajaan ke arah ekonomi digital sebagai persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam menuju ke arah negara berkembang,

Ia langkah positif dengan pembabitan pelbagai pihak menyertai platform sumber khalayak diharapkan dapat meningkatkan pendapatan, sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara.

Penggunaan sumber khalayak ini seharusnya diguna pakai semua pihak sama ada organisasi, syarikat, usahawan dan institusi berkaitan. Menjimatkan, mudah dan pantas antara manfaat dapat diperoleh semua pihak.

Apa lebih menarik mengenai platform sumber khalayak, ia sumber kepada syarikat, firma dan usahawan untuk mencari idea serta inovasi dalam produk dan perkhidmatan mereka tawarkan.

Lego, Starbucks, Boeing, Samsung, Unilever dan Porsche antara beberapa syarikat besar memanfaatkan sumber khalayak sebagai sumber inovasi kepada produk atau perkhidmatan ditawarkan.

Walaupun penggunaan platform sumber khalayak dilihat boleh dimanfaatkan, kekangan kepada penggunaan platform ini masih lagi menjadi keraguan kepada syarikat dan majikan di negara ini.

Jika dilihat dari segi penawaran kerja di eRezeki, penawaran pekerjaan adalah terhad dan lebih tertumpu ke arah pekerjaan bukan digital. Keadaan ini mungkin menyebabkan kurangnya pembabitan karyawan bebas tempatan menerokai, sekali gus menyokong platform tempatan.

Antara lain, ia juga mungkin dipengaruhi tujuan penubuhan platform terbabit yang hanya dikhaskan untuk golongan tertentu dan menyebabkan mereka lebih berkemahiran mencari kerja serta menyertai platform antarabangsa seperti LinkedIn, dan Amazon Mechanical Turk.

Jika karyawan bebas tempatan mampu mendapatkan kerja di platform antarabangsa, ia membuktikan mereka mempunyai cukup kemahiran untuk melaksanakan tugas dan kerja daripada majikan tempatan.

Persoalannya, apakah menyebabkan majikan, syarikat dan organisasi tempatan kurang menggunakan platform ini dalam pengoperasian mereka? Apakah mereka juga mengiklankan kerja di platform antarabangsa?

Di negara ini, terdapat hanya empat platform sumber khalayak dikendalikan empat syarikat, iaitu Human Capital Connection Sdn Bhd, Multimedia Synergy Corporation Sdn Bhd, Ikrar Potensi Sdn Bhd dan Pernec Corporation Berhad.

Walaupun Malaysia mempunyai platform tersendiri, fungsinya amat terhad. Kebanyakan platform sumber khalayak bertindak sebagai padanan kerja antara pekerja mikro dan jenis tugasan.

Bagaimanapun, Malaysia dilihat mampu menggunapakai kaedah sumber khalayak dengan berkesan kerana disenaraikan negara kelapan terbesar di Asia menggunakan laman sosial, terutama Facebook sebagai medium pasaran.

Sebanyak 52 peratus syarikat di negara ini membelanjakan hampir 20 peratus peruntukan pemasaran melalui rangkaian sosial. Ini indikasi penyokong baik terhadap perkembangan sumber khalayak di negara ini.

Walaupun platform sumber khalayak dikatakan dapat memberikan idea, inovasi dan penyelesaian kepada masalah, dari satu sisi ia juga satu kegagalan apabila apa diberikan tidak memenuhi kehendak.

Kes ini dapat dilihat apabila BP meminta pandangan orang ramai mengenai pembersihan tumpahan minyak yang berlaku pada 2010. Usaha itu dikatakan gagal apabila 123,000 idea dari lebih 100 negara tidak dapat diguna pakai untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Kegagalan dinyatakan adalah kerugian masa dan tenaga untuk memilih idea serta pandangan. Selain itu, kecenderungan organisasi memilih sesuatu idea dan inovasi lebih kurang sama serta tidak tersasar daripada konsep asal, menyebabkan lontaran baharu tidak dipandang sesetengah organisasi.

Namun, menurut Timbalan Pengerusi Deloitte, Vimi Grewal-Carr dalam penerbitan penggunaan platform sumber khalayak menyatakan masalah idea dan pandangan tidak berkualiti boleh diatasi dengan memastikan sumber pandangan dan apa dimohon majikan boleh difahami orang ramai serta mengehadkan jumlah pandangan diterima.

Di sebalik pelbagai kelemahan dalam platform sumber khalayak, ia tidak disangkal lagi membawa banyak faedah kepada organisasi, terutama kebolehan platform itu untuk penyelesaian masalah secara inovatif dalam masa singkat dan menjimatkan kos.

Sumber khalayak juga mampu menjalankan tugasan tidak boleh dilakukan secara automasi, malah memberi perkhidmatan percuma pada waktu singkat.

Memetik kata-kata Pengerusi Advance Human Technologies Group, Ross Dawson, Malaysia mampu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan sumber khalayak kerana penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi meluas, ekonomi berasaskan pengetahuan dan kebolehan tenaga kerja menjadikan Malaysia setaraf negara maju di Asia.

Walaupun perkembangan sumber khalayak di negara ini mengambil masa agak lama untuk berkembang, organisasi harus peka kepelbagaian kaedah penggunaan sumber khalayak dan ia penting untuk kekal berdaya saing serta lebih maju pada peringkat global.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X