Rabu, 10 November 2021 | 11:45am

Zionis Israel ulangi keganasan Nazi Jerman

PERANG Dunia Kedua menggugat peradaban dunia dengan kepincangan minda manusia oleh ideologi. Kemunculan Adolf Hitler dalam politik Jerman sebagai ultra nasionalis menggoncang keselamatan manusia menjadi titik hitam sejarah.

Penderitaan Jerman berpunca daripada Perjanjian Versailles 1919 membangkitkan perasaan tidak puas hati rakyat Jerman, diperalatkan Hitler untuk melahirkan Nazisme, menganiayai masyarakat Yahudi bermastautin di negara itu.

Nazi Jerman membunuh antara 160,000 hingga 180,000 orang Yahudi dalam peristiwa Holocaust. Mulai 1939, 304,000 daripada 504,000 orang Yahudi lari meninggalkan Jerman dalam enam tahun pertama Nazisme. Kehidupan 214,000 orang Yahudi di Jerman menjadi tanda persoalan.

Undang-undang perang pertama menuntut orang Yahudi mematuhi perintah berkurung dan larangan memasuki kawasan tertentu dalam bandar. Catuan makanan minimum dikenakan kepada mereka, termasuk masa untuk membuat pembelian makanan disingkatkan.

Nazi juga memerintahkan orang Yahudi menyerahkan 'barangan keperluan peperangan' seperti radio, kamera, basikal, dan peralatan elektrik.

Mulai 1941, polisi anti-Yahudi menjadi radikal di Jerman dan orang Yahudi dipaksa memakai lencana 'bintang Yahudi' kuning pada pakaian mereka. Undang-undang 1941 juga melarang orang Yahudi daripada menggunakan sistem pengangkutan awam.

Pada 1943, undang-undang dikeluarkan untuk merampas harta benda mereka dan mereka dipindahkan secara paksaan (deportasi) ke kawasan Ghetto, Judendanhauser (perumahan Yahudi) dan kem ke timur bermula.

Orang Yahudi hidup seperti banduan dalam Ghetto tanpa pekerjaan, kemiskinan, kelaparan, tanpa air bersih dan kediaman kotor, disertai penyakit menular typhus yang membunuh mereka.

Kem orang Yahudi di Auschwitz, Sobibor, Belzec dan Treblinka menjadi angkara Nazisme menyalahi kemanusiaan. Undang-undang baharu juga dikeluarkan untuk menjadikan orang Yahudi sebagai buruh paksaan.

Tambahan lagi harta benda mereka dirampas dan dibahagikan kepada rakyat Jerman. Pada akhir Perang Dunia Kedua, seramai 600,000 orang Yahudi dibunuh secara beramai-ramai.

Hakikatnya, sejarah tidak akan lupakan peristiwa berdarah ini. Pada masa peperangan ini masyarakat Yahudi berhijrah ke seluruh pelusuk dunia termasuk Palestin.

Pada masa itu, Palestin masih berada di bawah pentadbiran Mandat British. Sokongan masyarakat Yahudi kepada Kuasa Bersekutu dianggotai Britain, Perancis, Russia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada serta simpati kuasa berkenaan terhadap kesengsaraan orang Yahudi menjadi paparan sejarah.

Simpati negara Barat terhadap masyarakat Yahudi berpunca daripada kezaliman Nazisme itu mendorong kuasa berkenaan membenarkan penghijrahan orang Yahudi ke Palestin. Seterusnya membenarkan pemecahan tanah Palestin kepada dua negara, iaitu Israel dan Palestin.

Rentetan Resolusi 181 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tanah Palestin dipecahkan dan bermulalah Perang Arab-Israel pertama pada 1948. Ini menunjukkan 'kesan tumpahan' dalam sejarah, membabitkan dua benua atau rantau berlainan.

Satu konflik kemanusiaan di Eropah diheret ke Asia Barat untuk memulakan satu lagi konflik kemanusiaan belum reda.

Masyarakat Yahudi yang berhijrah ke tanah Palestin, bukan sahaja membuka penempatan awal, bahkan berjaya mendapatkan keyakinan dan sokongan negara Barat dalam mengasaskan negara Israel.

Menurut Smithsonian, pada akhir 1933, 100,000 orang Yahudi berhijrah ke Palestin. Negara Israel menjadi suatu hasil terhadap sokongan orang Yahudi kepada Kuasa Bersekutu dalam Perang Dunia Kedua.

Israel ialah manifesto simpati negara Barat terhadap kesengsaraan orang Yahudi yang diketengahkan dengan bijak oleh kumpulan Zionis di Eropah. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat Yahudi. Dermawan Yahudi seperti Montefiores dan Rothschilds memulakan Aliyah I, iaitu perintis penempatan pertanian di Palestin pada abad ke-19.

Diikuti dengan usaha cendekiawan Yahudi seperti Leo Pinsker (Autoemancipation) dan Theodor Herzl (The Jewish State). Herzl adalah penggerak utama Zionisme di Eropah. Chaim Weizman pula menjayakan projek penubuhan Israel di Asia Barat melalui Deklarasi Balfour 1917.

Selepas itu kumpulan Zionis terus berusaha untuk mendapatkan apa yang dijanjikan kepada mereka oleh pihak British.

Israel berjaya menjadi negara pada 1948 dengan pengiktirafan de facto Presiden AS, Harry Truman. Namun, apa yang berlaku di Palestin selepas 1948, lebih tepat selepas 1967 ialah kumpulan Zionis (bukan semua orang Yahudi) mengambil perwatakan Nazi Jerman.

Mereka mula merampas tanah, membakar kebun zaitun dan merampas kediaman rakyat Palestin, merosakkan sistem air, bangunan serta hospital. Malah, mereka turut menahan dan memenjarakan serta membunuh orang Palestin dan cuba menggagalkan penubuhan Palestin.

Zionis Israel lupa terhadap segala keperitan hidup masyarakat Yahudi di bawah regim Nazi Jerman, hilang simpati dan sanggup melakukan kezaliman kepada masyarakat Palestin.

Masyarakat Palestin melalui lingkaran sejarah sama. Rakyat Palestin kini adalah sama seperti orang Yahudi di tangan Hitler pada 1930-an. Orang Israel Zionis kini serupa seperti kumpulan Nazi. Hanya sahaja mereka tidak melakukan pembunuhan secara beramai-ramai (genocide).

Sejarah berulang, lingkaran ini terus bergerak tetapi rakyat Palestin akan mencapai titik perubahan juga. Sudah sampai masanya Israel mengubahkan polisi mereka dengan membantu penyelesaian konflik, penubuhan negara Palestin dan mencapai keamanan bersama di Asia Barat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Strategi, Fakulti Pengajian Pertahanan dan Pengurusan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X