Rabu, 3 November 2021 | 10:00am

K-ekonomi kunci tingkat daya saing perniagaan elak ketinggalan

DALAM keadaan pasaran modal tidak stabil atau pasaran ekonomi tertekan berimpak kesan pandemik global, usaha model perniagaan tradisional cuba menyesuaikan diri dengan transformasi digital berkemungkinan besar menghadapi kegagalan.

Tidak dinafikan perniagaan mempunyai tanggungjawab besar dalam menghadapi cabaran dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Malah, perniagaan kurang berpengetahuan atau jahil mengenai transformasi modal intelektual dan teknologi yang lebih dikenali sebagai ekonomi pengetahuan akan ketinggalan dalam konteks ini.

Kajian penyelidikan membuktikan ekonomi berasaskan pengetahuan atau lebih dikenali k-ekonomi mendorong kemajuan sosial. Dapatan kajian juga membuktikan nilai pasaran perusahaan - dalam bidang ekonomi pengetahuan - sering melebihi nilai tertera dalam buku.

Sehubungan dengan nilai pasaran Standard and Poor's 500 (S&P 500), bahagian aset tetap syarikat menyaksikan penurunan secara drastik dan aset tidak ketara, meningkat dengan pesat, terutama dari abad ke-21 dan seterusnya.

Trend ini dikuasai k-ekonomi dengan menunjukkan aset tidak ketara seperti modal intelek perusahaan mengatasi aset tetap. Hal demikian berlaku kerana modal intelek diiktiraf dan dihargai sebagai komponen teras dalam meningkatkan daya saing perniagaan.

Perniagaan tradisional yang hanya tertumpu aset ketara kehilangan daya persaingan mereka. Prestasi perniagaan berkenaan jauh lebih rendah dibandingkan syarikat teknologi tinggi yang lebih menumpukan perhatian pada aset tidak ketara.

Misalnya, Motorola dan Kodak yang kian ketinggalan serta dilupakan di pasaran kerana mereka gagal mengembangkan ekonomi pengetahuan secara serentak.

Antara sebab kemelesetan Motorola ialah kegagalannya berinovasi dan mengabaikan keperluan idea teknologi baharu pada era 3G. Begitu juga dengan Kodak yang menjadi pencipta kamera digital pertama di dunia.

Kodak sentiasa komited dengan pembangunan dan pelaburan dalam aset ketara seperti filem, bahan kimia dan peralatan kedai cetak. Keadaan ini menyebabkan Kodak ketinggalan dalam pelaburan paten dan teknologi baharu yang menjadi asas penting kejayaan, terutama pada zaman teknologi maklumat serta digital.

Berdasarkan data analisis saham di Net dan Snowman Data (2020), syarikat dengan nisbah aset tidak ketara terhadap jumlah aset lebih tinggi mempunyai perolehan per saham lebih tinggi.

Contohnya, IBM mencatatkan permodalan pasaran berjumlah AS$111.1 bilion (RM460.1 bilion), iaitu lebih daripada 10 peratus aset tidak ketara kepada nisbah jumlah aset dan perolehan AS$13.79 (RM57.11) sesaham.

Tencent Holding juga mencatat lebih AS$669 bilion (RM2.8 trilion) kapitalisasi pasaran, iaitu lebih 13.5 peratus aset tidak ketara daripada jumlah aset dan perolehan AS$9.44 (RM39.09) sesaham.

Semua angka ini jauh lebih tinggi berbanding model perniagaan tradisional seperti Exxon Mobile Corporation dengan permodalan pasaran lebih AS$180 bilion (RM745 bilion), manakala kurang daripada dua peratus aset tidak ketara berbanding jumlah aset dan hanya mencatatkan pendapatan AS$2.6 (RM10.77) sesaham.

Bank perindustrian dan komersial China dengan permodalan pasaran lebih daripada AS$270 bilion (RM1.1 trilion), kurang daripada dua peratus aset tidak ketara kepada jumlah aset dan pendapatan sesaham hanya serendah AS$0.90 (RM3.73).

Dalam erti kata lain, syarikat tersenarai berasaskan pengetahuan intelek dan menekankan atau menumpukan kepentingan ke atas aset tidak ketara, mencapai prestasi saham lebih baik dalam pasaran modal secara umumnya.

Trend kini menunjukkan syarikat bersifat teknologi tinggi akan terus melabur dalam aset tidak ketara dan mendedahkan maklumat mengenai modal intelektual mereka ketika menerbitkan laporan tahunan.

Penekanan terhadap modal intelek bukan sahaja mencapai lebih keuntungan untuk perniagaan, malah secara tidak langsungnya meningkatkan nilai perniagaan melalui pendedahan maklumat.

Hal ini sekali lagi mencerminkan kepentingan aset tidak ketara seperti modal intelek kepada pasaran modal industri berteknologi tinggi.

Disebabkan pengaruh signifikan modal intelektual terhadap prestasi syarikat, banyak syarikat mengikut jejak dan cuba menumpukan kepentingan nilai aset tidak ketara masing-masing.

Syarikat berteknologi tinggi, memperluaskan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) berpotensi untuk meningkatkan prestasi syarikat.

Statistik (2020) menunjukkan perbelanjaan Dell Technologies untuk R&D antara 2000 hingga 2020 meningkat drastik.

Pada tahun kewangan 2020, Dell membelanjakan kira-kira AS$5 bilion (RM20.7 bilion) dalam R&D. Nilai ini menunjukkan peningkatan amat ketara berbanding AS$374 juta (RM1.5 bilion) pada 2000.

Syarikat ini meningkatkan perbelanjaan R&D antara tahun-ke-tahun kewangan 2018 dan 2020. Dell Technologies membuktikan hasrat penstrukturan semula model perniagaannya dengan menekankan modal intelektual, misalnya memperkuatkan penyelidikan mengenai teknologi teras, paten dan latihan pekerja.

Dell beralih daripada menjadi pengeluar komputer peribadi kepada bidang penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian teknologi maklumat pada pertengahan era transformasi digital.

Sebaliknya, syarikat teknologi tidak menekankan R&D, sebagai langkah utama untuk meningkatkan aset tidak ketara, berkemungkinan besar akan kehilangan daya persaingan di pasaran.

Pengaliran tumpuan kepada inovasi dan R&D, bukan sahaja berlaku di dunia perniagaan, tetapi membabitkan negara. Negara mula berubah dasar dan strategi menuju negara inovatif dengan inovasi teknologi dan pengetahuan maju sebagai penggerak utama peningkatan ekonomi dan sosial.

Cabaran utama dihadapi syarikat pada abad ke-21 adalah perolehan aset intelektualnya. Pengetahuan intelek syarikat sepatutnya dilihat sebagai asas lestari untuk menjana keuntungan kompetitif dalam perniagaan.

Oleh itu, untuk mencapai kejayaan dalam globalisasi masa kini, satu peralihan paradigma daripada era pembuatan kepada ekonomi pengetahuan atau k-ekonomi amat perlu ditekankan.

Syarikat perlu memanfaatkan penciptaan nilai daripada modal intelektualnya untuk berdaya saing dan meningkatkan kompetensi masing-masing.

Pada era ekonomi pengetahuan, industri berteknologi tinggi sebagai industri berasaskan pengetahuan, seharusnya menjadi keutamaan berbanding pengurusan aset tidak ketara yang diwakili modal intelektual.

Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X