Selasa, 2 November 2021 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bajet 2022 serlah usaha tingkat keselamatan, ekonomi wanita

BAJET 2022 melambangkan komitmen kerajaan memperkukuh keselamatan ekonomi wanita. Ia melabur dalam inisiatif baharu dan menambah baik yang sedia ada untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, menggalakkan kembali bekerja, mengurangkan halangan bekerja dalam sektor formal serta memperkukuh situasi kewangan.

Ketika pandemik COVID-19, ramai wanita menganggur, bekerja tetapi kurang daripada masa biasa atau bekerja dalam bidang di bawah kelayakan dimiliki.

Tinjauan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia (2020) mendapati wanita, remaja dan pekerja berpendidikan rendah ialah golongan sangat terkesan secara negatif oleh COVID-19. Jika tiada usaha bersasar, mereka berkemungkinan terpinggir ketika proses pemulihan ekonomi.

Wanita menyumbang sekitar 39 peratus daripada jumlah pekerja di negara ini tetapi peratusan golongan itu dalam jumlah pekerja berhenti lebih tinggi berbanding lelaki.

Kajian Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) diterbitkan pada 2021, Families on the Edge mendapati isi rumah berpendapatan rendah diketuai wanita lebih mudah rentan: kadar pengangguran sebanyak 32 peratus dan tidak mempunyai akses perlindungan sosial (57 peratus).

Justeru, Bajet 2022 berusaha mempertingkat jaminan ekonomi wanita dengan menggalakkan mereka kembali bekerja apabila insentif dipanjangkan kepada majikan menggaji wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah.

Ia juga berusaha memberi lebih pilihan dan fleksibiliti untuk mengurus kerja dan penjagaan. Seperti tahun sebelum ini, bajet itu menggalakkan majikan swasta untuk mewujudkan pengaturan kerja fleksibel bagi wanita.

Berkaitan bidang keusahawanan, banyak initiatif diperuntukkan kepada usahawan meliputi pengusaha wanita. Banyak pengusaha sektor tidak formal dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi masalah akses kepada pembiayaan.

Oleh itu, Bajet 2022 memperuntukkan pembiayaan tanpa faedah dan pembiayaan mikro disediakan Skim Pembiayaan Perniagaan Dananita (Dananita) di bawah MARA, Tekunita di bawah TEKUN Nasional, Agrobank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ia juga bertujuan menambah baik jaminan kewangan wanita, khususnya di sektor tidak formal dan ekonomi gig. Pekerja sektor tidak formal, yang majoritinya wanita dapat membina semula dana persaraan masa depan melalui Inisiatif i-Saraan melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Program caruman sukarela itu memberikan insentif kepada individu bekerja sendiri dan pekerja sektor tidak formal bagi membuat simpanan persaraan. Melalui inisiatif ini, kerajaan mencarum 15 peratus daripada caruman sukarela terhad kepada maksimum RM250 ringgit. Bagi 2022, kerajaan memperluaskan penerima manfaat inisiatif ini kepada individu 55 hingga 60 tahun.

Mereka bekerja sendiri dan pekerja gig juga diberi pelepasan cukai hingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela. Peningkatan had umur dan pelepasan cukai dijangka dapat menggalak golongan itu menyertai skim KWSP bagi menjamin masa depan persaraan.

Inisiatif Kasih Suri Keluarga Malaysia pula meliputi caruman sukarela i-Suri disepadukan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus memberi peluang kepada suri rumah dan balu berdaftar di bawah sistem eKasih untuk mendapat akses keselamatan sosial.

Kedua-dua inisiatif ini penting kerana memberi perlindungan kepada pekerja sektor tidak formal, pekerja gig dan kumpulan suri rumah disebabkan pandemik mendedahkan kerapuhan dalam sistem keselamatan sosial kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun terdapat kelompangan dalam Bajet 2022, iaitu kurang peruntukan menggalakkan wanita menceburi kerjaya dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). STEM kurang menarik minat wanita tetapi kajian menunjukkan ia akan menjadi bidang sangat penting dalam memulih dan melestarikan ekonomi pasca COVID-19.

Kerajaan terus memberi tumpuan kepada program pembangunan sosioekonomi komuniti meliputi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Antaranya keselamatan kanak-kanak di atas jalan apabila kerajaan memberikan subsidi 50 peratus atau hingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40.

Bajet 2022 turut menekankan usaha untuk meningkatkan wanita dalam peringkat membuat keputusan dan memperkukuh kepemimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah wanita. Sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pembabitan wanita dalam konteks itu, masih belum tercapai di sektor swasta walaupun dasar itu diperkenalkan sedekad lalu.

Wanita hanya memegang 25 peratus komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama, tetapi terdapat 27 peratus atau 252 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia belum mempunyai komposisi pengarah wanita.

Justeru, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat penyenaraian awam. Kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi memajukan kepimpinan wanita dan keusahawanan khususnya bagi generasi muda.

Harus diingat kesihatan wanita dan gadis sangat penting bagi kesejahteraan masyarakat. Penjagaan kesihatan wanita mengalami pembaikan dengan kemajuan dalam sistem kesihatan negara.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menimbulkan ancaman terhadap kesihatan dan kesejahteraan wanita, gadis serta kanak-kanak.

Tumpuan diberikan untuk melindungi wanita dan kanak-kanak, khususnya ketika pandemik. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) melaporkan peningkatan 360 peratus panggilan cemas antara Februari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga April 2020.

Peningkatan dalam keganasan domestik akibat tekanan, isu kesihatan mental dan masalah keluarga terkurung bersama untuk tempoh lama ketika PKP.

Bagi menangani isu ini, kerajaan memperuntukkan bajet untuk memperkasa Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita, menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita.

Tumpuan turut diberikan untuk subsidi ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita, sekali gus meringankan kos ujian bernilai antara RM120 hingga RM240.

Kerajaan memberi tumpuan kepada isu kemiskinan haid dengan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri.

Aspek kesihatan kanak-kanak juga diberi perhatian dalam Bajet 2022 dengan menyediakan peruntukan untuk tiga program, iaitu meluaskan Program Community Feeding kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar terpilih; meluaskan skop penerima bantuan Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan dan menubuhkan Bank Susu Ibu untuk bayi pramatang di Neonatal Care Unit.

Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Berita Harian X