Ahad, 19 September 2021 | 11:30am
Sesi persekolahan secara penggiliran dilaksana KPM mulai Oktober ini mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara setiap negeri. - Foto hiasan
Sesi persekolahan secara penggiliran dilaksana KPM mulai Oktober ini mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara setiap negeri. - Foto hiasan

Penggiliran murid lancarkan sesi pembukaan sekolah bersemuka

PENGGILIRAN kehadiran murid ke sekolah mengikut kumpulan menjadi polemik sebaik sahaja pengumuman pembukaan sekolah bermula 3 Oktober ini secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) setiap negeri.

Ia mendapat ulasan, komen, penerimaan positif dan bantahan banyak pihak, bergantung sudut pandangan masing-masing. Bagi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), langkah Kementerian Pendidikan (KPM) itu dialu-alukan.

Setakat ini, ia langkah terbaik untuk memastikan murid dapat kembali ke sekolah dan merasai semula mood bersekolah. Guru melalui fasa derita mengurus dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Murid juga ada pengalaman belajar di rumah dengan banyak kekangan dan pengaliran ilmu banyak kebocoran. Malah, ibu bapa pastinya agak terbeban menjadi 'guru kedua' di rumah.

Jadi, apa lagi pilihan selain memastikan murid dapat kembali ke sekolah untuk membolehkan 'proses baik pulih' dilaksanakan segera lantaran banyak 'kerosakan' semasa proses PdPR.

Apatah lagi program vaksinasi untuk pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara akan bermula esok.

Sebenarnya, penggiliran kehadiran murid ke sekolah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sudah disuarakan NUTP sejak Mei tahun lalu lagi.

Pada Mac tahun lalu juga, NUTP dengan kerjasama beberapa pakar pendidikan daripada universiti tempatan memulakan kajian ilmiah dan menyeluruh untuk membangunkan Model Pedagogi Penjarakan Fizikal dalam Pandemik COVID-19 berpaksikan dimensi mengekang penularan wabak dan meningkatkan pembelajaran murid.

Ketika itu, sekolah baru ditutup akibat penularan COVID-19 dan guru teraba-raba melaksanakan PdPR tanpa rujukan lampau sebagai panduan. Antara dapatan penting kajian, perlunya penggiliran kehadiran murid melalui dua kumpulan dalam setiap kelas.

Penggiliran dua kumpulan daripada kelas sama membolehkan setiap mata pelajaran diajar guru sama, sekali gus tidak mengganggu murid di kelas sebelah.

Jika penggiliran mengikut tingkatan atau tahap, dua kelas fizikal terpaksa digunakan untuk setiap kelas apabila semua 36 murid (sebagai contoh) hadir ke sekolah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) jarak 1 meter antara meja murid.

Pasti juga, setiap mata pelajaran terpaksa diajar dua guru hingga akan menimbulkan masalah apabila membabitkan mata pelajaran mengalami masalah kekurangan guru.

Daripada pengalaman guru juga, akan wujud tidak puas hati dalam kalangan murid di sesuatu kelas apabila digunakan murid kelas lain. Ia boleh mencetuskan bunga pertengkaran yang jika tidak dibendung akan menolak masuk ke gelanggang pergaduhan murid.

Lebih penting, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) setiap mata pelajaran, proses pentaksiran, penguatkuasaan SOP serta khidmat selepas belajar dalam setiap kelas adalah daripada guru mata pelajaran sama.

Tanggapan beban guru bertambah kerana dua kali mengajar topik sama untuk dua kumpulan berbeza pastinya dibangkitkan banyak pihak. Secara dasarnya, tiada beban tambahan atau guru perlu melaksanakan proses pengajaran bersemuka sebanyak dua kali.

Ini kerana guru boleh melaksanakan proses PdP secara hibrid, iaitu gabungan antara pembelajaran bersemuka di sekolah dan secara dalam talian atau luar talian di rumah. Guru tidak perlu terlalu memberi tumpuan kepada teknologi tetapi kaedah paling berkesan menyampaikan pengajaran tanpa bersemuka kepada murid.

Memang penggunaan teknologi melalui peranti dan internet sangat baik. Namun, dalam suasana 36.9 peratus daripada 5 juta murid tidak memiliki peranti mengikut kajian KPM pada 2020, kaedah luar talian berasaskan modul dan bahan bercetak lebih relevan terutama untuk murid keluarga B40.

Melalui kaedah hibrid, kumpulan A seramai 18 daripada 36 murid dalam sesuatu kelas akan hadir ke sekolah bersemuka dengan pematuhan SOP pada minggu pertama. Kumpulan kedua akan belajar secara dalam talian atau luar talian.

Kedua-dua kumpulan akan diajar topik sama, hanya kaedah berlainan. Guru akan membuat persediaan untuk pengajaran secara dalam talian atau luar talian kepada kumpulan A yang bakal belajar di rumah pada minggu kedua (minggu hadapannya).

Apabila masuk sahaja minggu kedua, kumpulan B akan belajar dengan hadir ke sekolah, manakala kumpulan A pula belajar di rumah. Pada minggu kedua ini, guru akan terus ke topik kedua menggunakan modus operandi sama seperti minggu pertama.

Tugas tambahan kecil guru pada minggu kedua adalah membuat 'baik pulih' dan lebih tumpuan kepada murid kumpulan B terhadap mana-mana bahagian yang mereka tidak faham dan memerlukan penjelasan guru dalam topik 1 pada minggu sebelumnya.

Pada masa sama, pengajaran topik dua secara bersemuka diteruskan kepada kumpulan dua ini. Tidak timbul isu guru terpaksa mengajar topik yang sama secara keseluruhannya.

Dalam memantapkan PdP, guru perlu dimahirkan pembelajaran huetagogi dan peeragogy, sekali gus keluar daripada kotak ilmu pedagogi dipelajari di maktab perguruan, institut pendidikan guru atau universiti sebelum ini.

Heutagogi atau pembelajaran ditentukan sendiri, ialah strategi pengajaran berpusatkan murid menekankan pengembangan autonomi, keupayaan dan kemampuan murid. Dalam zaman serba canggih, murid dan guru berhadapan banyak dan pelbagai maklumat.

Justeru, amat penting murid memiliki kemahiran pembelajaran arahan kendiri. Peranan guru adalah untuk memantapkannya.

Peeragogi pula secara asasnya, murid belajar sesama mereka dengan penyeliaan guru. Cabaran besar guru, melatih murid bagaimana menumpukan perhatian pada satu perkara secara mendalam. Kegagalan menumpukan perhatian menyebabkan murid tidak dapat memahami pelajaran secara menyeluruh.

Sebenarnya ramai ibu bapa was-was menghantar anak ke sekolah secara bersemuka disebabkan bilangan harian positif COVID-19 masih tinggi dan bahaya varian Delta.

Oleh itu, ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak jika tidak yakin dengan tahap keselamatan dan kesihatan dengan syarat membuat pemakluman rasmi kepada sekolah.

Dalam hal ini, anak mereka tidak akan ketinggalan dalam pelajaran walaupun tidak hadir ke sekolah kerana boleh berada dalam kumpulan murid belajar di rumah.

Sudah terlalu lama murid berada di rumah. Sudah tiba masanya mereka digerakkan semula ke sekolah dan menikmati rahmat dunia persekolahan bersemuka dengan kawalan SOP.

Tiada seorang pun boleh menafikan impak positif dan kesan maksimum pembelajaran anak hanya hadir melalui pembelajaran bersemuka di sekolah.

Langkah memulakan persekolahan secara kumpulan adalah langkah awal ke arah kita beranjak ke fasa normal dalam era endemik. Ditambah lagi dengan sasaran 80 peratus kadar vaksinasi remaja dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2022.

Penulis adalah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)

Berita Harian X