Isnin, 23 Ogos 2021 | 11:30am

Malaysia perlu laksana pelan adaptasi perubahan iklim

LAPORAN Penilaian Perubahan Iklim Ke-6 dikeluarkan Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Ogos lalu, turut memberikan dapatan penting dan relevan kepada Malaysia serta negara membangun di rantau ini.

Umumnya, media antarabangsa menekankan mesej ditonjolkan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang menyifatkan laporan ini sebagai 'isyarat kecemasan' kepada kemanusiaan sejagat.

Menurut laporan ini, pemanasan global meningkatkan suhu purata dunia melebihi 1.1 darjah celsius berbanding suhu zaman praperindustrian Eropah dan kini berada di ambang melepasi had 1.5 darjah Celsius yang dimandatkan di bawah Perjanjian Paris diratifikasi 175 negara.

Pemanasan global melangkaui aras itu akan menjadikan keragaman cuaca ekstrem seperti kemarau, hujan lebat dan banjir, manakala gelombang haba bakal meningkat dengan intensiti lebih tinggi serta impak lebih kuat.

Walaupun belum mencapai had 1.5 darjah Celsius, sistem iklim dunia kini berubah lebih ketara dan tidak pernah berlaku dalam tempoh ratusan hingga ribuan tahun lalu. Cuaca ekstrem, kemarau, banjir, gelombang haba dan kebakaran hutan menjadi semakin kerap serta kuat.

Kejadian banjir terburuk dalam sejarah di Jerman serta gelombang haba terburuk di Kanada dan Amerika Syarikat (AS) dengan suhu melebihi 50 darjah Celsius diikuti kebakaran hutan dan kemusnahan harta benda secara meluas baru-baru ini, cukup meyakinkan kita mengenai perubahan iklim sedang dan akan terus berlaku jika tiada tindakan lebih drastik.

Laporan ini menyatakan jika pemanasan global melangkaui had 1.5 darjah Celsius, keadaan menjadi lebih buruk, apatah lagi jika melewati 2 hingga 3 darjah Celsius.

Dunia akan berdepan malapetaka dahsyat dengan cuaca ekstrem membadai di hampir semua pelosok dunia, manakala peningkatan aras laut boleh menenggelamkan kawasan rendah pesisir pantai dan impaknya mampu membawa implikasi besar kepada tamadun manusia.

Laporan ini menyebut aras laut boleh meningkat sehingga 15 meter pada 2300 berbanding aras pada 1900 jika kadar pembebasan gas rumah hijau berada tahap tinggi dan tidak dapat diturunkan. Sejauh manakah prospek dunia dapat mengekang perubahan iklim tidak terkawal?

Laporan ini mengaitkan peningkatan suhu dan perubahan iklim kini kepada peningkatan kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera serta gas rumah hijau lain sebagai faktor penyebab. Gas rumah hijau berkepekatan tinggi memerangkap tenaga haba diserap permukaan bumi daripada dipancarkan semula ke angkasa lepas menjadikan jatah haba (heat budget) yang tidak seimbang.

Kepekatan karbon dioksida kini mencapai 410 bahagian per sejuta (ppm) adalah tertinggi dalam tempoh sekurang-kurang 2 juta tahun lalu. Puluhan model iklim menggunakan simulasi iklim dunia dalam laporan ini membuktikan perubahan iklim dan pemanasan global ini berpunca daripada pemerangkapan haba oleh karbon dioksida dan gas rumah hijau lain.

Data daripada cerapan langsung menunjukkan sejak 1970-an ketidakseimbangan jatah haba ini berlaku dengan ketara dan lebih 90 peratus haba terperangkap ini diserap lautan. Ini menyumbang peningkatan aras laut dan mengubah corak aliran arus lautan, seterusnya merubah bagaimana lautan mempengaruhi keadaan cuaca serta iklim setempat.

Laporan ini menunjukkan peredaran arus lautan di Lautan Atlantik akan menjadi lemah, seterusnya membawa perubahan besar kepada corak cuaca dan iklim bukan sahaja di Eropah, tetapi seluruh dunia.

Malangnya, dunia kini tidak berada dalam keadaan baik untuk mengekang pemanasan global pada had 1.5 darjah Celsius, malah 2 darjah Celsius. Menurut Laporan Khas 1.5 Darjah Celsius IPCC yang diterbitkan pada 2010, untuk sasaran had 1.5 darjah Celsius ini dicapai, kadar pelepasan tahunan gas karbon dioksida mesti berada sekitar 20 hingga 30 gigaton setara karbon dioksida (GtCO2e) pada 2030.

Namun, kadar pelepasan tahunan kini mencapai 51 GtCO2e dan ini bermakna dunia perlu mengurangkan kadar pelepasan ini sehingga 50 peratus dalam tempoh kurang 10 tahun dari sekarang.

Ternyata ikrar pengurangan pelepasan gas rumah hijau, iaitu Nationally Determined Contribution (NDC) menerusi Perjanjian Paris tidak mencukupi untuk mengehadkan pemanasan global pada 1.5 darjah Celsius.

Ikrar NDC akan meningkatkan suhu ke aras 2.5 hingga 2.8 darjah Celsius pada penghujung abad ke- 21. Malah, polisi semasa negara di dunia kini akan menyebabkan peningkatan suhu lebih tinggi, iaitu 2.8 hingga 3.2 darjah Celsius.

Jadi, secara umumnya prospek dunia dapat mengekang pemanasan pada had 1.5 atau 2.0 darjah Celsius, tidak begitu cerah, malah pengasas Microsoft, Bill Gates seperti disiarkan laporan BBC pada 15 Februari lalu, berkata menyelesaikan isu COVID-19 jauh lebih mudah daripada perubahan iklim.

Mengapakah semua ini begitu serius kepada negara membangun di Asia Tenggara, termasuk di Malaysia? Menurut fakta, rantau ini adalah teratas mencatatkan bilangan bencana alam sejak 30 tahun lepas dengan lebih 90 peratus adalah berkaitan bencana iklim.

Di Malaysia, kejadian banjir meningkat sejak 20 tahun lalu dengan kerugian melebihi RM8 bilion. Di Kuala Lumpur misalnya kajian menunjukkan kekuatan ribut petir dan hujan ekstrem meningkat 30 peratus sejak tiga dekad lalu menyebabkan banjir semakin kerap.

Kajian unjuran pemodelan perubahan iklim rantauan menerusi inisiatif CORDEX Southeast Asia diketuai penulis dan membabitkan pelbagai institusi dan negara, mendapati perubahan iklim di Asia Tenggara termasuk Malaysia drastik pada dekad akan datang jika pemanasan global gagal dikekang pada had 1.5 darjah Celsius.

Beberapa makalah saintifik diterbitkan penulis daripada inisiatif ini dan dipetik dalam laporan IPCC menyatakan kejadian cuaca ekstrem di Asia Tenggara, termasuk Malaysia diunjurkan menjadi lebih teruk.

Negara membangun di Asia Tenggara termasuk Malaysia perlu memperkukuhkan langkah adaptasi iklim dan tidak hanya menumpu kepada langkah mitigasi, iaitu menurunkan kadar pelepasan gas rumah hijau semata-mata bagi meningkatkan ketahanan kepada impak perubahan iklim.

Justeru, adalah disyorkan Pelan Adaptasi Perubahan Iklim Kebangsaan perlu diwujudkan dan dilaksanakan.

Penulis adalah Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X