Rabu, 30 Jun 2021 | 10:30am
Orang ramai perlu menggunakan pelaksanaan moratorium sebaik mungkin dengan berbelanja secara berhemat, fokus keperluan selain meningkatkan keupayaan kewangan keluarga. - Foto hiasan.
Orang ramai perlu menggunakan pelaksanaan moratorium sebaik mungkin dengan berbelanja secara berhemat, fokus keperluan selain meningkatkan keupayaan kewangan keluarga. - Foto hiasan.

Manfaat moratorium hadapi tempoh sukar mendatang

PENGUMUMAN Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama, iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir rakyat tidak berpuas hati dengan pengumuman PEMULIH itu. Malah, ada beberapa pihak mendakwa pakej terbabit bukanlah bersifat menyeluruh.

Langkah moratorium tanpa syarat diperkenalkan semula melalui PEMULIH juga menjadi bualan ramai lebih-lebih lagi dalam kalangan peminjam daripada institusi perbankan atau institusi kewangan pembangunan dikawal selia Bank Negara mahupun institusi pemberi pinjam wang yang tidak dikawal selia bank pusat terbabit.

Wajar ditekankan, Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan pelaksanaan moratorium kepada peminjam dan pelanggan institusi perbankan.

Sejak awal tahun lalu lagi, Bank Negara bekerjasama dengan institusi kewangan untuk melaksanakan langkah baharu bagi membantu individu serta perniagaan terjejas akibat wabak COVID-19.

Institusi perbankan juga mengambil inisiatif sendiri untuk menawarkan moratorium penangguhan atau pembayaran balik serta pakej penyusunan dan penjadualan semula bagi membantu peminjam dan pelanggan terjejas.

Berikutan perlunya untuk mempercepatkan pemberian bantuan kepada peminjam dan pelanggan dalam tempoh mencabar ini, moratorium secara automatik diperkenalkan supaya mereka boleh mendapatkan bantuan segera.

Tujuan moratorium adalah untuk memberikan bantuan aliran tunai segera kepada peminjam dan pelanggan yang mungkin menghadapi kekangan kewangan sementara akibat pandemik COVID-19. Institusi kewangan menanggung kos yang akan memberi kesan kepada aliran tunai dan perolehan mereka apabila menawarkan moratorium ke atas pinjaman atau pembiayaan.

Semasa tempoh moratorium, institusi kewangan tidak menerima sebarang bayaran balik, malah mereka perlu terus memenuhi obligasi dengan menanggung kos deposit dan sumber pendanaan, sambil menyediakan pinjaman dan pembiayaan kepada ekonomi.

Kebanyakan institusi kewangan membuat tawaran untuk tidak mengenakan kompaun ke atas faedah atau mengecualikan faedah dan caj pembiayaan tambahan ke atas pinjaman atau pembiayaan tertentu dalam tempoh moratorium diberikan.

Institusi kewangan menyerap sebahagian besar kos ini meskipun jumlahnya cukup besar bagi sesetengah institusi. Institusi kewangan ini mampu menyerap kos berkenaan berdasarkan penilaian penyeliaan Bank Negara terhadap keadaan kewangan mereka.

Namun, institusi kewangan tetap memerlukan masa untuk membina semula penampan kewangan selepas ini. Institusi kewangan tidak boleh menjadi terlalu lemah kerana keadaan ini akan menyekat kemampuan mereka untuk menyokong aktiviti ekonomi dalam tempoh mencabar ini.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sehingga Ogos tahun lalu, nilai moratorium diperkenalkan sejak April sebelumnya sudah mencecah RM81.9 bilion.

Daripada nilai itu, sebanyak RM28.6 bilion adalah jumlah digunakan sektor perniagaan, manakala nilai dimanfaatkan peminjam individu mencecah RM53.3 bilion.

Berdasarkan angka dan realiti semasa, Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menyatakan pelaksanaan moratorium bersasar lebih bersesuaian berbanding moratorium automatik kerana menepati keperluan situasi kewangan peminjam untuk menguruskan aliran tunai di tengah-tengah persekitaran mencabar.

Beliau turut menjelaskan, sebelum ini institusi perbankan menawarkan bantuan bayaran balik bersasar untuk meringankan beban aliran peminjam termasuk mengurangkan ansuran bulanan yang apabila ansuran dikurangkan, tempoh melunaskan pinjaman akan menjadi lebih lama, sekali gus akan meningkatkan kos pinjaman.

Penularan wabak COVID-19 dan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa memberi kesan kepada kedudukan kewangan (aliran tunai) semua lapisan masyarakat. Bank Negara dapat melaksanakan moratorium secara automatik kerana mengetahui kedudukan kewangan institusi kewangan di bawah kawal selianya dan impak daripada pelaksanaan moratorium berkenaan.

Sekiranya institusi kewangan tidak dikawal selia Bank Negara ingin menawarkan moratorium secara automatik bagi membantu peminjam dan pelanggan mereka, adalah penting untuk mereka mengetahui kos terbabit dan keupayaan mereka untuk menanggungnya.

Perlu diingat, sistem perbankan kukuh adalah teras pemulihan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Sementara itu, maklumat penting patut difahami peminjam dan pelanggan adalah mereka masih perlu melunaskan bayaran tertangguh pada masa hadapan meskipun mengambil moratorium. Bayaran balik akan termasuk faedah atau keuntungan tambahan terakru (diambil kira) dalam bayaran pinjaman dan pembiayaan tertangguh.

Oleh itu, peminjam atau pelanggan perlu memastikan mereka memahami kesan kewangan secara keseluruhan serta keupayaan untuk memenuhi obligasi meningkat, sama ada jumlah ansuran lebih tinggi selepas itu, pelanjutan tempoh pinjaman atau pembiayaan selepas tempoh penangguhan.

Ironinya, moratorium menjadi satu kaedah boleh membantu golongan memerlukan lebihan tunai dalam tangan. Langkah ini sememangnya amat penting untuk kelompok perniagaan terkesan mahupun kalangan individu kehilangan pekerjaan atau kekurangan sumber pendapatan atau gaji.

Justeru, sewajarnya moratorium ini dimanfaatkan rakyat bagi menghadapi tempoh sukar mendatang.

Koordinator Dana dan Jaringan (Antarabangsa dan Industri), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Berita Harian X