Selasa, 29 Jun 2021 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Gabungan 19 agensi perkukuh, jayakan pertahanan menyeluruh

Penubuhan National Task Force (NTF) baru setahun jagung, namun pencapaian dan kejayaan dilakarnya sangat membanggakan.

Satu demi satu aktiviti mengancam keselamatan negara ditumpaskan sama ada melalui jalan darat mahupun perairan negara hasil kerjasama, kesepaduan dan perancangan teliti semua agensi penguat kuasa di bawah koordinasi NTF.

NTF ditubuhkan pada 6 Mei 2020 dengan tujuan memperkukuhkan kawalan sempadan negara daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Operasi kawalan sempadan dilaksanakan dengan mengatur gerak angkatan bersepadu bagi mengawal kawasan teras (daratan) dan menguasai kawasan lanjutan serta hadapan (maritim dan udara) melalui kaedah 6D iaitu 'Deter' (Pencegahan), 'Detect' (Pengesanan), 'Deny' (Penghindaran), 'Detour' (Pelencongan), 'Detain' (Penahanan) dan 'Deportation' (Pengusiran).

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilantik sebagai agensi peneraju NTF bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan 15 agensi penguatkuasaan lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

Menerusi pelaksanaan Operasi Benteng, NTF melakar sejarah apabila pertama kalinya pasukan keselamatan bersama 19 agensi penguat kuasa dan KKM 'duduk semeja' dalam menzahirkan misi sepertimana diamanahkan pimpinan negara.

Tambah menarik, 19 agensi ini bukanlah semuanya daripada pasukan beruniform, malah membabitkan agensi dan jabatan bukan beruniform yang turut sama berkolaborasi.

Dengan adanya kerjasama dalam operasi bersepadu ini, NTF berjaya memperketatkan kawalan sempadan di samping memudahkan proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi diamanahkan.

Ini kerana kebanyakan aktiviti pencerobohan yang berlaku saling berkait dengan jenayah rentas sempadan lain.

Dalam masa sama, NTF menyelaras perkongsian maklumat perisikan antara agensi terbabit pasukan petugas risikan bersama dan mengkoordinasi perolehan logistik semua agensi terbabit.

Kesepaduan ketiga-tiga komponen darat, laut dan udara di bawah NTF juga berjaya meningkatkan kerjasama dan menggembleng usaha daripada aspek keupayaan risikan dan perkongsian maklumat sepenuhnya.

Sebagai contoh, penggunaan sistem pengesanan dan jaringan komunikasi seperti RMPnet yang dipinjamkan PDRM kepada semua agensi terbabit. Dengan adanya jaringan komunikasi mantap, ia berjaya memantapkan lagi hubungan antara semua agensi.

Uniknya lagi, kesepaduan tugas dilaksanakan di bawah agensi ini, tidak mencampuri tugasan hakiki jabatan dan agensi berkenaan. Keutamaan adalah koordinasi tugas supaya operasi dapat dilaksanakan secara optimum menggunakan aset sedia ada dalam semua agensi terbabit bagi mencapai objektif ditetapkan.

Kelihatannya, penubuhan NTF tidak banyak berbeza dengan penugasan agensi lain, tetapi dari sudut strategik pertahanan negara, kewujudannya secara langsung mendukung Kertas Putih Pertahanan dan merealisasikan Konsep HANRUH ataupun Pertahanan Menyeluruh yang digariskan dalam dokumen itu.

HANRUH adalah satu konsep pemahaman dan penekanan bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara bukan hanya terletak pada bahu anggota keselamatan semata-mata, tetapi ia tanggungjawab individu yang lahir dan mengaku sebagai rakyat Malaysia walau apa latar belakang mereka.

Tiga mesej utama dibawa dalam Kertas Putih Pertahanan adalah tidak mengambil mudah keselamatan dan pertahanan negara, penggemblengan keseluruhan kerajaan atau 'whole of government' dan keseluruhan masyarakat atau 'whole of society' serta perkongsian berwibawa demi keselamatan dalam dan luar negara.

Justeru, kejayaan NTF boleh dijadikan batu asas dan penanda aras supaya lebih banyak kerjasama sebegini dilaksanakan kerajaan serta swasta dalam bidang lain pula seperti pendidikan, sains, inovasi, teknologi serta banyak lagi.

Berbalik kejayaan NTF, hari demi hari, ada saja laporan penangkapan PATI, aktiviti penyeludupan dipatahkan mahupun siri rampasan dadah ditumpaskan.

Dilaporkan sehingga 31 Mei lalu, seramai 14,013 PATI dan 1,055 tekong ditangkap. Terdapat 1,409 kes penglihatan direkodkan, selain 379 kes pengusiran membabitkan PATI, kapal atau bot dan lain-lain. Terdapat juga 1,590 kes laporan rampasan dengan jumlah keseluruhan melebihi RM501 juta.

Lebih membanggakan lagi, NTF berjaya mengesan beberapa titik panas yang menjadi laluan PATI untuk membolosi sempadan negara sehingga kini menyukarkan pergerakan keluar masuk mereka.

NTF juga memaklumkan tidak kurang 500 laluan 'hotspot' dikesan di Semenanjung, Sabah serta Sarawak dan jumlah ini bertambah.

Untuk laluan maritim pula, beberapa lokasi panas menjadi fokus kemasukan PATI iaitu di Pulau Langkawi di Kedah; Kuala Selangor di Selangor; serta Tanjung Piai dan Tenggara di Johor.

Malah pihak berkuasa menahan ratusan tekong darat, ejen, 'transporter' atau pengangkut dan pemilik premis penampungan atau rumah menempatkan PATI.

NTF turut terbabit dalam mengkoordinasikan penghantaran pulang PATI daripada beberapa negara bersama Jabatan Imigresen Malaysia.

Isu migran Rohingya yang kini cuba menyusup masuk ke dalam negara selepas tersasar ke Acheh turut menjadi perhatian utama radar NTF masa kini.

Semua kejayaan ini tidak lain dan tidak bukan, menjadi bukti kerjasama erat terjalin antara semua agensi di bawah payung NTF.

Penulis adalah Penolong Pengarah Pusat Keselamatan Kontemporari, Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di Kementerian Pertahanan

Berita Harian X