Selasa, 4 Jun 2024 | 8:24am

Penggubalan segera dasar AI tingkat daya saing negara

DALAM meniti hidup pada era digitalisasi, istilah kecerdasan buatan (AI) kini tidak asing lagi kepada insani sehingga ia semakin disebut secara meluas, sekali gus menunjukkan pentingnya kewujudan teknologi itu hari ini dan akan datang.

Akan tetapi, ada segelintir pihak menganggap kehadiran AI berpotensi mendatangkan risiko kepada kehidupan manusia kerana ia dikatakan bakal mengambil alih tenaga buruh dalam bidang tertentu.

Memetik laporan diterbitkan pada Jun tahun lalu, teknologi AI bakal membuatkan seramai 4.5 juta rakyat negara ini hilang kerja. Hal itu diakui sendiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Beliau menegaskan jika tenaga buruh hari ini tidak ditingkatkan dari segi kemahiran serta melaksanakan latihan semula, kehadiran AI menyebabkan kemelesetan pasaran pekerjaan.

Menyedari ancaman itu, antara usaha diambil kerajaan sekarang adalah menubuhkan Fakulti AI pertama di negara ini, iaitu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi penubuhan fakulti khusus untuk AI itu, ramai berpendapat ia membuktikan persiapan kerajaan untuk mendepani satu lonjakan besar ke arah menyiapsiagakan negara mendepani masa depan dunia digital.

Tumpu pembangunan bakat AI

Sudah pasti banyak bidang sekarang bergantung harap kepada AI, lantas kerajaan perlu memandang serius khasnya aspek pembangunan bakat bagi meletakkan tenaga buruh di negara ini lebih berdaya saing.

Walaupun AI sudah lama wujud, usaha diambil kerajaan tidak bermaksud negara ketinggalan kerana kerajaan sudah pun menjalinkan kerjasama dengan firma gergasi teknologi antaranya Microsoft dan Google untuk memacu transformasi awan dan AI di Malaysia.

Dalam hal ini, Pengarah Pusat Inovasi dan Perusahaan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Aznul Qalid Md Sabri, menyifatkan penubuhan Fakulti AI di negara ini satu langkah baik sambil mengakui ini komitmen kerajaan untuk memastikan kepakaran dalam bidang AI dapat diperkasakan dengan lebih pantas

Semasa peluncuran Malaysia AI Nexus yang berkait dengan Fakulti AI ini, katanya turut diluncurkan adalah inisiatif Konsortium AI Malaysia (MAIC) yang secara dasarnya wujud satu koordinasi antara semua pemain berkenaan kesepakatan dalam memanfaatkan disiplin ilmu AI di Malaysia.

Menerusi penubuhan fakulti berkenaan, ia bukan sekadar hendak memenuhi aspirasi Perdana Menteri, bahkan perlu melihat lebih jauh daripada hal itu, kerana AI sebagai satu teknologi dan disiplin ilmu sangat luas merangkumi pelbagai cabang ilmu antaranya matematik, sains komputer, falsafah, biologi, sains kognitif, psikologi dan juga sains neuro.

Jelasnya, AI bukan lagi satu gimik kerana terdapat ledakan maklumat sangat mendadak dan keupayaan teknologi pemprosesan data yang tinggi.

Aspirasi Perdana Menteri itu katanya sejajar dengan perkembangan teknologi AI, satu lagi fasa teknologi disruptif mempunyai impak besar selepas wujudnya teknologi internet.

Dalam pada itu, tatkala ada pihak bimbang kehadiran AI yang diramal bakal mengancam sumber manusia, pakar buruh berpandangan penubuhan Fakulti AI dilihat satu langkah memenuhi tuntutan pasaran semakin memerlukan kepakaran dalam teknologi ini.

Menurut Penasihat Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Mohd Yusof Saari, penubuhan fakulti berkenaan satu tindak balas terhadap permintaan industri dan pasaran pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang AI.

Bangunkan infrastruktur, latihan teknologi

Bagaimanapun untuk benar-benar memanfaatkan teknologi AI, menubuhkan fakulti khusus sahaja tidak mencukupi, sebaliknya Malaysia perlu mengambil langkah seperti membangunkan infrastruktur, latihan dan pendidikan, kerjasama industri-akademia, serta peraturan dan perundangan.

Mengambil contoh di UAE, negara itu mengambil pendekatan dengan melancarkan Strategi AI Nasional sejak 2017 lagi termasuk menubuhkan Kementerian AI pertama di dunia.

UAE melaksanakan inisiatif AI dalam sektor penting seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan perkhidmatan awam, serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan AI.

Ia termasuk menjalinkan bekerjasama dengan negara lain dan syarikat teknologi global, memperkenalkan kurikulum AI di institusi pendidikan serta menawarkan program latihan profesional.

Selain itu, UAE membangunkan rangka kerja peraturan dan etika AI serta membina infrastruktur menyokong perkembangan teknologi ini, menjadikan AI sebagai teras utama dalam pembangunan negara dan meningkatkan daya saing globalnya.

Sejauh mana peralihan teknologi memberi kesan kepada buruh bergantung kepada sama ada teknologi dan buruh saling melengkapi atau menggantikan dalam proses pengeluaran. Ia juga bergantung kepada jenis sektor ekonomi.

Sebagai contoh, Mohd Yusof berkata, perubahan kepada automasi dan kaedah mesin secara langsung mengurangkan penggunaan buruh kurang mahir kerana automasi menggantikan penggunaan buruh. Ini adalah contoh kesan penggantian.

Berdasarkan pengalaman negara maju, peralihan teknologi jika diurus secara holistik dan inklusif, tidak menimbulkan ancaman kepada buruh tatkala teknologi cenderung memajukan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan gaji dan upah serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, seperti di Jepun dan Korea Selatan.

Bagi memastikan tenaga sumber manusia tidak menjadi mangsa selain mengelak AI disalahgunakan, kerajaan disaran mewujudkan satu kerangka kawal selia lebih holistik

Pada masa sama, kerajaan disaran menjelaskan dengan lebih mendalam bagi menangkis persepsi salah atau mitos terhadap AI seperti imej dan kesan buruknya dipaparkan dalam filem Hollywood, kononnya robot dijana dengan AI boleh mengambil alih tugas manusia seperti menjadi pihak berkuasa ataupun operasi mesin di kilang.

Apa yang penting, aspirasi kerajaan bagi merangka dasar dan meminda sebarang perundangan berkaitan AI perlu disegerakan supaya Malaysia menjadi negara mesra pelabur dan dapat menyokong perkembangan infrastruktur teknologi berkenaan.

Penulis adalah wartawan BH

Berita Harian X