Jumaat, 31 Mei 2024 | 12:10pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Perhalusi keperluan tingkat kemahiran insaniah graduan TVET

Pendedahan hasil kaji selidik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mendapati hanya 39.6 peratus daripada 262 syarikat ditemu bual sedia mengambil lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tenaga kerja bukan sahaja mengejutkan, tetapi cukup membimbangkan.

Ketika kerajaan bakal melancarkan Dasar TVET Negara 2030 pada 7 Jun ini, hasil kaji selidik ini membuka ruang untuk kita meneliti faktor menyebabkan majikan swasta tidak berminat mengambil lepasan TVET.

Data seperti ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi minat dan kecenderungan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bakal menyambung pengajian termasuk di institusi TVET.

Justeru, walaupun hanya membabitkan 262 syarikat, kita tidak boleh mengabaikan hasil dapatan kaji selidik ini, sebaliknya perlu fokus usaha menambah baik kurikulum TVET supaya dapat melahirkan siswazah holistik memenuhi kehendak dan ekspektasi majikan.

Antara dapatan menarik tinjauan MEF mendedahkan keperluan kritikal untuk meningkatkan kemahiran insaniah graduan TVET.

Tiga kemahiran insaniah perlu ditambah baik ialah pemikiran kritis, kepemimpinan dan kemahiran sosial serta komunikasi.

Ini bermakna majikan bukan saja memerlukan pekerja mahir dalam bidang teknikal khusus, tetapi memiliki pelbagai kemahiran tambahan supaya mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja di samping mampu membentuk kerjasama pasukan baik untuk meningkatkan produktiviti organisasi.

Mungkin selama ini kita terlalu fokus aspek pendidikan teori dan latihan praktikal berbentuk khusus dalam bidang teknikal atau kursus kemahiran pelatih ceburi.

Rombak silibus latihan kemahiran

Maka, wajar untuk diteliti dan dirombak kandungan silibus latihan kemahiran supaya keperluan kemahiran insaniah juga dapat dipenuhi agar kita melahirkan siswazah seimbang dalam segenap aspek, khususnya kemahiran kualiti peribadi.

Ini dapat dilakukan melalui pendedahan dan pelaksanaan pelbagai aktiviti serta program di luar bilik latihan atau bengkel kemahiran.

Institusi latihan TVET perlu membuka peluang kepada pelatih bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti menganjurkan program kepemimpinan organisasi, kesukarelawanan seperti program khidmat masyarakat serta penganjuran bengkel atau seminar dalam skop TVET itu sendiri.

Program seperti ini membolehkan pelatih terdedah kepada keperluan untuk mengasah dan meningkatkan bakat dalam bidang kepemimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis serta komunikasi baik sesama pelatih mahupun dengan pihak luar seperti anggota masyarakat dan industri.

Malah, institusi latihan juga boleh menganjurkan pelbagai kursus atau latihan tambahan dengan menjemput pakar daripada industri untuk meningkatkan kemahiran insaniah pelatih seperti dalam bidang komunikasi dan kepemimpinan.

Sebagai galakan kepada pelatih untuk mengikuti aktiviti kemahiran insaniah, kurikulum dan penilaian, kita wajar mengambil kira penglibatan dalam aktiviti berkenaan.

Tetapkan keperluan mandatori pembabitan dalam aktiviti kokurikulum sebagai antara prasyarat kelulusan program TVET. Ini sama seperti pelajar universiti diwajibkan mengikuti aktiviti kokurikulum berkredit sebagai syarat untuk bergraduat.

Sebagai tambahan, institusi TVET juga boleh mengeluarkan sijil atau transkrip khusus mengenai tahap pencapaian siswazah TVET dalam aspek kemahiran insaniah.

Ini akan memudahkan majikan mengetahui tahap pencapaian kemahiran insaniah dimiliki siswazah TVET ketika proses temu duga, sekali gus memudahkan majikan memilih pekerja bersesuaian keperluan organisasi masing-masing.

Ketika kerajaan mula melaksanakan Dasar Gaji Progresif memerlukan majikan membayar gaji berpadanan dengan kemahiran, kemampuan dan prestasi pekerja, maka adalah wajar Dasar TVET melahirkan siswazah memiliki ciri kualiti diperlukan majikan.

Dalam konteks ini kita perlu memastikan pelatih TVET dilengkapkan dengan kemahiran insaniah bersesuaian.

Hakikatnya, siswazah TVET dilihat memiliki masa depan cerah, justeru pelatih perlu mengambil peluang untuk turut mengasah bakat dalam aspek kemahiran insaniah supaya dapat menembusi pasaran kerjaya apabila bergraduat kelak.

Siswazah TVET perlu sedar bilangan lepasan pendidikan tinggi semakin bertambah dalam bidang TVET menyebabkan majikan mempunyai banyak pilihan.

Berita Harian X