Khamis, 23 Mei 2024 | 12:51pm
Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. - Foto fail NSTP
Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. - Foto fail NSTP

Laksana pendekatan baharu urus dana, perolehan kerajaan

PENDEDAHAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru-baru ini berlaku ketirisan hasil negara sebanyak RM227 bilion pada majlis pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, sangat mengejutkan.

Ketirisan RM277 bilion itu cerminan terang kepada gejala rasuah yang meresap dalam pengurusan kewangan negara. Ini bukan kali pertama Azam menekankan unsur ketirisan, secara langsung dikaitkan dengan gejala rasuah. Pada Oktober lalu, beliau memberitahu menjadi tanggungjawab SPRM membantu mengurangkan ketirisan dialami kerajaan.

Seperti disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, jumlah sebesar itu sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan lebih bermanfaat seperti pembasmian kemiskinan, pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan hospital, serta membantu golongan memerlukan.

Persoalan dalam kalangan rakyat kita pada hari ini, mengapa dan bagaimana ketirisan dalam jum- lah besar boleh terjadi. Mengapa ia dibiarkan berlaku dan tiada pihak bertanggungjawab serta dipertanggungjawabkan.

Penggunaan dana secara tidak cekap dan penyalahgunaan kuasa adalah sebahagian punca kepada jumlah ketirisan besar ini. Projek kerajaan tidak berkesan, pembaziran dalam pembinaan infrastruktur dan pengurusan projek lemah turut menyumbang kepada ketirisan mencemaskan ini.

Kita perlu menangani punca asal rasuah. Langkah ketelusan lebih besar dalam pengurusan dana awam, pemantauan teliti terhadap pelaksanaan projek dan penegakan undang-undang lebih tegas terhadap rasuah adalah antara langkah perlu diambil. Ini harus diutamakan dan ditegaskan. Kita tiada pilihan.

Selain itu, penting bagi rakyat untuk turut serta secara aktif membanteras rasuah dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan dan menuntut akauntabiliti daripada pemimpin mereka. Perkara ini turut ditekankan dalam NACS. Ini bukan sahaja tanggungjawab kerajaan dan agensi kerajaan seperti SPRM, tetapi juga tanggungjawab bersama bagi kebaikan bersama.

Pupuk budaya integriti di semua peringkat

Seperti digariskan dalam NACS, usaha menangani punca rasuah memerlukan pendekatan pelbagai aspek, termasuk reformasi menyeluruh untuk mengukuhkan mekanisme semak dan imbang sedia ada. Bagi tujuan ini, budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti perlu dipupuk di semua peringkat.

Agensi kerajaan dan penjawat awam perlu mendapat pendidikan serta latihan mengenai kepentingan integriti dalam pentadbiran awam. Mereka perlu memahami impak negatif rasuah dan penyelewengan terhadap rakyat dan negara. Tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap sesiapa terbabit rasuah atau penyelewengan. Ini termasuk denda dan hukuman tegas kepada pelaku.

Sudah sampai masa untuk mengkaji menggunakan pendekatan baharu bagi pengurusan dana dan perolehan kerajaan. Saranan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan badan awam memperjuangkan usaha konstruktif memerangi rasuah, integriti dan ketirisan dana awam wajar diteliti dan dilaksanakan jika bersesuaian.

Justeru, pelancaran NCAS 2024-2028 akan menjadi penggerak susulan lebih komprehensif dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia. Kita tidak mahu lagi mendengar Indeks Persepsi Rasuah (CPI) diumumkan Transparency International (TI) Malaysia berulang lagi.

Penemuan didedahkan Azam selari dengan apa yang pernah dinyatakan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bahawa sehingga 30 peratus daripada nilai projek awam negara hilang akibat salah urus dan rasuah. Kini kerajaan memperkenalkan NACS sebagai kesinambungan kepada NACP 2019-2023. Langkah ini wajar disambut baik kesemua pemegang taruh.

NACS menyediakan rangka kerja dan menunjukkan arah jelas membanteras rasuah di setiap peringkat. Pada masa sama, ia menetapkan matlamat mahu mengukuhkan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban semua pihak di seluruh negara. Diharap NACS menjadi titik tolak membina menangani ketirisan, sekali gus menjadikan Malaysia negara berintegriti tinggi dan bebas rasuah.

Penulis adalah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan mantan Ahli Jawatankuasa Khas Mencegah Rasuah (JKMR), Parlimen Malaysia

Berita Harian X