Rabu, 22 Mei 2024 | 9:47am
Penggunaan akaun keluarga pada peranti membantu ibu bapa memantau aktiviti anak dengan lebih mudah. - Foto hiasan
Penggunaan akaun keluarga pada peranti membantu ibu bapa memantau aktiviti anak dengan lebih mudah. - Foto hiasan

Pemantauan berterusan elak anak jadi mangsa antun seksual digital

DALAM era komunikasi digital semakin canggih dan mudah diakses, kanak-kanak terdedah kepada pelbagai bentuk bahaya atau jenayah dalam talian. Antara isu semakin membimbangkan ialah antun seksual.

Antun seksual merujuk kepada proses individu dewasa memanipulasi kanak-kanak untuk tujuan seksual. Proses ini biasanya dilakukan dengan cara membina kepercayaan dan hubungan emosi dengan mangsa sebelum memperkenalkan unsur seksual.

Apa yang pasti, antun seksual dalam talian kini aktif berlaku dalam media sosial, menjadi medium untuk perlakuan mesej seksual, sekali gus menuntut ibu bapa meningkatkan kesedaran anak mengenai mesej seks dan antunan seksual ini.

Kawalan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak mampu membantu mengatasi permasalahan antun seksual dalam kalangan mereka. Mereka sering tidak menyedari mudahnya maklumat peribadi mereka boleh disalahgunakan.

Justeru, pemantauan dan kawalan ibu bapa dapat memastikan maklumat peribadi anak tidak terdedah kepada orang tidak dikenali. Maka ibu bapa perlu membuat tetapan privasi pada akaun media sosial untuk memastikan hanya orang dikenali sahaja boleh melihat dan berinteraksi dengan anak.

Lazimnya, penjenayah sering kali menyamar sebagai rakan sebaya atau menggunakan identiti palsu untuk mendekati kanak-kanak. Di sini ibu bapa wajib memantau untuk mengenal pasti siapa berhubung dengan anak mereka.

Oleh itu, kawalan media sosial amat penting bagi mencegah kanak-kanak daripada berinteraksi dengan individu tidak dikenali, berniat jahat, termasuk terbabit dalam antun seksual.

Tapis, hadkan akses media sosial anak

Pada masa sama, ibu bapa perlu menapis dan mengehadkan akses kandungan media sosial anak mereka melayari internet serta media sosial, terutama berunsur seksual atau sebarang tingkah laku tidak sihat.

Kesedaran awal terhadap perlakuan sexting perlu diterap kepada anak, terutama kawalan kendiri penggunaan media sosial supaya mereka memahami risiko yang ada, melindungi data peribadi dan mengendalikan interaksi dalam talian dengan individu dikenali menerusi maya.

Mendepani cabaran ini, ibu bapa tidak boleh lepas tangan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak mengenai cara mengenali tanda-tanda antun seksual dan kaedah melaporkan kepada ibu bapa.

Anak perlu sentiasa diberi kefahaman bahaya mesej seksual dan cara menghindari daripadanya. Pemantauan aktiviti media sosial secara berkala perlu dilakukan ibu bapa menggunakan perisian kawalan untuk memantau mesej, komen dan rakan dalam talian.

Peranti digunakan anak perlu dilengkapi aplikasi penjejakan mesej, laman web dilawati dan aplikasi digunakan. Selain itu, penggunaan akaun keluarga pada peranti juga membantu ibu bapa memantau aktiviti anak dengan lebih mudah.

Peranan ibu bapa adalah kritikal dalam memantau dan mendidik anak mengenai keselamatan berkomunikasi dalam talian menerusi akaun media sosial. Pada masa sama, ibu bapa harus menunjukkan contoh baik dalam penggunaan media sosial.

Penguatkuasaan undang-undang lebih ketat terhadap jenayah siber dan antun seksual juga perlu ditingkatkan. Ia selari kajian kerajaan berkenaan pindaan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi menangani peningkatan kes antun seksual kanak-kanak.

Melalui pendidikan, pemantauan dan kerjasama antara ibu bapa, sekolah serta pihak berkuasa, ia dapat memastikan jaminan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran dunia digital, melindungi mereka daripada ancaman apa juga jenayah dalam talian.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau

Berita Harian X