Isnin, 20 Mei 2024 | 10:29am
Kepelbagaian pilihan kaedah penyampaian perkhidmatan memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan. - Foto hiasan
Kepelbagaian pilihan kaedah penyampaian perkhidmatan memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan. - Foto hiasan

SSPA anjakan perkhidmatan awam kelas pertama

Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) antara usaha kerajaan meningkatkan kualiti dan kebajikan penjawat awam, sekali gus mengoptimumkan prestasi perkhidmatan awam.

Sistem SSPA ini amat dinanti-nantikan memandangkan ketiadaan semakan secara menyeluruh sistem perkhidmatan awam sejak 2002.

Implementasi SSPA tertumpu kepada tiga skop utama, iaitu pembangunan organisasi, kemampanan sistem saraan dan pengurusan bakat penjawat awam yang bakal menyaksikan penerapan budaya kerja serta keberhasilan perkhidmatan awam di luar kelaziman.

Bagaimanapun, resipi kejayaan SSPA turut bergantung kepada reformasi tiga perkara utama dalam kalangan penjawat awam.

Pertama, penambahbaikan perkhidmatan awam perlu bermula dengan keterbukaan dan kesediaan perubahan minda serta sikap penjawat awam dalam menerima dan mengadaptasi norma kerja baharu berasaskan minda digital dengan menguasai ilmu teknologi terkini.

Bagi tujuan itu, komitmen tinggi amat diperlukan semua penjawat awam demi memenuhi keperluan rakyat dan negara, di samping menikmati kepuasan daripada tugasan diselesaikan dengan cemerlang.

Rasa bangga terhadap tugasan akan muncul apabila hasilnya dapat dinikmati pelanggan atau kumpulan sasaran. Sudah tentu, hanya penjawat awam bangga dengan pekerjaan akan dapat melaksanakan tugas dalam apa jua keadaan bagi memenuhi jangkaan rakyat, mahupun pemegang taruh yang kompleks, pelbagai dan sentiasa berubah.

Kedua, daripada perubahan sikap dan minda, tahap kecekapan bekerja seseorang penjawat awam juga akan meningkat. Apabila seseorang penjawat awam berbangga dengan kerja dilakukan, hasil diberikan pastinya cekap dan berkualiti tinggi.

Malah, penjawat awam akan mula mencari ruang dan jalan menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Lengkap diri dengan pengetahuan, kemahiran

Justeru, akan wujud kesedaran penjawat awam terhadap keperluan untuk pembelajaran berterusan bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran bertepatan serta bersesuaian dengan keperluan keadaan semasa.

Ini bagi meningkatkan kualiti dan prestasi kerja agar sentiasa proaktif dan responsif terhadap keperluan rakyat serta negara.

Ketiga, penjawat awam perlu mengubah cara berfikir untuk memberikan perkhidmatan lebih kreatif dan inovatif kepada rakyat selaras perubahan dan perkembangan teknologi terkini.

Penjawat awam tidak boleh terus selesa dengan kaedah perkhidmatan awam sedia ada ditawarkan kepada rakyat antaranya kaunter pandu lalu, pusat sehenti (OSC), e-bayaran mahupun penggunaan sistem QR Code.

Sebaliknya, mereka perlu terus mencari alternatif dengan menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat berbeza bersesuaian mengikut kumpulan sasaran.

Kelahiran SSPA bukan sahaja bakal mengubah landskap perkhidmatan awam, bahkan memperlihatkan anjakan prestasi dan kualiti penjawat awam di mata rakyat.

Akhirnya, semua insentif dan faedah yang sudah dan bakal diterima penjawat awam melalui SSPA ini perlu diberikan kembali kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan awam kelas pertama.

Penjawat awam perlu ada sikap 'peduli rakyat' supaya perkhidmatan awam sentiasa fleksibel dengan menyediakan kepelbagaian pilihan kaedah agar semua pihak mudah berurusan dengan kerajaan.

Penulis adalah Aidil Hasinah ialah Perunding Latihan Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), manakala Mohd Hairul ialah Pengarah IKWAS

Berita Harian X