Ahad, 19 Mei 2024 | 11:31am
Foto hiasan. - REUTERS
Foto hiasan. - REUTERS

Penggunaan AI dalam kewartawanan perlu peraturan, dasar jelas

Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bakal berlangsung di Kuching, pada 25 hingga 29 Mei ini mengangkat tema Etika Teras Kewartawanan Mapan, sebenarnya sangat penting dalam konteks persaudaraan media profesional dan pakar industri bertukar-tukar idea serta membentuk hubungan strategik.

Realitinya, tanggungjawab wartawan meliputi pengamal media cetak, digital dan elektronik bukan sahaja berkaitan pengumpulan, penyampaian serta pengolahan maklumat, bahkan memastikan apa disajikan adalah benar dan tepat.

Wartawan sewajarnya bersikap neutral dan tidak memihak. Berita disampaikan pula harus objektif dan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi atau pihak tertentu.

Mereka perlu memberikan ruang kepada semua pihak terbabit untuk memberikan pandangan hingga berita disajikan seimbang dan tidak berat sebelah.

Walaupun wartawan sering menghadapi pelbagai tekanan dan ancaman, terutama ketika melaporkan isu sensitif atau kontroversi, keberanian mengungkap kebenaran adalah sebahagian tanggungjawab kewartawanan.

Di sebalik cabaran itu, golongan itu tetap perlu mempertahankan etika kewartawanan, iaitu prinsip dan standard mesti dipatuhi dalam menjalankan tugas hingga dapat memastikan dapat bekerja dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Wartawan mesti menjaga kebebasan daripada pengaruh pihak lain hingga tidak boleh ada konflik kepentingan dapat mempengaruhi integriti pelaporan. Semua sudut pandangan relevan mesti ditunjukkan secara berkadar.

Realitinya, dunia kewartawanan menghadapi pelbagai cabaran kompleks, baik dari segi teknologi, ekonomi dan sosial. Penyebaran berita palsu dan maklumat salah melalui media sosial serta platform digital mengancam kepercayaan media.

Kita tidak boleh menafikan media sosial sumber berita utama, sekali gus mengurangkan peranan tradisional organisasi berita sebagai penjaga maklumat.

Wartawan bersaing dengan kandungan cepat dan sering tidak disahkan kerana kini semua wartawan warga (citizen journalism) mendakwa sebagai 'wartawan'.

Algoritma media sosial dan mesin pencari dapat menentukan keterlihatan berita, kadang-kadang mengutamakan kandungan sensasi atau kontroversi berbanding kewartawanan berkualiti tinggi.

Justeru, kewartawanan perlu terus berinovasi dan menyesuaikan diri agar tetap relevan serta berfungsi sebagai tonggak penting dalam demokrasi dan masyarakat berpengetahuan.

Media sosial seperti X, Facebook, TikTok dan Instagram menjadi saluran utama penyebaran berita. Malah, organisasi berita sendiri menggunakan platform ini untuk menjangkau khalayak lebih luas dan lebih muda.

Teknologi digital membolehkan berita disampaikan dalam masa nyata. Berita terkini dapat diterbitkan dalam beberapa saat hingga memberikan maklumat terkini kepada penonton.

Digitalisasi pula membolehkan penggunaan analisis data untuk melakukan penyelidikan mendalam. Wartawan boleh menggunakan data raya untuk mengetahui trend dan corak yang tidak pernah dilihat sebelumnya.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia kewartawanan membawa pelbagai manfaat, tetapi juga cabaran perlu diatasi untuk memastikan integriti dan kualiti kewartawanan dikekalkan.

AI boleh mengautomasi tugas berulang seperti penulisan laporan kewangan, laporan sukan dan analisis data, sekali gus memberikan ruang tumpuan kepada tugas lebih kompleks dan analitis.

Kehebatan AI dapat menganalisis sejumlah besar data dengan cepat dan efisien, membantu wartawan mengenal pasti trend, corak dan isu mungkin terlepas pandang.

AI juga digunakan untuk menghasilkan kandungan berita secara automatik dan membantu dalam pengumpulan berita dengan menapis maklumat daripada pelbagai sumber secara masa sebenar dan menyampaikan berita terkini dengan pantas.

Namun, artikel dihasilkan AI tidak selalu tepat atau sahih. Algoritma memerlukan data betul dan kontekstual untuk menghasilkan berita boleh dipercayai. Kesilapan dalam data atau bias algoritma boleh membawa kepada penyebaran maklumat salah.

Etika penggunaan A

Wujud kebimbangan mengenai etika dalam penggunaan AI terutama dalam aspek pengumpulan data dan privasi. Menggunakan AI untuk mengumpulkan maklumat dari sumber tidak diketahui kesahihan atau tanpa kebenaran melanggar etika kewartawanan.

Malah, kandungan dihasilkan AI mungkin tidak mencapai standard sama seperti dihasilkan wartawan berpengalaman. Nuansa, konteks dan pemahaman mendalam tentang isu kompleks sering kali memerlukan sentuhan manusia.

Banyak tugas dahulunya memerlukan wartawan manusia kini boleh dilakukan oleh mesin, mengurangkan keperluan untuk tenaga kerja manusia. Algoritma AI digunakan organisasi media mungkin dipengaruhi keperluan komersial yang boleh menjejaskan objektiviti dan kualiti berita.

Maka, wartawan dan pengamal media perlu diberikan latihan dalam penggunaan teknologi AI serta data analisis. Ini membolehkan mereka menggunakannya dengan berkesan sambil mengekalkan etika dan standard kewartawanan.

AI perlu dilihat sebagai alat melengkapi kerja wartawan, bukan menggantikannya. Kombinasi kepakaran manusia dengan keupayaan analitik AI boleh menghasilkan penulisan berita lebih baik.

Malaysia perlukan peraturan dan dasar jelas mengenai penggunaan AI dalam kewartawanan untuk melindungi privasi, etika dan kualiti berita.

Dengan menguruskan manfaat dan cabaran ini secara seimbang, kewartawanan boleh memanfaatkan teknologi AI untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti berita sambil mengekalkan standard etika dan profesionalisme.

Berita Harian X