Isnin, 13 Mei 2024 | 9:36am
Kemenangan Pang Sock Tao (tiga dari kanan) membuktikan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat yang menginginkan wakil rakyat muda, berkaliber sekali gus diyakini mampu menggalas tanggungjawab dengan baik. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Kemenangan Pang Sock Tao (tiga dari kanan) membuktikan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat yang menginginkan wakil rakyat muda, berkaliber sekali gus diyakini mampu menggalas tanggungjawab dengan baik. - NSTP/Eizairi Shamsudin

PRK bukti rakyat terima kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan

KEMENANGAN Pang Sock Tao, calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kuala Kubu Bharu ternyata menepati jangkaan banyak pihak, sekali gus memberi jaminan legasi kuasa DAP ditinggalkan mendiang, Lee Kee Hiong sejak 2013 berterusan.

Meskipun bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, ini baru berusia 31 tahun, namun pengalamannya di peringkat kerajaan Pusat tidak seharusnya diragui berikutan beliau sebelum ini pernah berkhidmat dengan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Faktor itu membuatkan 14,000 daripada 24,145 undi memihak kepadanya, sekali gus memperoleh majoriti 3,869 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut (10,131 undi), diikuti calon Bebas, Nyau Ke Xin (188) dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin meraih 152 undi.

Lebih signifikan, kemenangan Sock Tao itu membuktikan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat yang menginginkan wakil rakyat muda, berkaliber sekali gus diyakini mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

Walaupun hakikat sebenarnya, PH terpaksa mengakui realiti jumlah undi majoriti sedikit merosot berbanding 4,119 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, tetapi PRK kelmarin menyaksikan enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti pengundi Melayu yang sebelum ini ditawan PN, kini dimiliki PH dengan bantuan Barisan Nasional (BN) khasnya UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang membantu PH mengekalkan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

Sentimen agama, kaum bukan lagi cagaran

Pencapaian itu membuktikan pengundi Melayu sudah berubah sikap dan mula menyedari hakikat sentimen perkauman serta agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran meraih undi.

Kematangan pengundi meyakini pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasa sebagai teras kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

PRK kali ini juga disifatkan tenang susulan hanya ada beberapa perkara mencuit perhatian, malah 'masalah' membelenggu Khairul Azhari banyak membantu kemenangan PH kerana pertembungan empat penjuru berkenaan sebenarnya pertandingan 'satu-lawan-satu' antara PH dan PN.

Personaliti Khairul Azhari yang tidak jelas termasuk isunya meminjam along dan kelayakan akademik banyak memberi persepsi negatif kepada calon berusia 54 tahun itu.

Beliau juga sering mengelak pertanyaan media apabila diajukan soalan berkaitan isu berkenaan dan hanya sesekali menggunakan platform media sosial bagi menjawab dakwaan berkenaan. Namun, ia tidak begitu berhasil kerana susuknya tampak terlalu terikat dan dibayangi pemimpin utama PN dan pada siri ceramahnya.

Selain itu, faktor PN tewas disebabkan siri kempennya kurang jelas serta terlalu terikat dengan isu nasional sehinggakan jentera calon kurang mendalami masalah setempat.

Antara penduduk yang menunaikankan tanggungjawab sebagai pengundi di SK Bandar Baru Batang Kali sempena PRK DUN Kuala Kubu Bharu, kelmarin. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Antara penduduk yang menunaikankan tanggungjawab sebagai pengundi di SK Bandar Baru Batang Kali sempena PRK DUN Kuala Kubu Bharu, kelmarin. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Hal ini membuatkan interaksi dengan pengundi bukan Melayu menjadi kurang berkesan meskipun demografi Melayu mencatatkan 47 peratus, Cina (31 peratus); India (18 peratus) dan lain-lain, empat peratus.

Meskipun bilangan pemilih berdaftar berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 40,226 pengundi dengan 39,362 pengundi biasa, 625 pengundi anggota polis dan pasangan, 238 pengundi tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara, tetapi kelmarin hanya menyaksikan peratusan keluar mengundi hanya 61.51 peratus.

Selain itu, sokongan komuniti Orang Asli turut beralih kepada PH dengan 400 undi memihak kepada Sock Tao dan pola undian itu menterjemahkan komuniti minoriti itu kian terbuka menerima calon, selain BN yang berpuluh tahun disokong mereka.

Analisis sebelum ini menjangkakan undi pengundi India adalah undi penentu atau King Maker tetapi hanya lima peratus atau 2,006 pengundi kaum berkenaan keluar mengundi.

Sementara itu, peratusan kaum Cina 14 peratus atau 6,020 pengundinya keluar menunaikan tanggungjawab. Bermakna, ada petanda menunjukkan pengundi kaum India melakukan protes dengan tidak keluar mengundi.

Daripada data pengundian, PH meraih 35 peratus undi, PN merebut 25 peratus undi sementara PRM dan Bebas masing-masing 0.3 peratus.

Namun apa yang dapat diakui, jumlah undi awal mula beralih kepada PH berbanding PN ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu sekali gus menunjukkan strategi Kerajaan Perpaduan membuat percaturan khusus iaitu jentera BN menumpukan pengundi Melayu dan PH kepada bukan Melayu membuahkan hasil.

Ia juga menjadi permulaan cukup baik kepada Kerajaan Perpaduan kerana konsep kesepakatan merentas parti berbeza ideologi walaupun tidak sama seperti BN, semakin diterima pengundi dan rakyat secara amnya.

Penulis adalah wartawan BH

PH menang PRK Kuala Kubu Bharu. (Peratusan keluar mengundi - 61.51 peratus)
PH menang PRK Kuala Kubu Bharu. (Peratusan keluar mengundi - 61.51 peratus)

Berita Harian X