Sabtu, 11 Mei 2024 | 9:19am
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa keluar peti undi dari Pusat Penjumlahan Rasmi Undi untuk dihantar ke pusat mengundi awal pagi tadi sempena PRK DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. - Foto BERNAMA
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa keluar peti undi dari Pusat Penjumlahan Rasmi Undi untuk dihantar ke pusat mengundi awal pagi tadi sempena PRK DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. - Foto BERNAMA

PRK uji kerjasama Kerajaan Perpaduan, kerelevanan isu 3R

HARI ini, pengundi di Kuala Kubu Bharu akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu bagi mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.

Secara umumnya, kerusi DUN ini sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) didominasi Pakatan Harapan yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) dengan mendiang Lee Kee Hiong menjadi wakil rakyat.

Apa menarik dalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu sejak 1974 adalah daripada segementasi Cina yang dahulunya didominasi MCA sebagai komponen Barisan Nasional (BN) dan beralih kepada PR diwakili DAP hingga kini.

Bagaimanapun, saingan sengit diberikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu dengan undi PH berkurang sekitar 3.45 peratus berbanding PRU13.

Situasi sama juga bakal berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini yang membabitkan pertandingan empat penjuru antara Pang Sock Tao daripada PH dan Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN), selain Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Di atas kertas, undi mungkin berpihak kepada Sock Tao memandangkan penguasaan DAP selama ini dan status sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Namun, faktor calon Melayu daripada PN, Khairul Azhari sinonim dengan gelar 'anak tempatan' bakal memberikan saingan dengan imej PN mewakili Melayu-Islam, manakala PH lebih bersifat inklusif.

Gelombang PRK Kuala Kubu Bharu rata-rata agak sendu dan kurang 'panas' seperti kebiasaan. Namun, ia turut menjadi tumpuan dalam usaha menilai pengaruh besar kesepaduan ideologi antara PH-BN membentuk Kerajaan Perpaduan.

Kita lihat PH-BN membawa naratif besar dengan gagasan perpaduan selari kerjasama mereka tetapi mendapat cabaran daripada naratif 'keterancaman Melayu'.

Ini ditambah dengan naratif berbentuk sindiran atau bersifat satira yang memetakan soal keterancaman kaum terutama pascapembentukan kerjasama itu dengan mempersoalkan bagaimana penerimaan UMNO terhadap DAP.

Lihat sahaja sekitar PRN 2023, algoritma naratif keterancaman Melayu-Islam dilaungkan PN di media sosial menggambarkan perikatan itu mampu mewakili suara Melayu-Islam memperjuangkan kepentingan kelompok atau segementasi pengundi ini.

Justeru, soal 3R (kaum, agama dan Raja) dijadikan wahana utama kempen bagi memastikan sokongan pengundi Melayu beralih kepada PN selepas lama didominasi BN-UMNO.

Kita tidak mampu menolak, inilah cara gaya kempen dan laungan politik sinonim dengan imej PN sebagai parti memperjuangkan Melayu dan Islam. Ia dibuktikan melalui prestasi PN dalam PRU15 dan PRN 2023 serta beberapa siri PRK misalnya Kemaman apabila dominasi mereka kekal berpengaruh dalam kelompok pengundi di kawasan majoriti Melayu.

Dengan peratusan komposisi pengundi didahului Melayu hampir 50 peratus, peluang PN memenangi tetap ada. Namun, sokongan peratusan pengundi Melayu pro-PKR dan DAP dari sudut pemerhati politik juga agak signifikan dan perlu diambil kira.

Ini kerana hampir 48 peratus pengundi datang daripada segmen pengundi Cina dan India. Kempen membangkitkan elemen 3R oleh PN mungkin signifikan untuk meraih undi Melayu, namun dalam konteks 48 peratus pengundi bukan Melayu ini, ia agak sukar diterima.

Keberkesanan permainan elemen 3R

Justeru, timbul persoalan masih utuhkah lagi penggunaan elemen 3R dalam meraih undi kelompok pengundi secara inklusif? Walaupun dalam konteks KKB, kerusi ini didominasi wakil rakyat Cina, peratusan pengundi Melayu tinggi menjadikan potensi perubahan itu tetap ada.

Jika tidak ditangani dengan baik oleh PH, ia mampu menggugat dominasi mereka dan jika menang sekalipun, pastinya akan mengurangi jumlah majoriti undi. Namun, yang menarik perhatian ialah pengundi India. Walaupun kaum itu minoriti di Kuala Kubu Bharu, mereka mampu menentukan keputusan PRK ini.

Ini dipengaruhi beberapa isu utama dalam masyarakat India terutama berkaitan kuota dan naratif bawahan bahawa wakil rakyat sebelum ini tidak mengambil tahu masalah komuniti ini.

Justeru, potensi boleh wujud dalam dua keadaan. Pertama, berlaku peralihan undi pengundi India kepada PN, manakala kedua, pengundi India tidak akan keluar pengundi sebagai protes terhadap PH sedangkan mereka 'deposit tetap'.

Soal nasional turut menjadi inti pati utama kempen namun tidaklah begitu dominan. Namun, kempen dan sentimen dalam pilihan raya memang berkait rapat.

Dalam PRK ini, siapa berjaya mencipta sentimen dan menguasai titik pemikiran pengundi, maka merekalah yang akan menang. Justeru, dalam soal ini, aspek nasional sebenarnya mampu memberikan nilai tambah kepada pengundi untuk menilai calon sesuai mewakili mereka.

Apa yang menarik, PRK Kuala Kubu Bharu boleh dijadikan penanda aras dan medan menguji kesepaduan ideologi Kerajaan Perpaduan, yakni antara PH dengan BN.

Jika pengundi berasakan PH pada peringkat nasional belum mampu mencapai jangkaan diletakkan berkaitan kesejahteraan hidup membabitkan kenaikan kos sara hidup, kelembapan ekonomi dan mampu bertindak sebagai 'penjaga dan pelindung' aspirasi Melayu serta Bumiputera, maka potensi PN untuk menang adalah tinggi.

Namun sebaliknya jika pengundi tidak senang dengan kempen elemen 3R dianggap bertentangan sifat inklusif dan nilai integrasi kaum, maka sudah tentu PN akan ditolak, manakala PH kekal mendominasi walaupun jumlah majoriti berkurangan.

Dalam kesenduan situasi PRK ini, jangkaan peratusan keluar mengundi pastinya akan menjadi persoalan. Dengan situasi PRN 2023 dan beberapa PRK seperti DUN Pelangai yang berada di bawah 70 peratus, pastinya akan wujud situasi sama.

Ini mungkin disebabkan beberapa faktor membabitkan keletihan politik, kewajaran membina imej kestabilan serta defisit kepercayaan kepada ahli politik dan institusi politik.

Pada masa sama, medan di PRK bakal memperlihatkan sejauh mana keutuhan dan kesepaduan ideologi PH-BN pada peringkat nasional mampu mempengaruhi sentimen pengundi.

Paling jelas ketidaksediaan MCA turun bantu berkempen kali ini memperlihatkan juga elemen pertembungan antara MCA dengan DAP masih wujud.

Dengan pelbagai isu dibangkitkan pada peringkat nasional berkaitan prestasi semasa Kerajaan Perpaduan, realisasi agenda reformasi masih perlahan, naratif ekonomi lemah - walaupun angka pelaburan langsung asing (FDI) dan pertumbuhan ekonomi terus sihat - membabitkan juga soal kenaikan kos sara hidup pastinya turut sama mempengaruhi situasi dan kecenderungan pengundi dalam PRK di Kuala Kubu Baharu.

Demikian, PRK N06 Kuala Kubu Bharu ini mampu menjadi medan awal untuk melihat sejauh mana relevan sentimen 3R dan kesepaduan ideologi serta kerjasama dalam PH-BN membentuk Kerajaan Perpaduan pada peringkat nasional.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Berita Harian X