Jumaat, 10 Mei 2024 | 8:26am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Syor tawar ganjaran orang awam lapor rasuah

PENDEDAHAN negara kehilangan RM277 bilion akibat rasuah sebenarnya boleh dianggap keaiban terbesar dalam sejarah.

Rasuah diibaratkan seperti barah hingga menjadi masalah utama yang memberi kesan kepada masyarakat. Pemberi, penerima atau individu bersubahat hakikatnya menjadi batu penghalang kepada pembangunan dan kemajuan.

Kita harus mengakui usaha menghapuskan rasuah dalam masyarakat tidak dapat dilakukan dalam masa sehari, tetapi perlu mendapat kerjasama semua pihak.

Kita perlu kembali kepada asas, iaitu peringatan terhadap amalan rasuah yang menjijikkan. Setiap pejabat kerajaan mempunyai papan kenyataan mengenai kerja pejabat berkenaan dan bilangan hari bagi setiap perkhidmatan, tetapi tidak semua ada maklumat mengenai nombor aduan dan alamat pihak untuk dihubungi jika berlaku kes rasuah.

Malah, ia juga perlu dipasang di mana-mana termasuk jalan raya dan jambatan, bahkan di papan tanda di kawasan pembinaan sepatutnya memasukkan maklumat itu, selain jenis kerja, jumlah diperuntukkan dan tarikh penyiapan.

Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan lagi perkhidmatan dalam talian kerana ia bukan sahaja efisien, bahkan boleh membantu dalam membasmi rasuah.

Rakyat tidak perlu ke pejabat kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan, sebaliknya melakukannya secara dalam talian yang sebenarnya boleh mengurangkan amalan rasuah.

Dari aspek perundangan pula, kita memerlukan undang-undang lebih ketat dan tegas kerana apa dilaksanakan sekarang seolah-olah dapat dimanipulasi hingga mereka terus melakukan rasuah.

Apatah lagi walaupun seseorang didakwa kerana menerima rasuah, ia mengambil masa lama untuk mendapatkan keputusan.

Dalam hal ini, kerajaan perlu meningkatkan peruntukan kepada agensi penguatkuasaan supaya penyiasatan dapat dibuat dengan lebih efisien memanfaatkan teknik dan teknologi lebih moden.

Penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan segera dapat menimbulkan ketakutan kepada golongan yang menyalahgunakan kuasa atau melakukan rasuah.

Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewajarnya memanfaatkan lampu hijau diberikan pentadbiran semasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana orang kenamaan atau penting (VVIP), bahkan kepada menteri sekalipun.

Bagi masyarakat pula, mereka perlu berani melaporkan individu yang meminta atau memberikan rasuah kerana ketakutan rakyat berbuat demikian memberikan kelebihan kepada golongan korup.

Dalam konteks ini, kerajaan perlu menggalakkan orang awam untuk melaporkan rasuah termasuk dengan menawarkan ganjaran 20 peratus daripada dikutip pesalah kepada pemberi maklumat.

Kerajaan perlu meningkatkan kepercayaan orang ramai bahawa tidak akan ada apa-apa berlaku kepada mereka jika bertindak dengan cara adil. Diyakini 80 peratus jenayah rasuah akan terkawal jika kerajaan mengambil tindakan sewajarnya.

Hakikatnya, untuk melihat Malaysia menjadi negara bebas rasuah, perubahan perlu bermula dari bawah dengan berpegang kepada motto 'kami tidak membayar rasuah untuk sebarang kerja'.

Ini termasuk tidak mengambil wang dalam kempen mana-mana pilihan raya. Jika kita bertindak dengan tekad itu, kita boleh menghapuskan rasuah.

Penulis adalah Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X