Sabtu, 4 Mei 2024 | 9:42am
Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao ketika menyampaikan manifesto pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N. 06 Kuala Kubu Bharu di Bandar Utama Batang Kali, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao ketika menyampaikan manifesto pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N. 06 Kuala Kubu Bharu di Bandar Utama Batang Kali, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sokongan pengundi India dijangka menangkan calon PH

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu dianggap sesetengah pihak sebagai referendum terhadap Kerajaan MADANI selepas mengambil alih pentadbiran daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).

Meskipun calon Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini pada Pilihan Raya Negeri lalu, suasana politik sudah berubah selepas itu.

Tidak hairanlah, PRK ini dilihat sebagai ujian litmus untuk menentukan pentadbiran semasa, termasuk kewibawaan dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa membezakan PRK ini dengan yang sebelumnya adalah komposisi 40,226 pengundi berdaftar, iaitu pengundi Melayu sebanyak 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus) dan India (18 peratus).

Ini menjadikan bukan sahaja jumlah pengundi Melayu dan China seimbang, bahkan pengundi India dilihat sebagai penentu keputusan PRK Kuala Kubu Bharu.

Pada PRN, sebahagian besar pengundi India memihak kepada PH, iaitu calon DAP, Mendiang Lee Kee Hiong hingga menang dengan majoriti 4,119 undi. Soalnya kini, apakah pengundi India kekal memihak kepada PH?

Tinjauan kasar suasana politik di Kuala Kubu Bharu menunjukkan sebahagian besar pengundi Melayu memihak PN, manakala majoriti besar pengundi Cina kekal kepada calon PH.

Pengundi India pula didapati masih celaru dalam membuat keputusan kerana dihujani pelbagai siaran propaganda, termasuk dalam bentuk tohmahan di media sosial terhadap parti utama bertanding.

Namun, pengundi India yang menjadi ahli MIC kira-kira 2,000 ahli dalam DUN ini dijangka memihak kepada calon PH kerana parti itu di bawah kepemimpinan Tan Sri SA Vigneswaran membuat keputusan menyokong calon Kerajaan MADANI.

Pada pilihan raya, sama ada PRU atau PRN, pengundi India kononnya tidak puas hati dengan MIC dan terpengaruh dengan janji PH memihak kepada gabungan berkenaan. Ini menjadikan hampir 80 peratus pengundi India beralih sokongan kepada PH dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan.

Medan politik sudah berubah

Namun, medan politik kini sudah berubah. Pengundi India berpecah kepada beberapa parti politik seperti MIC, DAP dan PKR pada PRU15 sudah bersatu-padu dengan berkempen dalam satu pasukan.

Ini dapat mengelakkan perpecahan undi India, sebaliknya meningkatkan jumlah pengundi kaum berkenaan kepada calon Kerajaan MADANI. Tambahan lagi sokongan penuh kepemimpinan MIC dijangka akan memberi impak dalam PRK ini. Malah, kehadiran MIC bersama jentera PH dijangka sedikit sebanyak meningkatkan sokongan kepada calon DAP, iaitu Pang Sock Tao.

Dalam PRU15 walaupun majoriti orang Melayu menyokong PN, tetapi PH meraih kemenangan kerana pengundi India membantu calon DAP. Pada masa sama, kebanyakan undi Melayu beralih ke PN menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah.

Kini, dengan pengundi tradisi UMNO dikatakan menolak calon DAP, undi Melayu dijangka beralih kepada PN. Di sini, undi pengundi India diramalkan sangat penting untuk menentukan kemenangan calon.

Pada masa sama, perubahan berlaku di medan politik ini juga diramal akan menentukan menang kalah sesuatu parti dalam PRK ini. Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang keluar daripada DAP dan menubuhkan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) mendesak pengundi India menolak PH dalam PRK.

Bekas Ketua Pemuda MIC yang kini menjadi Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), SP Punithan turut meminta pengundi India menolak PH atas dakwaan janji diberikan kepada orang India pada PRU15 gagal ditunaikan.

Walaupun Ramasamy adalah bekas pemimpin DAP yang lama, akan tetapi pengundi Cina DAP dijangka terus menyokong PH, manakala pengaruh Punithan tidak begitu popular dalam kalangan orang India juga dikesan kurang memberi impak kepada sokongan terhadap PN.

Realitinya, keputusan MIC bekerjasama dengan berkempen untuk Sock Tao dijangka akan menjadikan undi orang India yang 'berterabur' akan bersatu dan menambahkan jumlah undi kepada PH.

Justeru, kehadiran MIC dalam usaha kempen calon Kerajaan MADANI dijangka akan memberi kemenangan tipis kepada PH.

Penulis adalah penganalisis politik

Berita Harian X