Selasa, 30 April 2024 | 2:38pm
Foto hiasan. - Foto BERNAMA
Foto hiasan. - Foto BERNAMA

Tangani bersama isu keciciran murid dalam pembelajaran

Membaca maklumat terbaharu bahawa terdapat 435,000 murid di sekolah rendah dan menengah berhadapan isu keciciran pembelajaran adalah sesuatu yang amat mengejutkan.

Namun, masyarakat tidak perlu cemas memandangkan Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan pelan bagi menangani isu keciciran murid seperti memperkenalkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dengan tujuan semua murid kekal bersekolah, terutama di luar bandar dan pedalaman.

Pada tahun ini juga, KPM memperluas konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11) yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4.

Isu keciciran dalam pelajaran sangat penting untuk ditangani kerana berkait rapat dengan kemahiran literasi dan numerasi individu atau lebih dikenali dengan Kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

Murid yang tiada kemahiran ini digelar buta huruf suatu ketika dahulu. Kemahiran asas ini perlu dipersiapkan kepada semua murid seawal alam persekolahan sama ada pada peringkat tadika atau prasekolah. Ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam kurikulum sekolah rendah.

Secara umum, jika murid menguasai 3M pada peringkat sekolah rendah, sekurang-kurangnya mereka mampu berdikari apabila menginjak usia remaja. Kemahiran 3M membantu mereka membuat pilihan dan keputusan lebih baik dalam menguruskan kehidupan, terutama soal kewangan serta bersosial dengan masyarakat.

Penekanan perlu diberi lebih bagi menangani isu keciciran pembelajaran dan kemahiran 3M membabitkan murid prasekolah dan sekolah rendah berbanding di sekolah menengah. Peringkat rendah lebih kritikal dan mampu mengurangkan isu berterusan pada peringkat lebih tinggi.

Walaupun KPM yakin semua usaha dan inisiatif dirancang serta dilaksanakan dapat menangani isu keciciran murid dan memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara sehingga tamat tempoh persekolahan, kerjasama pelbagai agensi dan pihak amat ditagih seperti Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Galak aktiviti membaca

PNM dan PPM terbabit secara langsung dalam menggalakkan aktiviti membaca serta advokasi kemahiran literasi kepada kanak-kanak dan belia. Dua agensi ini bergerak aktif dalam menggalakkan masyarakat membaca dan menyediakan perkhidmatan serta aktiviti berkaitan bagi membantu serta memperkasakan kemahiran 3M masyarakat.

Melalui perpustakaan desa di bawah kelolaan PNM di luar dan pinggir bandar, perkhidmatan dan aktiviti galakan membaca giat dijalankan dari semasa ke semasa pada setiap tahun. Bukan sekadar menyediakan bahan bacaan, perpustakaan desa juga berfungsi sebagai salah satu komponen penting meningkatkan taraf hidup dan membina komuniti bijak dan berilmu.

Selaku pusat bantuan pembelajaran, perpustakaan desa turut menyediakan bantuan pembelajaran bagi masyarakat setempat yang memerlukan sokongan dalam bidang pelajaran atau kehidupan. Bantuan ini diberikan kakitangan perpustakaan desa, tenaga kerja sukarela atau sukarelawan dalam kalangan masyarakat setempat.

PPM pula komited mewujudkan masyarakat kaya dengan maklumat berasaskan pengetahuan, melalui penggalakan ekuiti maklumat, pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan profesional perpustakaan serta maklumat.

PNM dan PPM turut bertindak meningkatkan kesedaran kepentingan membaca dan perpustakaan dalam kalangan masyarakat luar bandar. Menerusi pembudayaan ilmu, kedua-dua badan menjadi rakan kerjasama paling ideal dengan KPM dalam merangka dan merealisasikan usaha menangani isu keciciran murid

Menerusi kerjasama pelbagai pihak seperti ibu bapa serta komuniti setempat, isu keciciran pembelajaran ini tidak mustahil dapat diatasi dengan baik dan jaya. Apa yang penting adalah kerjasama dan semua pemegang taruh bergerak seiring dalam menangani sesuatu isu demi mencapai objektif nasional.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya

Berita Harian X