Sabtu, 20 April 2024 | 11:07am
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

Siswa perlu lebih kritis demi masa depan harmoni

Kontroversi isu berkaitan agama dan kaum di negara ini perlu dijadikan sebagai panggilan kejut untuk membangunkan sistem pendidikan tinggi.

Ada pakar pendidikan berpandangan sistem sedia ada terlalu menonjolkan keutamaan pencapaian dangkal seperti statistik penempatan kerja jangka pendek berbanding memupuk kemahiran berfikir kritis dan sifat kebitaraan kewarganegaraan.

Umpamanya, pencapaian Malaysia mengagumkan dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). Data Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan kadar kelulusan 43.5 peratus dalam bidang STEM pada 2022 melebihi kebanyakan negara lain.

Peluang pekerjaan siswazah juga meningkat daripada 75.4 peratus pada 2010 kepada 85.5 peratus (2020), tetapi ia tetap mencetuskan kebimbangan kerana ada kajian mendapati ketidakpadanan kemahiran membawa kepada ketidakpadanan pekerjaan dalam bidang profesional.

Kajian penurunan skor Indeks Belia Malaysia oleh Institut Penyelidikan Belia, baru-baru ini mencadangkan potensi hubungan antara fokus pendidikan dengan pembabitan sivik semakin meruncing.

Skor yang mengukur kesedaran dan pembabitan belia dalam aktiviti politik, nasional dan demokrasi menurun daripada 60.31 peratus pada 2021 kepada 58.4 peratus (2022).

Ini menimbulkan persoalan adakah kita mampu melengkapkan generasi akan datang dengan kecekapan diperlukan untuk mengemudi masyarakat berbilang budaya yang kompleks?

Pakar juga mengkritik kewujudan program terlalu bersifat khusus hingga mengorbankan pengetahuan luas kepada pelajar. Mereka mengingatkan bahaya pendidikan model 'kilang' menghasilkan siswazah mahir mengikut arahan, tetapi tidak mempunyai pemikiran kritis, pengetahuan sejarah dan kesedaran sosial yang semuanya penting untuk melahirkan warganegara yang terbabit dalam kegiatan kewarganegaraan.

Hakikatnya, demokrasi berkembang pesat memerlukan rakyat berupaya menganalisis maklumat, menjiwai pelbagai perspektif dan mengambil bahagian secara aktif dalam wacana awam.

Bagaimanapun dengan mengabaikan subjek penting seperti sejarah, politik dan isu sosial, kita mungkin melahirkan siswazah tidak lengkap untuk menghadapi kerumitan kehidupan sivik.

Justeru, dalam usaha melabur modal insan masa depan, sistem pendidikan negara boleh mengalih tumpuan kepada beberapa perkara.

Pertama, mengintegrasikan kemahiran penting dengan menggabungjalinkan pemikiran kritis, sejarah, kesedaran sosial dan pembabitan sivik ke dalam kurikulum STEM bertujuan memperkasa pelajar.

Kedua, merapatkan jurang dengan memupuk persefahaman antara budaya dan generasi dengan menghubungkan mereka untuk berkongsi idea. Ini memberi peluang meraih pengalaman hidup bersama dan menghormati pelbagai suara.

Ketiga, memperkasakan universiti supaya boleh berperanan untuk memupuk pengetahuan mengenai Perlembagaan Persekutuan, pembabitan bertanggungjawab dan kemahiran advokasi berkesan.

Keempat, literasi media melalui usaha melengkapkan pelajar dengan kemahiran berkenaan supaya dapat melalui era maklumat sebagai pengguna bertanggungjawab dan memerangi maklumat salah.

Kelima, kemahiran memimpin perbincangan terutama dalam kalangan tenaga akademik universiti. Ini kerana kemahiran khusus diperlukan untuk memimpin perbincangan topik sensitif.

Program pembangunan profesional boleh membantu mereka memupuk ruang selamat untuk pelajar berkongsi pelbagai sudut pandangan dan membangunkan pemikiran kritis.

Hakikatnya, dalam usaha membuka potensi sepenuhnya, sistem pendidikan tinggi mesti melangkaui fokus sempit sedia ada, sebaliknya menerima pendekatan 'kewarganegaraan' holistik untuk merapatkan jurang masyarakat dan memupuk masa depan harmoni.

Berita Harian X