Jumaat, 19 April 2024 | 3:01pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Celik media bantu remaja kritis nilai maklumat

Remaja adalah generasi muda yang memegang peranan penting dalam pembangunan negara. Mereka aset masa depan yang harus diberi perhatian dalam membentuk kesejahteraan hidup yang baik.

Namun, pada era digital ini, remaja dihadapkan dengan pelbagai cabaran, termasuk pengaruh media sosial yang besar. Oleh itu, penting untuk melahirkan remaja yang celik media demi menjaga kesejahteraan hidup mereka selaras konsep MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Merujuk artikel diterbitkan BH sebelum ini, agenda dasar MADANI tidak hanya memberikan tumpuan kepada menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan semasa di negara kita, tetapi juga mencorak masa hadapan dan memenuhi potensinya.

Ini berdasarkan enam rukun utamanya yang merangkumi 'kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan' iaitu cerakinan daripada perintah Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran serta cerminan daripada keperibadian dan ketokohan junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW.

Pada era digital yang berkembang pesat, literasi media menjadi kunci utama untuk menghadapi tantangan informasi yang semakin kompleks.

Literasi media membabitkan keupayaan untuk memahami, menilai dan menggunakan maklumat secara kritis dalam konteks media. Ini bukan sahaja mengenai keupayaan membaca teks, tetapi juga membabitkan kemampuan menganalisis imej, bunyi dan bentuk mesej media yang lain.

Pemahaman media juga merangkumi kepekaan terhadap pelbagai konteks budaya, sosial dan politik yang boleh mempengaruhi seseorang individu dalam tafsiran mesej.

Literasi media turut merangkumi kebolehan menilai kredibiliti sumber maklumat. Ini membabitkan keupayaan untuk mengenal pasti, sama ada sumber maklumat boleh dipercayai, memahami motivasi di sebalik maklumat dan menilai sama ada mesej media adalah berdasarkan fakta atau pendapat. Strategi penilaian kredibiliti sumber termasuk memahami bendera merah disinformasi, menjalankan penyelidikan menyeluruh dan keupayaan untuk menentukan kesahihan maklumat.

Kesejahteraan secara amnya merangkumi kesihatan fizikal yang baik. Dalam konteks media, gaya hidup digital boleh memberi kesan kepada corak pemakanan dan aktiviti fizikal seseorang. Memahami kesan media terhadap kesihatan fizikal adalah penting untuk memastikan penggunaan media tidak menghalang kehidupan yang sihat.

Kerjasama pelbagai pihak

Pertama, pendidikan mengenai media dan kesan serta kesan sampingan perlu diselitkan dalam kurikulum sekolah. Menerusi pemahaman bagaimana media berfungsi dan kesannya terhadap emosi, pemikiran dan tingkah laku, remaja dapat membuat keputusan yang lebih bijak dalam penggunaan media.

Kedua, kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, dan masyarakat perlu diperkukuhkan. Sekolah boleh mengadakan program kesedaran media bagi ibu bapa supaya mereka memainkan peranan aktif dalam mengawal penggunaan media oleh anak mereka. Pihak masyarakat perlu turut serta dalam menyediakan sumber maklumat yang sahih dan berkualiti untuk remaja.

Selain itu, penggunaan media secara positif perlu digalakkan. Remaja wajarperlu diberi pendidikan mengenai kesan positif media seperti pembelajaran, pengembangan diri dan pembabitan dalam aktiviti sosial yang membawa manfaat kepada masyarakat. Ini dapat dilakukan melalui penghasilan kandungan media yang memberi nilai tambah dan memotivasi remaja untuk menggunakan media secara produktif.

Terakhir, penting untuk memperkukuhkan kesedaran mengenai kesihatan mental. Remaja perlu diberi sokongan dan bimbingan dalam menguruskan tekanan dan cabaran daripada penggunaan media. Program pemulihan dan bimbingan perlu disediakan bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental akibat tekanan media.

Melahirkan generasi remaja celik media dapat memastikan mereka menggunakan media dengan bijak bagi meningkatkan kesejahteraan hidup. Ini bukan hanya untuk kepentingan mereka, tetapi juga untuk masa depan negara lebih baik. Oleh itu, usaha bersama semua pihak adalah kunci dalam mencapai matlamat ini.

Penulis daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya-Wales

Berita Harian X