Jumaat, 19 April 2024 | 10:01am
Foto hiasan. - Foto BERNAMA
Foto hiasan. - Foto BERNAMA

Lebih banyak kajian diperlukan kawal ancaman padi angin

Ketika rakyat mengeluh kerana kekurangan beras tempatan dan kenaikan harga beras import, kita melihat kemandirian beras putih tempatan hanya sekadar 62.6 peratus. Ini bermaksud pengeluaran beras negara kita jauh tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan.

Antara faktor utama menjejaskan pengeluaran beras tempatan ialah serangan rumpai semasa proses penanaman padi. Rumpai ini bersaing dengan padi untuk pelbagai sumber seperti baja, air dan cahaya matahari.

Sehingga kini, memahami mekanisme evolusi rumpai dan bagaimana ia berkembang biak antara topik panas kajian penyelidikan di seluruh dunia.

Awal tahun ini, kumpulan penyelidikan dari Monash University Malaysia melaporkan hasil kajian terbaharu bagaimana 'padi angin' bersaing dengan padi tanaman (Oryza sativa) di Malaysia dan Thailand.

Padi angin atau lebih dikenali sebagai weedy rice dalam kalangan saintis antarabangsa, adalah sejenis rumpai berasal daripada padi tanaman 'dijinakkan'. Ia tergolong dalam jenis sama dengan padi tanaman hingga menyebabkan pengawalan melalui racun rumpai menemui kegagalan.

Akibat sifat padi angin meleraikan biji, serangan padi angin akan menyebabkan petani mengalami kerugian besar. Di Semenanjung, ia menjadi masalah utama sejak tiga dekad lalu, mengakibatkan kerugian hasil melebihi RM90 juta setiap musim tanaman.

Sementara itu, memandangkan usaha melalui cara tradisional gagal membanteras masalah padi angin, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama BASF pernah menghasilkan teknologi yang berjaya mengawal penyebaran padi angin untuk beberapa tahun di negara ini pada 2010.

Bagaimanapun, masalah padi angin kembali mendesak apabila timbulnya generasi padi angin rintang terhadap racun rumpai dibekalkan. Ia berpunca daripada pesawah menggunakan racun rumpai tidak terdaftar dan tidak mengikut saranan.

Padi angin generasi baharu

Kegagalan teknologi itu menyebabkan kemunculan padi angin generasi baharu membawa bahan genetik daripada padi dihasilkan itu dan berupaya merintang racun. Faktor evolusi dan genetik, bagaimana padi angin merebak menyebabkan isu ini menarik perhatian saintis.

Sejak 10 tahun lalu, kumpulan penyelidikan kami bekerjasama dengan ahli biologi dari Universiti Washington in St Louis. Bersama saintis lain dari China dan Thailand, kajian tertumpu pada evolusi genom dalam padi angin dari Malaysia, Thailand dan negara lain.

Kajian itu mendapati kebanyakan padi angin menyerupai padi tanaman biasa, sejenis padi liar, Oryza rufipogon, tumbuh berhampiran sawah padi, menyumbang kepada adaptasi dan penyebaran padi angin di sawah.

Gen liar menyumbang kepada ciri-ciri padi liar seperti biji berwarna hitam, berjanggut (awn) dan mudah terlerai, berjaya masuk ke dalam populasi padi tanaman atau padi angin melalui proses persilangan semula jadi, membolehkan padi angin adaptasi dengan keadaan sawah padi tanaman.

Ia kajian pertama menjelaskan ciri-ciri genomik padi angin menerima gen padi liar untuk penyesuaian rumpai di sawah padi. Hakikatnya, spesies tumbuhan biasanya mempunyai halangan antara spesies liar dan tanaman ternakan. Namun, padi tanaman biasa dan padi liar mempunyai sempadan berliang, memudahkan aliran gen liar ke dalam genom padi angin.

Terdapat berpuluh-puluh jenis padi angin berlainan di negara ini kebanyakannya sudah dilaporkan dalam rencana ilmiah kumpulan penyelidikan kami.

Di Malaysia dan Thailand, keadaan hibridasi antara padi liar dengan padi tanaman lebih serius berbanding negara lain. Padi angin ini mengandungi ciri-ciri liar berbeza berbanding padi angin di negara yang tidak wujudnya padi liar. Tambahan pula, persilangan antara padi angin dengan padi tanaman menjadikan masalah itu lebih rumit.

Mengambil kira kerugian ekonomi besar di seluruh dunia disebabkan rumpai ini, kajian mengenali genom dan gen berkaitan evolusi padi angin membawa manfaat untuk mengenal pasti 'senjata' rumpai itu dalam proses serangan di ladang.

Lebih banyak maklumat genetik padi angin diperoleh, bertambah besar peluang saintis untuk perancangan strategi pengawalan padi angin. Di samping memberi impak dalam bidang akademia evolusi rumpai, kami juga berhasrat kajian ini dapat membantu kerajaan dalam membentuk polisi dan dasar pengurusan kawalan padi angin pada masa akan datang.

Berita Harian X