Rabu, 17 April 2024 | 1:59pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

AI dorong siswa ciplak tugasan, gugat etika akademik

Amalan ciplak, penyalinan tanpa izin atau plagiat menjadi isu serius dalam dunia pendidikan tinggi susulan kemunculan pelbagai teknologi kecerdasan buatan (AI). Peningkatan penggunaan AI dalam dunia pendidikan membuka ruang baharu bagi amalan plagiarisme lebih canggih dan sukar dikesan.

Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terdiri daripada Generasi Z sememangnya lebih terdedah dengan penggunaan teknologi AI untuk menyiapkan tugasan berbanding pelajar generasi terdahulu. Ini kerana AI mampu melakukan analisis teks secara mendalam dan menghasilkan kandungan baharu dengan pantas.

Ini menyebabkan risiko besar terhadap amalan ciplak tugasan dalam kalangan pelajar. Algoritma penterjemahan automasi, generasi teks AI dan perisian penghasilan kandungan automatik menjadi punca utama plagiat semakin rumit dikenal pasti, sekali gus mewujudkan cabaran baharu kepada tenaga pengajar menilai ketulenan tugasan penuntut.

Antara cabaran utama ialah peningkatan ciplak yang sukar dikesan. Pelajar dengan mudah menggandakan dan mengubah kandungan asli menggunakan AI, sekali gus menyulitkan proses pengesanan ketulenan berdasarkan teks asal. Ini memberikan kelebihan kepada pelajar tidak mematuhi etika akademik.

Kejayaan AI dalam menghasilkan kandungan semula jadi turut menyulitkan usaha mengenal pasti sebarang unsur ciplak. Teknik parafrasa dan penstrukturan teks oleh AI menyulitkan pendidik dan sistem pengesanan ciplak secara automatik. Oleh itu, pihak IPT perlu meningkatkan keupayaan sistem mereka dalam mengesan perbuatan ciplak tugasan lebih terperinci.

Tiru gaya penulisan manusia

Keberkesanan AI meniru gaya penulisan manusia menjadi satu lagi cabaran. Algoritma semakin canggih membolehkan AI meniru struktur ayat dan gaya penulisan seseorang secara hampir sempurna. Ini membuatkan proses mengenal pasti tulisan asal semakin rumit dan memerlukan pendekatan lebih holistik.

Aspek lebih mendalam ialah kegagalan sistem pendidikan untuk memahami dan mengadaptasikan diri terhadap perkembangan AI. Kurikulum dan pengajaran perlu diperbaharui bagi memastikan pelajar memahami risiko menciplak tugasan berkaitan dengan penggunaan AI. Pendidik perlu dilatih mengenali tanda tugasan diciplak.

Antara cabaran penting ialah kesan terhadap integriti pendidikan. Amalan ciplak tugasan melalui AI hanya merosakkan kepercayaan dan integriti dalam sistem pendidikan. Ini boleh memberi kesan serius terhadap martabat institusi pendidikan dan merosakkan keadilan akademik. Justeru, perbincangan mendalam dan perubahan dalam sistem penguatkuasaan etika akademik perlu dilakukan.

Bagi mengatasi cabaran ini, dasar pendidikan tinggi negara perlu merangka dasar dan prosedur jelas berkaitan penggunaan AI terutama membabitkan penghasilan tugasan penuntut daripada pensyarah. Pendekatan holistik membabitkan penggunaan teknologi pengesanan hasil ciplak yang canggih dan penambahbaikan kurikulum etika akademik adalah penting.

Langkah pencegahan sepatutnya diintegrasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai risiko melakukan tugasan dengan menciplak hasil karya orang lain. Kesimpulannya, cabaran menciplak melalui AI dalam dunia pendidikan tinggi memerlukan tindakan proaktif dan bersepadu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Penggunaan teknologi canggih perlu seiring usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar terhadap etika akademik. Oleh itu, pendidikan akan menjadi peneraju berkesan dalam menangani cabaran ini dan menyediakan persekitaran pembelajaran berkualiti serta berintegriti.

Berita Harian X