Jumaat, 12 April 2024 | 10:17am
Bangunan Parlimen. - Foto fail NSTP
Bangunan Parlimen. - Foto fail NSTP

Pastikan pindaan RUU berkaitan warganegara cakupi aspek kawalan

HARI terakhir Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, pada 27 Mac lalu menyaksikan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dibentangkan untuk bacaan kali kedua, namun tidak dibahaskan.

Selepas peruntukan berkaitan kewarganegaraan bagi anak terdampar digugurkan dalam cadangan RUU asal sebelum ini menimbulkan pertikaian, penangguhan mesyuarat tanpa RUU itu sempat dibahaskan turut menjadi persoalan, terutama daripada pembangkang, berikutan ia sepatutnya dimuktamadkan pada mesyuarat berkenaan.

Namun, kerajaan mempunyai alasan tersendiri mengapa RUU yang menjurus kepada tujuh pindaan, tiga pewujudan dan tiga pemansuhan klausa itu tidak dibahaskan seperti dirancang. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, RUU penting seumpama itu memerlukan lebih masa diberikan kepada Ahli Parlimen untuk membahaskannya.

Alasan penangguhan mengejut itu bagaimanapun tidak dapat diterima Perikatan Nasional (PN), yang menyifatkan ia sebagai tidak jujur, lemah dan bermuslihat bagi menutup masalah lebih besar dihadapi kerajaan. Malah Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, ia disebabkan ketidakcukupan sokongan dua pertiga, berdasarkan kiraan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Dewan Rakyat ketika itu.

Menyorot permulaan cadangan RUU itu, ia bertitik tolak daripada kes mahkamah Suriani Kempe, mewakili golongan ibu yang pasangan mereka ialah warganegara asing kemudian melahirkan anak di luar negara. Sebelum ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan agak besar ke atas Bahagian III Kewarganegaraan dilakukan pada 9 Ogos 1965, Singapura meninggalkan Malaysia.

Pada Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia mengikut undang-undang, kerajaan berpendapat undang-undang perlu bersifat dinamik bagi membolehkan ibu juga mendapat hak sama seperti bapa.

Bagaimanapun, selepas kertas cadangan mengenainya dibentangkan, Majlis Raja-Raja menyarankan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan kajian secara komprehensif ke atas peruntukan undang-undang kewarganegaraan dengan memasukkan elemen kawalan dalam RUU berkenaan, berikutan cabaran dan keadaan keselamatan luar, yang jika tidak ditadbir urus dengan lebih ketat, boleh melumpuhkan sistem pentadbiran negara.

Justeru, antara cadangan dikemukakan KDN adalah pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan, yang ketika ini memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Cadangan cetus kontroversi

Pemansuhan kepada peruntukan itu akan menyebabkan kanak-kanak terdampar atau ditinggalkan, dikecualikan daripada kerakyatan automatik. Cadangan itu bagaimanapun menimbulkan kontroversi, selepas pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen, termasuk daripada kerajaan sendiri menyifatkan ia sebagai regresif dan membimbangkan.

Majlis Peguam, contohnya menggesa pindaan Perlembagaan dihentikan kerana berpendapat, penghapusan hak individu tanpa kerakyatan tidak boleh dikaitkan dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim misalnya menegaskan tiada sebab untuk kerajaan meminda peruntukan undang-undang sedia ada kerana menyifatkannya sebagai 'baik, penuh rasa ihsan, timbang rasa dan kemanusiaan'.

Akhirnya selepas pelbagai libat urus dilakukan dan mengambil kira semua pandangan, Kabinet memutuskan membatalkan cadangan pindaan anak terdampar itu pada 22 Mac lalu, manakala pindaan lain diteruskan.

Namun, keputusan itu tetap menimbulkan persoalan, yang dilihat segelintir pihak seolah-olah kerajaan tunduk kepada desakan, walaupun cadangan awal sudah mengambil kira mengenai kepentingan untuk Seksyen 19B dimansuhkan.

Dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 11 Mac, Saifuddin menjelaskan, komposisi penduduk di negara ini, terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing, memerlukan kerajaan membuat pindaan berkenaan. Bagaimanapun, mereka masih boleh memohon menjadi warganegara mengikut Seksyen 15A, sama seperti permohonan dikemukakan anak lahir di luar ikatan perkahwinan, anak angkat dan anak di bawah penjaga.

Perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 dijangka berlangsung pada hari pertama Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat pada 24 Jun depan. Keputusan 'pusingan U' kerajaan mengenai anak terdampar itu pastinya antara perkara akan menjadi tumpuan.

Takiyuddin, sebelum ini memaklumkan Ahli Parlimen PN boleh bersetuju dengan cadangan pindaan berkaitan kanak-kanak terdampar itu selepas taklimat diberikan dalam sesi libat urus, namun tidak menyangka draf akhir berbeza dengan taklimat diberikan, yang menggugurkan pindaan berkenaan.

Mereka, malah mencadangkan RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti, sebelum pembentangan semula dibuat dengan lebih lengkap.

Dalam mendepani pelbagai ancaman luar sedang dilalui negara dan sukar dijangka pada masa depan, pindaan Perlembagaan Persekutuan ini penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin.

Walaupun perlu mengambil kira pelbagai pandangan, sama ada menyokong atau menentang, kerajaan perlu memastikan pindaan dibuat ini benar-benar mencakupi semua aspek kawalan dihasratkan dan tidak lompong, kerana akan mendatangkan risiko keselamatan pada masa hadapan.

Taraf kewarganegaraan ini amat besar nilainya dan pastinya kita tidak mahu orang tidak layak mendapatnya, apatah lagi orang yang salah.

Penulis adalah Wartawan BH

Berita Harian X