Isnin, 8 April 2024 | 10:46am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tiga amalan berhemat sambut Aidilfitri

Petang esok, anak bulan Syawal akan dicerap di 29 lokasi di seluruh negara seperti dijelaskan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sekali gus akan menentukan tarikh 1 Syawal.

Sudah tentu keterujaan menyambut Aidilfitri sudah dapat disaksikan sejak Jumaat lalu, tetapi umat Islam perlu beringat dan berhati-hati beberapa perkara supaya tidak menimbulkan penyesalan pada kemudian hari.

l Pertama, sentiasa berhati-hati dalam berbelanja, elakkan hingga barangan tiada keperluan pun dibeli. Sememangnya keluhan masyarakat terhadap peningkatan harga barangan keperluan di pasaran tidak dapat kita nafikan, malah sudah berbunyi sebelum sebelum Ramadan lagi.

Namun, apabila ditekankan soal berjimat cermat, janganlah timbul salah faham sampai tidak mahu berbelanja langsung hingga tahap mencatu barangan keperluan. Islam sudah memberi panduan dan nasihat jelas, iaitu elakkan supaya tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut.

l Kedua, berhati-hati ketika perjalanan pulang ke kampung halaman atau destinasi lain bagi meraikan Aidilfitri, begitu juga apabila kembali ke kota. Lebuh raya utama pastinya akan menyaksikan peningkatan jumlah trafik tinggi menjelang hari raya dan selepasnya.

Peka isu keselamatan jalan raya

Malah, tidak hanya di lebuh raya utama sahaja, laluan jalan raya biasa atau 'jalan dalam' juga akan sesak. Bagi yang akan menempuh perjalanan jauh, pastinya kenderaan dan pemandunya perlu berada dalam keadaan terbaik dan masing-masing juga sudah siap diselenggara.

Apabila tiba sahaja musim perayaan utama, pastinya angka kemalangan dan kematian di jalan raya akan meningkat. Masyarakat perlu peka berhubung isu membabitkan keselamatan jalan raya supaya semua pengguna jalan raya mempunyai kesedaran dan bertindak sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Menurut Laporan Statistik Kemalangan Jalan Raya 2020 oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, terdapat 4,634 kematian disebabkan kemalangan jalan raya pada tahun berkenaan.

Daripada jumlah itu, 862 kematian berlaku ketika musim perayaan. Ini menunjukkan musim perayaan adalah masa lebih berisiko bagi pengguna jalan raya. Sikap pemandu yang bijak dan berhemah amat penting untuk mengelakkan kemalangan jalan raya berlaku.

l Ketiga, berhati-hati dalam menjaga tutur kata, pergaulan dan perwatakan apabila ziarah-menziarahi. Islam sangat menggalakkan budaya ziarah-menziarahi antara umat Islam dan tidak terhad hanya ketika sambutan perayaan semata-mata.

Namun, dalam mengamalkan tradisi ini, terutama ketika sambutan Aidilfitri, pastinya ada adab perlu dijaga tetamu dan tuan rumah. Pastinya kita tidak mahu hari sepatutnya mendekatkan satu sama lain, tetapi menjadi punca kepada jauh dan putusnya hubungan akibat kesilapan dan keterlanjuran tutur kata dan sikap diri sendiri.

Penulis adalah Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X