Isnin, 1 April 2024 | 9:46am
Pendigitalan pendidikan menjadi keperluan utama dalam memenuhi cabaran pendidikan pada abad ke-21. - Foto hiasan
Pendigitalan pendidikan menjadi keperluan utama dalam memenuhi cabaran pendidikan pada abad ke-21. - Foto hiasan

Guru kompeten perlu pertingkat kemahiran teknologi

PENDIGITALAN pendidikan menjadi keperluan utama dalam memenuhi cabaran pendidikan pada abad ke-21. Selari aspirasi Dasar Pendidikan Digital (DPD), peranan guru menjadi semakin penting sebagai peneraju dalam memperkenalkan teknologi dan menggunakan alat digital dalam pengajaran mereka.

Dalam dasar itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menggariskan pendidik kompeten digital sebagai antara teras, selain murid fasih digital, budaya kepemimpinan digital berwawasan, pengupayaan infrastruktur dan infostruktur, kandungan digital berkualiti dan rakan strategik yang komited.

Guru kompeten dalam pendigitalan pendidikan mempunyai keupayaan mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran secara efektif termasuk penggunaan alat digital, aplikasi dan platform pembelajaran dalam talian untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

Kebolehan untuk menghasil dan menilai bahan pembelajaran digital adalah aspek penting dalam pendidikan digital. Guru mahir dapat mencipta bahan pembelajaran relevan, menarik dan sesuai dengan kurikulum serta keperluan pelajar.

Selain itu, guru kompeten perlu mempunyai kemahiran untuk menyelaraskan teknologi dengan objektif pembelajaran dan keperluan pelajar. Mereka perlu memahami bagaimana menggunakan teknologi untuk mencapai matlamat pembelajaran ditetapkan.

Kemahiran mengurus kelas secara dalam talian juga menjadi aspek penting dalam kompetensi guru. Guru perlu memastikan persekitaran pembelajaran dalam talian adalah selamat, teratur dan membolehkan interaksi efektif antara guru dengan pelajar.

Malah, guru kompeten perlu mempunyai kemahiran untuk mengintegrasikan teknologi dalam penilaian dan maklum balas kepada pelajar. Mereka menggunakan pelbagai alat digital untuk menilai prestasi pelajar secara holistik.

Ketelitian dan kesedaran terhadap etika digital juga menjadi komponen penting. Guru perlu memastikan penggunaan teknologi oleh pelajar adalah bertanggungjawab dan selaras dengan nilai moral dan etika.

Pembangunan profesional berterusan adalah aspek penting dalam meningkatkan kompetensi guru. Guru perlu terus memperbaharui kemahiran mereka dalam menggunakan teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih baik.

Kerjasama antara guru dengan pakar teknologi pendidikan juga membantu dalam meningkatkan kompetensi guru. Melalui bimbingan dan sokongan teknikal, integrasi teknologi ke dalam pengajaran akan lebih efektif.

Guru yang komited akan sentiasa mencari peluang untuk memperkayakan kemahiran teknologi dan mengikuti perkembangan terkini dalam bidang mereka. Komitmen untuk pembelajaran sepanjang hayat adalah kelangsungan penting menjadikan guru itu cekap.

Kesimpulannya, memperkasa kompetensi guru dalam pendigitalan pendidikan adalah kunci untuk mencapai pendidikan berkualiti dan relevan dalam era dinamik ini. Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari ke-4 (SDG4), iaitu mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

Melalui latihan, sokongan dan komitmen berterusan, guru dapat menjadi pemangkin yang berkesan dalam merentasi dunia pendidikan digital. Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Kampar

Berita Harian X