Jumaat, 29 March 2024 | 12:20pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Perluas fungsi guru muda pacu pendidikan digital

Dalam bidang pendidikan hari ini, pendidikan digital menjadi keutamaan kerana ia merangkumi integrasi teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara kritis, kreatif dan inovatif bagi melahirkan generasi pintar digital.

Dalam konteks ini, pembangunan pendidikan digital negara berkait rapat dengan agenda perkembangan ASEAN seiring dengan Revolusi Perindustrian (5IR).

Oleh itu, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Dasar Pendidikan Digital (DPD) menzahirkan komitmen terhadap usaha memacu transformasi pendidikan digital yang mampan.

DPD mempunyai empat objektif, enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif yang jelas bagi menyokong visi pendidikan digital. Dalam menjayakan aspirasi DPD, peranan pendidik khususnya guru muda amat signifikan. Dalam konteks ini, guru muda sering dikaitkan sebagai kelompok lebih mudah menerima dan membuat perubahan kepada amalan pengajaran berbanding guru senior.

Tinjauan Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendapati golongan guru muda di rantau ini sebenarnya optimis terhadap kesan teknologi terhadap pengajaran mereka.

Mereka menunjukkan penyesuaian dalam menghadapi ketidakpastian dan cabaran semasa wabak dengan membiasakan urusan kerja dan sekolah dengan teknologi digital.

Ia membantu mereka menjangkau lebih ramai pelajar secara serentak di luar fizikal bilik darjah. Dalam erti kata yang lain, ia turut membantu mereka meningkatkan kompetensi digital secara berterusan.

Namun begitu, kumpulan rentan diselubungi masalah kekurangan akses kepada Internet, literasi digital dilaporkan menghadapi masa lebih mencabar dan sering tercicir.

Kita memerlukan sistem pendidikan lebih komprehensif di pelbagai peringkat dan lebih ramai profesional untuk menambah baik pengalaman pengguna.

Berdasarkan Tahap Kompetensi Digital Guru diukur KPM pada 2021, didapati hanya 6,442 daripada 297,018 orang guru bersamaan 2.2 peratus sahaja berada pada tahap lanjutan.

Penelitian ini memaparkan penguasaan pendidik meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan teknologi digital berada pada tahap kritikal.

Maka, pengupayaan pendidik dan pemimpin pendidikan adalah penting bagi melahirkan generasi fasih digital. Sebagai kesinambungannya, guru muda boleh menampilkan teladan baik dalam ekosistem digital.

Misalnya, dengan menerapkan komponen digital dalam kaedah perancangan bahkan pelaksanaan PdP seharian mereka, memanfaatkan pedagogi inovatif dan melaksanakan kajian tindakan berteraskan gamifikasi.

Sinonim dengan itu, guru muda bertindak sebagai ejen pemangkin untuk semua menguasai kemahiran digital, di samping membangunkan profesionalisme guru dan integrasi sosial.

Penekanan terhadap aspek pendidikan digital oleh guru muda ini dilihat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-4 iaitu mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan juga SDG ke-10 iaitu mengurangkan ketidaksamaan.

Dalam hal ini, guru muda mempunyai lebih banyak ruang untuk belajar dan belajar semula daripada cabaran COVID-19. Guru muda hanya perlu diberi peluang dan sokongan untuk tampil lebih tangkas menyesuaikan diri, bertindak dalam pendekatan lebih bersepadu, dengan mengambil kira kesalinghubungan melalui teknologi digital, dan menjadikan yang mustahil mungkin melalui inovasi.

Tidak dapat disangkal lagi guru muda harus memperkasa diri mereka sebagai pendidik kompeten digital bagi mewujudkan iklim pembelajaran bersesuaian dengan abad ke-21.

Guru juga perlu komited menghasilkan kandungan digital berkualiti. Sebagai analoginya, guru boleh mengoptimumkan penggunaan laman sosial seperti Tiktok, Youtube dan Facebook sebagai wahana untuk berkongsi karya keilmuan di samping membina rangkaian di luar sempadan.

Konteks ini penting bagi pendidik bergiat aktif, menganjur dan mengambil bahagian dalam wacana intelektual, kolokium kesarjanaan dan simposium.

Melalui pembabitan dalam persidangan dalam talian atau webinar, ia dapat memupuk etika sejahtera dan menggalakkan rasa kewarganegaraan digital.

Atas manifestasi ini, tepatlah guru muda pemangkin untuk mentransformasi pendidikan digital secara menyeluruh bagi melengkapkan landskap pendidikan negara.

Berita Harian X