Rabu, 27 March 2024 | 11:51am
Untuk rekod, lebih 30 peratus daripada 33.4 juta rakyat Malaysia menetap di Lembah Klang. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad
Untuk rekod, lebih 30 peratus daripada 33.4 juta rakyat Malaysia menetap di Lembah Klang. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad

Kos sara hidup tinggi punca warga KL, Lembah Klang tak bahagia

TITAH Yang di-Pertuan Agong agar perhatian dan peruntukan kemajuan dibahagikan secara saksama kepada semua negeri demi pembangunan seimbang wajar diberikan perhatian oleh perancang bandar, penggubal dasar serta institusi berkaitan.

Hakikatnya, maksud kemajuan bandar dan ketamadunan unggul dicita-citakan sejak sekian lama masih tidak tercapai, walaupun pembangunan fizikal pesat berlaku di Kuala Lumpur serta Lembah Klang.

Secara teori, isi rumah dan individu merasai peningkatan produktiviti kehidupan apabila lebih banyak peluang pekerjaan serta jenis perkhidmatan terzahir. Perniagaan dan perindustrian juga mendapat manfaat dari segi penjimatan kos apabila berkongsi infrastruktur sama dalam sesebuah kawasan.

Walaupun terdapat kesan negatif perbandaran seperti kesesakan jalan raya, pengurusan kebersihan dan pencemaran alam, aspek positif terutama peluang ekonomi boleh dianggap sebagai elemen produktiviti menjadi pertimbangan besar.

Pertimbangan pro dan kontra akan memandu individu membuat pilihan terbaik, iaitu memberikan nilai fungsi utiliti paling tinggi hingga mengambil keputusan menetap atau berhijrah ke bandar.

Namun, pertambahan populasi di bandar tidak semestinya sentiasa meningkatkan manfaat urbanisasi. Ini kerana sesebuah bandar mempunyai satu saiz optimum hingga pertambahan penduduk boleh menyebabkan sesebuah kawasan menjadi terlalu sesak, sekali gus mencetuskan lebih banyak mudarat.

Penumpuan populasi di sesebuah kawasan memberi gambaran wujudnya urbanisasi gergasi dominan di sesebuah negara. Urbanisasi gergasi sering dikritik sarjana sebagai urbanisasi tidak mampan yang sering melanda negara membangun seperti Bangkok, Jakarta, Dhaka dan Kaherah.

Untuk rekod, lebih 30 peratus daripada 33.4 juta rakyat Malaysia menetap di Lembah Klang. Pada masa sama, Lembah Klang juga menampung warga asing pelbagai status sosioekonomi hingga menimbulkan persoalan sama ada populasi besar mendatangkan lebih banyak manfaat atau sebaliknya.

Kita kerap mendengar rungutan sering menghantui penduduk bandar terutama di Lembah Klang, iaitu walaupun mendapat pendapatan tinggi berbanding di luar bandar, mereka perlu menanggung kos perumahan jauh lagi mahal dan kualiti kehidupan boleh dipersoalkan.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Ada kajian universiti tempatan mendapati penduduk Lembah Klang terpaksa membazirkan hingga dua jam setiap hari untuk mengharungi kesesakan jalan raya, walaupun berpuluh-puluh bilion ringgit dibelanjakan bagi pengangkutan awam.

Pembaziran masa ini bukan sahaja mengurangkan produktiviti pekerja, bahkan mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental mereka.

Kesihatan mental

Kementerian Kesihatan pernah melaporkan penduduk Lembah Klang mengalami kes kesihatan mental paling tinggi antara puncanya kos sara hidup dan miskin bandar.

Malah, Kajian Indeks Kebahagiaan terbaharu dikeluarkan PlanMalaysia melaporkan hanya satu bandar sahaja sekitar Lembah Klang berada dalam senarai 10 bandar paling bahagia di negara ini, padahal penduduknya membayar kos perumahan lebih tinggi.

Jika wilayah lain gagal menarik orang muda dan siswazah dengan tawaran pekerjaan menarik, maka Kuala Lumpur dan Lembah Klang akan terus bertambah sesak.

Lebih ramai lagi menaruh nasib dengan mengejar peluang di Kuala Lumpur dan Lembah Klang berbanding menetap di kampung halaman yang mempunyai peluang ekonomi terutama pekerjaan sangat terhad.

Mereka akan tersepit antara hidup dalam kesesakan bandar dengan kemajuan perlahan di luar wilayah Kuala Lumpur.

Oleh itu, perancangan wilayah lain memerlukan peruntukan lebih besar bukan sahaja untuk kemudahan infrastruktur, bahkan demi menjana peluang pekerjaan sepadan dengan tahap pendidikan dan kemahiran tenaga buruh, terutama siswazah.

Agensi kerajaan sama ada peringkat Kerajaan Persekutuan negeri, mahupun tempatan perlu berganding bahu untuk menzahirkan nilai MADANI sebenar melalui pembangunan wilayah seimbang.

Berita Harian X