Selasa, 26 March 2024 | 10:32am

Pindaan AUKU lahirkan pemimpin matang, berdaya tahan

PINDAAN baharu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 diluluskan Dewan Rakyat antara usaha menggalakkan budaya berorganisasi pelajar, sekali gus menyegarkan gerakan diterajui pelajar kepada pelajar sendiri.

Ini sesuai dengan keupayaan mereka mengurus kedewasaan dan kematangan, sekali gus melenyapkan persepsi umum bahawa gerakan mahasiswa semakin lesu.

Rang Undang-Undang (RUU) dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir itu, menekankan pemerkasaaan jawatankuasa tatatertib pelajar, pengurusan kewangan persatuan dan tempoh pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Ia hasil siri libat urus dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), mahupun pada peringkat universiti awam (UA) membabitkan pimpin pelajar sejak 2021.

RUU yang dijangka dibentangkan di Dewan Negara pada bulan depan itu, membawa penambahbaikan signifikan dalam membuka lebih banyak ruang kepada pelajar mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan penting bersama jawatankuasa universiti.

Berdasarkan konsep pembangunan belia, kerjasama antara pelajar dengan kepemimpinan universiti sebagai orang dewasa pembimbing (Youth-Adult Partnership) dapat dizahirkan pada peringkat universiti, sekali gus menyerlahkan lagi potensi pelajar.

Mutakhir ini, pendidikan tinggi mengalami perubahan signifikan dengan tumpuan diberikan kepada agenda pemerkasaan pelajar, terutama melahirkan individu memiliki watak siswazah berdaya tahan mengharungi cabaran mendatang, termasuk mengurus kelestarian organisasi.

Keupayaan pelajar menguruskan kewangan dan sumber dana penting sebagai nilai tambah kepada pelajar apabila ia diserahkan melalui Seksyen 15A dengan memberi kebenaran kepada MPP dan badan pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain.

Secara tidak langsung, ia membuka perspektif pelajar lebih luas dan menyerlahkan potensi dalam memberi perkhidmatan menyeluruh kepada seluruh pelajar. Pindaan turut membenarkan MPP universiti menyenggara kumpulan wang (akaun).

Galak pembabitan pelajar perkasa visi, misi

Pembabitan pelajar dalam pengurusan organisasi membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan strategik universiti. Contohnya, Aspirasi True North di Universiti Putra Malaysia (UPM) menggalakkan pembabitan pelajar dalam memperkasa visi, misi dan matlamat jangka panjang universiti dengan menyediakan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik di kampus.

Selari dengan aspirasi membawa perubahan signifikan dalam struktur pengurusan institusi pendidikan tinggi (IPT), pindaan kepada Seksyen 48(4) Jadual Pertama membenarkan tempoh lantikan MPP berdasarkan kalendar akademik.

Ia antara perubahan penting untuk menjamin hak kebebasan pelajar secara harmonis sepanjang pengajian di universiti. Hak kebebasan pelajar ialah elemen utama dalam masyarakat demokratik yang menghormati hak asasi manusia berteraskan nilai agama, kebudayaan dan norma setempat.

Pengiktirafan pembabitan pelajar dalam kepemimpinan dan tadbir urus aktiviti juga dilihat melalui pindaan kepada pemakaian Seksyen 49(2) Jadual Pertama yang menyaksikan badan pelajar universiti juga menerima kemudahan sama seperti diterima MPP.

Pembabitan pelajar dalam pengurusan aktiviti akan membuka lebih banyak peluang mencipta dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran, penyelidikan, aktiviti kokurikulum serta meningkatkan pencapaian pelajar.

Berfikir secara kreatif, inovatif

Pada akhirnya, usaha pembangunan karakter pelajar dari segi pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah dapat dilaksanakan dengan memberi lebih banyak ruang untuk mereka berfikir secara kreatif, inovatif dan mencipta sesuatu baharu.

Pembabitan pelajar sebagai pemegang taruh utama dalam proses membuat keputusan di universiti membantu dalam keberkesanan dan kelestarian institusi, sekali gus memastikan pengalaman pembelajaran berkualiti kepada pelajar.

Pindaan RUU ini sejajar dengan fokus landasan hala tuju KPT 2024 dalam menyediakan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan serta perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Kini sampai masanya pelajar tidak hanya menjadi pewaris ilmu, bahkan agen perubahan dinamik. Pembangunan hala tuju pelajar adalah keutamaan dalam membentuk landskap pendidikan dan masyarakat.

Penulis adalah Pensyarah Pendidikan Pengembangan (Pembangunan Belia), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X