Ahad, 24 March 2024 | 9:00am
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Perkasa kesedaran rakyat tamatkan penghinaan Islam

Isu kontroversi membabitkan sensitiviti umat Islam khususnya terkait dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah sewajarnya tidak berlaku dalam era Malaysia MADANI. Ini kerana pentadbiran Kerajaan Perpaduan menjelaskan secara tegas dan tuntas sebarang bentuk isu menyentuh 3R (kaum, Raja dan agama ) tidak diizinkan berlaku di dalam negara.

Namun, situasi ini berlaku dan mengundang pelbagai reaksi umat Islam. Justeru, beberapa langkah dan tindakan pantas perlu segera diambil bagi menanganinya bagi memastikan ia tidak berulang kembali selama-lamanya.

Bagi menyelesaikan kemelut menghantui pelbagai pihak maka beberapa langkah pencegahan perlu dilaksanakan segera. Pertama, pihak berkuasa perlu menyiasat punca sebenar di sebalik penjualan stoking tertera kalimah Allah dan siapakah sebenarnya perlu diheret kemuka pengadilan.

Kedua, situasi ini memerlukan setiap umat Islam bertenang dan tidak bertindak melampaui batas undang-undang sehingga siasatan selesai. Ini bagi mengelak berlakunya sebarang bentuk keganasan di luar kawalan dan menyebabkan siasatan terganggu.

Peniaga pula perlu mengambil tanggung jawab penuh terhadap kecuaian yang berlaku. Bagi umat Islam pula perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa membuat siasatan lanjut. Pihak peniaga sudah memohon maaf atas kecuaian dan menarik kembali penjualan stoking berkenaan.

Ketiga, pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim perlu mempergiatkan program kesedaran kepada masyarakat khususnya bukan Islam bagi menjelaskan segala perkara menjadi sensitiviti bagi umat Islam.

Penyebaran maklumat berkaitan Islam perlu digerakkan ke seluruh negara bagi mendidik masyarakat lebih menanam sikap hormat menghormati serta mengelak berulangnya kemelut berlaku kini.

Justeru, usaha memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjadi rakyat yang baik menerusi dialog harmoni antara kaum perlu diperluaskan. Maka, kerajaan wajar menyediakan peruntukan tambahan, terutama kepada JAKIM untuk adakan program dan kempen berkenaan demi memastikan keharmonian kaum dan agama kekal terpelihara.

Keempat, pihak berkuasa perlu memastikan semua peniaga bukan Islam perlu mendapatkan sijil etika perniagaan daripada pihak berkuasa dan ia perlu diperbaharui setiap tahun bagi mengingatkan peniaga keperluan menjalankan perniagaan wajib mengambil kira keperluan etika supaya tidak mengundang isu sensitiviti baharu terhadap umat Islam sebagai pengguna majoriti di dalam negara.

Sijil ini boleh diperoleh melalui kursus jangka pendek dan ia menyentuh etika perniagaan, boleh dikendalikan JAKIM seperti mana sijil halal dikeluarkan jabatan itu.

Kelima, peniaga bukan Islam yang beroperasi dengan skala besar perlu diwajibkan melantik pegawai pemasaran dalam kalangan Muslim yang arif dengan isu halal dan haram serta sensitiviti Islam bagi menyemak dan meluluskan sesuatu barangan jualan sebelum ia dijual kepada pengguna.

Dengan adanya pelantikan itu di setiap premis perniagaan, ia dapat mengambil tanggungjawab memastikan standard barang dijual kekal memenuhi piawaian syariah serta tidak memberi kesan buruk terhadap sensitiviti umat Islam.

Keenam, peniaga bukan Islam perlu sentiasa membabitkan diri bersama NGO Pengguna Islam bagi memperkukuhkan hubungan serta bertukar idea bagi memperbaiki kelemahan dan mengelak prejudis dalam kalangan pengguna Islam.

Justeru, dengan beberapa pendekatan berhikmah dan persiapan perancangan rapi, diharapkan isu terpalit dengan kontroversi dan sensitif umat Islam dapat dibendung pada masa hadapan.

Banteras ancaman cabar keharmonian

Segala perancangan ini amat perlu bagi membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan sebagai negara mampu memberikan contoh terbaik kepada masyarakat dunia dengan sikap hormat menghormati tinggi dalam kalangan pelbagai kaum.

Ini mampu mengangkat maruah dan darjat rakyat Malaysia ke persada dunia. Sebarang bentuk ancaman mencabar keharmonian kaum perlu dibanteras segera dan dipastikan tidak berlaku lagi sehingga dunia kiamat. Kita mahu mewujudkan masyarakat Madani yang progresif bukan pada orang Islam sahaja, bahkan kepada bukan Islam juga.

Paling penting, umat Islam di negara juga perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran, sunah dan ijmak ulama untuk memastikan cara hidup diamalkan dalam masyarakat berbilang kepercayaan agama menjadi contoh teladan terbaik dalam kehidupan negara masyarakat majmuk.

Umat Islam di negara ini perlu jadi komuniti terbaik sesuai firman Allah SWT bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)". (Surah Ali Imran, ayat 110)

Menyalahkan orang bukan Islam semata-mata dalam isu penghinaan tidak membantu menamatkan kontroversi ini. Ia menuntut komitmen umat Islam itu sendiri menjadi ejen penyampai dan dakwah Islam dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam aktiviti perniagaan serta ekonomi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis

Berita Harian X