Isnin, 18 March 2024 | 9:23am
Masyarakat Penan dan Berawan perlu diberi ilmu pengetahuan untuk menjaga ekosistem di Taman Negara Gunung Mulu. - Foto hiasan
Masyarakat Penan dan Berawan perlu diberi ilmu pengetahuan untuk menjaga ekosistem di Taman Negara Gunung Mulu. - Foto hiasan

Didik masyarakat Penan, Berawan budaya celik spesies

BUDAYA celik spesies mungkin terdengar asing dalam kalangan masyarakat umum, terutama di negara membangun seperti Malaysia. Istilah itu merujuk kepada pengetahuan individu mengenai spesies.

Di Taman Negara Gunung Mulu yang menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori semula jadi, fokus budaya celik spesies ini seharusnya lebih tertumpu kepada pengetahuan mengenai spesies terancam di kawasan terbabit.

Ini kerana ia menghadapi cabaran utama dalam konservasi yang boleh mengancam status Tapak Warisan Dunia ini sendiri, terutama akibat pemburuan hidupan liar yang boleh membawa kepada kepupusan haiwan terancam.

Masyarakat Penan dan Berawan di kawasan itu berperanan sebagai penjaga utama taman negara membawa nilai sejagat luar biasa dan rentan seperti digariskan UNESCO. Kajian dijalankan penyelidik menunjukkan pengetahuan mereka mengenai haiwan terancam adalah sederhana.

Oleh itu, program intervensi perlu dilaksanakan secara berkala untuk meningkatkan tahap pengetahuan mereka mengenai spesies ini.

Cabaran terbesar adalah kehidupan mereka secara seminomad dan ada masih menjalani gaya hidup nomad sepenuhnya yang memberikan hak berburu di kawasan tertentu sekitar Taman Negara Gunung Mulu.

Tradisinya, mereka ialah pemburu terlatih menggunakan sumpit sebagai alat 'pembunuh senyap' dengan racun didapati daripada getah pokok ipuh untuk memburu haiwan seperti burung, kelawar, beruang matahari, primat dan rusa.

Pemburuan ini sukar dikawal kerana ia berlaku secara senyap disebabkan penggunaan sumpit tidak mengeluarkan bunyi kuat seperti senapang. Adalah menjadi kerisauan jika haiwan tertentu dikenal pasti sebagai spesies terancam terus diburu.

Ekosistem musnah

Impaknya menyebabkan ekosistem Tapak Warisan Dunia musnah kerana terputusnya rantaian makanan dan kebergantungan antara spesies. Ia boleh mengakibatkan status taman negara berada dalam Senarai Warisan Dunia dalam Bahaya.

Status haiwan dan tumbuhan terancam dikelaskan Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dalam beberapa kategori seperti terdedah kepada ancaman (VU); hampir terancam (NT); terancam secara kritikal (CR); terancam (EN), konservasi bersandar (CD); pupus (E) dan kurang dibimbangi (LC).

Pembahagian ini penting untuk menilai sama ada haiwan dan tumbuhan menghadapi kepupusan atau tidak. Ketika ini, lebih 28,000 spesies sedang menghadapi ancaman kepupusan.

Malangnya, kajian juga menunjukkan majoriti penduduk banyak meletakkan spesies terancam berstatus CR, EN dan VU sebagai keutamaan konservasi rendah.

Hanya spesies burung enggang badak sahaja tersenarai dalam keutamaan pemuliharaan. Ini mungkin disebabkan burung enggang badak yang menjadi ikon di Sarawak hingga pengetahuan mengenainya tidak hanya mewakili pengetahuan, bahkan membawa nilai kesepunyaan terhadap negeri dan kawasan terbabit.

Dengan nilai itu, masyarakat Penan dan Berawan akan terus menyedari Gunung Mulu dan biodiversiti yang terdapat di dalamnya adalah identiti mereka.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Berita Harian X