Khamis, 14 March 2024 | 10:01am
Suasana di Masjid Negara semasa umat Islam mendirikan solat sunat tarawih pertama pada Ramadan. - Foto BERNAMA
Suasana di Masjid Negara semasa umat Islam mendirikan solat sunat tarawih pertama pada Ramadan. - Foto BERNAMA

Ramadan platform bina kesedaran diri, sosial

[email protected]

Ramadan bukan sahaja bulan umat Islam menunaikan ibadah puasa iaitu Rukun Islam ketiga, tetapi juga masa untuk melakukan muhasabah diri melalui ibadah solat, menunaikan ibadah sunnah, melakukan amal kebaikan, meluangkan masa dan merapatkan silaturahim bersama ahli keluarga.

Apabila menjalankan ibadah puasa, ia membantu memperkuat dan memperkukuhkan lagi kawalan diri serta kesabaran Muslim. Justeru, di antara aspek penting ditekankan ketika Ramadan adalah kesedaran diri dan sosial.

Kesedaran diri diperkukuh melalui amalan berpuasa kerana ia bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum dan perbuatan boleh membatalkan puasa tetapi memerlukan kesedaran diri tinggi memenuhi kewajipan.

Ia membantu seseorang individu menyedari kekuatan dirinya untuk mengawal hawa nafsu dan meningkatkan disiplin diri. Bermula waktu sahur hingga berbuka, melunaskan kerja seharian dan mengurus rumah tangga, setiap aktiviti dijalankan dengan teratur.

Rutin ini secara tidak langsung melatih diri untuk lebih berdisiplin mengatur masa dan menjalankan aktiviti lebih bermanfaat sepanjang hari. Kehadiran bazar Ramadan sering menyebabkan pengunjung terpengaruh dengan pelbagai hidangan dijual.

Oleh itu, kesedaran diri tinggi memainkan peranan penting untuk mengawal nafsu apabila berada di bazar Ramadan. Nafsu membeli tidak terkawal boleh membawa kepada pembaziran.

Individu memiliki kesedaran tinggi akan memahami dengan jelas pentingnya pengurusan kewangan sihat, menetapkan matlamat kewangan, menilai sesuatu produk, merancang belanja dengan bijak dan menyedari pilihan alternatif sebelum membeli.

Kegagalan melaksanakan pengurusan kewangan sihat membantu individu mengawal emosi dan menangani tekanan yang mungkin timbul. Kesedaran diri tinggi membantu individu menguruskan stres, meningkatkan sabar dan mencapai kesejahteraan emosi lebih baik.

Sempena Ramadan juga, perkara yang tidak boleh diabaikan adalah meningkatkan tahap kesedaran sosial iaitu pemahaman mendalam terhadap realiti sosial melingkungi individu serta tanggungjawab membantu orang lain.

Kesedaran sosial membabitkan pengakuan keadaan orang lain serta keperluan mereka dan memotivasikan individu untuk bertindak secara positif bagi membantu mengatasi masalah dan memperbaiki keadaan sosial.

Antara kesedaran sosial boleh dipupuk sepanjang Ramadan adalah melakukan amalan kebajikan dan solidariti seperti memberi sedekah, berbuka puasa bersama-sama dan memberi bantuan kepada masyarakat memerlukan.

Contoh boleh dilihat adalah apabila seseorang memiliki kesedaran sosial tinggi dan mungkin meluangkan masa untuk mempersiapkan makanan untuk orang kurang bernasib baik atau mengumpulkan sumbangan bagi membantu keluarga memerlukan.

Mungkin juga ada segelintir mengambil inisiatif menyokong program masyarakat seperti kempen pemakanan bagi golongan miskin atau program bantuan kepada anak yatim.

Bukan itu sahaja, saling bertukar-tukar juadah berbuka puasa dengan jiran tetangga juga adalah bentuk kesedaran sosial dalam membina komuniti harmoni dan penyayang.

Melalui amalan berkenaan, seseorang tidak hanya menguatkan kesedaran diri mereka mengenai keperluan orang lain, tetapi juga memperlihatkan kepekaan sosial bagi membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Kesedaran sosial diperoleh melalui amalan berkenaan membawa manfaat besar bukan hanya kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.

Ramadan bukan hanya tertumpu kepada ibadah dan puasa semata-mata, tetapi juga peluang memperkukuhkan kesedaran diri dan sosial, membina hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, serta memperbaiki masyarakat secara keseluruhan.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Berita Harian X