Jumaat, 8 March 2024 | 8:40am

Tubuh jawatankuasa khas pantau kebolehpasaran graduan

HASIL kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan semakin ramai graduan sepatutnya berkhidmat dalam bidang dipelajari di universiti dikesan beralih kepada pekerjaan bukan standard atau tidak sepadan dengan kelayakan bukan sesuatu yang mengejutkan.

Isu ini sudah lama diperdebatkan dan ternyata masih belum ada satu jalan penyelesaian tuntas. Ironinya sudah tiba masa untuk mencari strategi baharu bagi menangani fenomena graduan terpaksa bekerja dalam bidang tidak sepadan dengan kelayakan akademik dan menerima kadar gaji jauh lebih rendah sehingga bergelut meneruskan kelangsungan hidup.

Penulis bersetuju dengan cadangan Minda Pengarang BH supaya usaha melahirkan graduan mampu memenuhi pasaran dan kehendak majikan serta industri tidak boleh dipikul Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sendirian, sebaliknya menuntut kerjasama pelbagai kementerian dan agensi lain.

Bermakna, usaha membantu graduan memperoleh peluang pekerjaan dan kadar gaji sepadan dengan kelayakan mereka tidak boleh dilakukan secara silo sebaliknya perlu dilaksanakan dengan kerjasama erat daripada semua pihak terbabit secara bersepadu.

Dalam hal ini mungkin sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas pada peringkat nasional seperti Jawatankuasa Kebolehpasaran Graduan Nasional dipengerusikan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri bagi menyelaras serta memantau segala usaha agensi awam dan industri menangani isu kritikal ini.

Kita memerlukan penyelarasan pada peringkat nasional dan seorang pengerusi yang mempunyai kuasa untuk memberi kata putus serta memberikan arahan kepada semua pihak untuk mempergiatkan inisiatif dalam membantu graduan keluar daripada kemelut ini.

Jawatankuasa khas ini boleh meneliti dan memantau segala inisiatif dilaksanakan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 (PSKG) serta hasilnya setakat ini.

Selain itu, kerajaan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan tidak lama lagi akan menambah baik struktur gaji bagi membolehkan graduan baharu menikmati gaji lebih baik.

Misalnya, kerajaan dilaporkan akan menggubal akta gaji khusus untuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sasaran penggajian lebih tinggi daripada kadar gaji minimum iaitu RM4,000 ke atas.

Persoalannya, bagaimana nasib graduan bukan TVET. Keperluan mereka juga perlu dilihat bersama supaya tidak mewujudkan jurang besar antara dua kelompok ini kelak.

Pada masa sama, pihak industri juga wajar lebih bertanggungjawab dengan perlu lebih terbuka dalam menerima graduan baharu, memberi peluang mereka membuktikan kemampuan dan membayar gaji mengikut kelayakan serta kemahiran dimiliki.

Dalam konteks kerjasama dengan industri, secara prinsipnya institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa membuka peluang kepada industri memberikan maklum balas serta terbabit secara langsung bagi membantu melahirkan graduan berkualiti memenuhi permintaan industri.

Persoalannya adakah industri bersedia menyambut dan memberi peluang kepada graduan untuk bekerja di tempat mereka melakukan latihan industri selepas menamatkan pengajian.

Ini satu isu nasional yang perlu ditangani kerana masih mendengar alasan industri kononnya graduan tidak memiliki kemahiran insaniah dan pengetahuan diperlukan majikan. Alasan ini boleh dipersoalkan.

Justeru, kita tidak mahu majikan sengaja menggunakan alasan ini untuk menggajikan graduan warga asing atas alasan memiliki pengetahuan dan kemahiran diperlukan berbanding graduan tempatan.

Selain itu, kerajaan dan industri juga perlu segera merombak struktur ekonomi negara supaya dapat mencipta serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan sepadan dengan kelayakan graduan tempatan.

Kesimpulannya, kita memerlukan jawatankuasa pada peringkat nasional bertindak menyelaras dan memantau isu kebolehpasaran graduan selain melaksanakan strategi baharu lebih tangkas dengan kerjasama agensi awam dan industri bagi membantu masa depan graduan tempatan.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X