Khamis, 29 Februari 2024 | 11:06am
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

Hapus stigma turap jalan hari ini, esok berlubang semula

Kalau hendak memandu ke destinasi ingin dituju bukan sekadar perlu ingat arah jalan, malah mesti juga hafal keadaan permukaan jalan untuk mengelak tayar kenderaan melanggar dan masuk lubang. Itu senario boleh menggambarkan betapa bahayanya permukaan jalan 'tidak cukup sifat' sehingga boleh mengundang bahaya dan mengancam nyawa.

Lebih 'mendebarkan' apabila memandu pada waktu malam di kawasan gelap tanpa limpahan lampu jalan. Jalan raya rosak dan keadaan gelap umpama jerat menanti pengguna jalan raya. Jika bernasib baik, hanya mengalami kecederaan dan jika sebaliknya berlaku, maut mungkin menunggu.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Buki Aman, sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 Disember 2023.

Daripada jumlah itu, 5,984 kes adalah kemalangan maut, manakala kes kematian berjumlah 6,433 kes, 2,331 kes membabitkan kemalangan parah dan 28,511 kemalangan ringan, manakala selebihnya menyebabkan kerosakan kenderaan.

Namun, lebih 80 peratus faktor utama nahas jalan raya sehingga mengakibatkan kematian di negara ini berpunca sikap manusia, manakala hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati faktor rekaan, infrastruktur dan keadaan jalan menyumbang sekitar 13 peratus kepada kemalangan maut di jalan raya.

Meskipun kerosakan jalan raya dikatakan menyumbang peratusan kecil kematian di negara ini, ia bukan alasan kerajaan Persekutuan atau negeri memandang enteng kerja selenggara dan pembaikan jalan raya.

Lancar kempen MYJalan

Mengimbau beberapa kes kematian penunggang motosikal sebelum ini, seorang warga emas dalam perjalanan dari Taman Connaught, Kuala Lumpur menuju ke Mid Valley terbunuh apabila motosikal ditunggang melanggar lubang di Jalan Tengah.

Kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 75 tahun tercampak sejauh 30 meter. Sehari kemudian, seorang penunggang motosikal penghantar makanan berusia 31 tahun maut selepas jenteranya hilang kawalan merempuh jalan berlubang di Jalan PJU 7/2 berhampiran The Curve di Mutiara Damansara.

Ini bermaksud kes jalan berlubang bukan hanya berlaku di luar bandar, malah turut terjadi di kawasan bandar. Yang pasti, tugas seliaan dan penyelenggaraan jalan raya di negara ini bukan menjadi tanggungjawab satu pihak saja iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mungkin ramai masih tidak tahu setiap jalan di Malaysia ini ada pemiliknya sendiri. Maksudnya, JKR bukan pemilik semua jalan raya di negara ini kerana ada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi.

Dalam hal ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) diterajui Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melancarkan kempen MYJalan untuk mengajak pengguna lebih peka terhadap isu jalan bermasalah, selain mendidik rakyat mengenal pasti jalan Persekutuan dan jalan negeri bagi memastikan tindakan aduan diambil perhatian pihak berwajib.

Aplikasi MYJalan merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalur maklumat kerosakan jalan raya supaya langkah membaik pulih dilaksanakan segera. Aplikasi menjadi platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan jalan rosak meskipun jalan bukan diselenggara KKR.

Namun, aspek yang tidak harus dikompromi adalah kualiti kerja pembaikan seperti kerja menurap jalan perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Tindak balas pantas membaiki jalan rosak tidak akan bermakna jika faktor kualiti pembaikan amat mengecewakan.

Justeru, kementerian berkaitan harus berganding bahu dengan KKR meneruskan kerjasama rentas kementerian bagi memastikan ada sinergi dari segi dasar dan tindakan, supaya isu kerosakan jalan raya dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Pihak berkuasa khasnya JKR, PBT dan syarikat utiliti perlu memastikan kontraktor dilantik melakukan kerja menurap semula jalan supaya dengan mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan kualiti jalan raya kekal selamat untuk digunakan pengguna.

Berita Harian X