Rabu, 21 Februari 2024 | 1:57pm
Foto hiasan. - Fail NSTP
Foto hiasan. - Fail NSTP

Graduan dituntut kuasai kemahiran insaniah

Berdasarkan Tinjauan Ekonomi 2024, lebih 70 peratus daripada graduan baru bekerja memperoleh gaji di bawah RM2,000 sebulan. Perkara ini juga turut membabitkan graduan berkelulusan profesional seperti peguam, akauntan dan jurutera.

Perkara ini mungkin isu lapuk tapi realitinya, graduan terutama Generasi Z (Gen-Z) hari ini berdepan dimensi bekerja berbeza dengan generasi sebelumnya.

Hari ini, landskap pekerjaan amat dinamik sehingga memberi tekanan kepada graduan terutama memburu gaji relevan dalam era teknologi moden dan kos sara hidup tinggi. Isu gaji rendah masih kekal menjadi cabaran kepada graduan baharu menceburi bidang pekerjaan lebih-lebih lagi dalam sektor swasta.

Sebelum ini pernah dilaporkan graduan terpaksa membelanjakan hampir keseluruhan gaji mereka untuk perbelanjaan asas dan tidak mampu membuat simpanan bagi perlindungan keselamatan sosial masa depan.

Pada peringkat kerajaan, terdapat beberapa akta seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) bertujuan mengawal selia penetapan dan pembayaran gaji pekerja.

Namun isu gaji rendah masih membelenggu kebanyakan pekerja lulusan universiti pada hari ini. Usaha berterusan kerajaan masih lagi diteruskan melalui Dasar Gaji Progresif dibentangkan akhir tahun lalu.

Melalui dasar ini, kerajaan akan menyediakan insentif berbentuk tunai akan dibayar mengikut kadar dan kumpulan pekerja. Dasar Gaji Progresif ini bertujuan meningkatkan gaji dan mencapai pengagihan pendapatan lebih seimbang.

Usaha ini diharapkan dapat menyelesaikan masalah gaji rendah, namun dasar bersifat sukarela ini hanya dapat direalisasikan dengan penyertaan dan sokongan padu majikan.

Selain isu gaji rendah, cabaran peluang pekerjaan tidak sepadan dengan ijazah dimiliki graduan dilihat sebagai cabaran utama mengapa lepasan universiti ada yang lebih gemar memilih pekerjaan ekonomi gig seperti pemandu p-hailing, e-hailing atau pekerjaan tidak formal.

Pekerjaan ekonomi gig yang tidak memerlukan pencapaian akademik tinggi dan waktu kerja rigid seperti menggunakan sistem masuk dan keluar pejabat menarik minat graduan.

Isu ketidaksepadanan pekerjaan dan kemahiran mempunyai kesan negatif bukan sahaja kepada individu tidak dapat menjana pendapatan tinggi setimpal dengan ijazah dimiliki, bahkan menjadi penyumbang kepada kelembapan ekonomi dan kemajuan negara akibat negara kekurangan tenaga kerja mahir dan profesional.

Faktor kekurangan pekerjaan dan ketidaksepadanan kemahiran dilihat sebagai faktor penolak bakat tempatan memilih untuk ke luar negara mendapatkan pekerjaan dengan gaji tinggi sepadan dengan kemahiran dimiliki.

Cabaran pekerjaan graduan masa kini juga diukur melalui penguasaan kemahiran insaniah. Kebanyakan industri pada hari ini tidak hanya menekankan penguasaan kemahiran teknikal bahkan memerlukan graduan menguasai kemahiran insaniah.

Hal ini kerana kemahiran insaniah asas penting perlu dikuasai untuk graduan lebih berdaya saing. Komponen kemahiran insaniah merangkumi komunikasi, pemikiran kritikal, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, kepemimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan masa.

Oleh demikian, graduan harus bersiap siaga menguasai kemahiran insaniah ketika dalam tempoh pengajian supaya memiliki kemahiran tinggi secara tidak formal.

Secara praktikal, kebanyakan program pengajian mewajibkan pelajar menjalani latihan industri dalam tempoh pengajian kebiasaannya bagi membolehkan mereka menonjolkan kemahiran insaniah selain kemahiran teknikal.

Dalam satu kajian dijalankan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), antara faktor graduan kurang mendapatkan pekerjaan dimohon disebabkan kurang berkemahiran. Maka, pembentukan kemahiran insaniah harus dimulai di peringkat awal sekolah dan berterusan di setiap peringkat pendidikan.

Selain itu, institusi pendidikan perlu terus bekerjasama dengan industri dalam mengenal pasti keperluan kemahiran insaniah diperlukan pekerja masa kini selain keperluan teknikal supaya mahasiswa dapat diterapkan dengan kemahiran insaniah lebih berdaya saing.

Penulis adalah Pensyarah kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, UM

Berita Harian X