Ahad, 18 Februari 2024 | 12:41pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Batal 16 seksyen enakmen syariah tidak jadikan Malaysia sekular

Soalan (S): Ramai umat Islam keliru dengan kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan keputusan Mahkamah Persekutuan. Mengapa?

Jawapan (J): Apabila disebut mengenai syariah, ramai yang faham ia datang daripada wahyu Allah, al-Quran dan sunah. Dalam konteks di Malaysia, walaupun jenayah syariah ada terkandung kesalahan hudud seperti zina dan minum arak, pelaksanaan hukuman itu mengikut takzir, bidang kuasa di bawah mahkamah syariah, iaitu penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan, seperti diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355).

Ramai salah faham mengatakan seolah-olah keputusan Mahkamah Persekutuan ini menafikan kesalahan jenayah syariah bersumberkan al-Quran dan sunah. Anggapan ini salah. Sebenarnya 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 diputuskan sebagai tidak sah, terbatal dan menyalahi Perlembagaan itu, sebilangan besar bidang kuasanya nampak dengan jelas terletak di bawah Persekutuan.

Sebagai contoh, dalam Seksyen 39 enakmen berkenaan, mengurangkan skala, ukuran dan berat; Seksyen 40, melakukan transaksi muamalat berlawanan dengan hukum syarak; Seksyen 41, melaksanakan urus niaga melalui riba dan Seksyen 42, penyalahgunaan label dan konotasi halal, ini semua bukan bidang kuasa negeri, sebaliknya di bawah Persekutuan.

Mengenai halal itu, ia di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan hal ehwal berkaitan perkhidmatan kewangan Islam itu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Sebenarnya, ia sudah melangkaui kuasa diberi kepada negeri untuk membuat perundangan itu.

S: Ada orang Islam berpendapat kes dibangkitkan Nik Elin ini menunjukkan peningkatan elemen sekular dalam negara, apa pandangan IKIM?

J: Sekular ini perkara asing daripada agama. Apakah kes Nik Elin ini menyebabkan kita keluar daripada Islam dan menjadi sekular kerana keputusan itu dibuat Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepada kita? Ini tidak betul. Dalam 68 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, hanya 16 diputuskan tidak sah dan terbatal. Banyak berkaitan itu adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan dan ada beberapa berkenaan liwat, persetubuhan dengan mayat dan bukan manusia, semuanya ada di bawah Kanun Keseksaan.

Saya ambil contoh, Seksyen 36 mengenai apa-apa yang memabukkan di bawah enakmen itu dibatalkan, mungkin merujuk kepada menghisap dadah dan minum air ketum, ia berada di bawah undang-undang Persekutuan, tapi Seksyen 35 mengenai minuman memabukkan, peruntukan itu masih dikekalkan di bawah enakmen kerana ia sememangnya di bawah kuasa negeri.

Ramai tidak faham, sebenarnya apa sahaja undang-undang, sama ada di bawah mahkamah syariah atau mahkamah sivil, selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak, maka ia Islamik. Maka, dakwaan mengatakan Malaysia semakin sekular susulan keputusan kes ini adalah pandangan kurang bijak dan kurang memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

S: Bagaimana dengan pandangan melihat keputusan itu memberi gambaran undang-undang syariah tidak diangkat dengan sewajarnya di Malaysia?

J: Jika didakwa undang-undang syariah tidak diangkat dengan sewajarnya, kita perlu melihat perkembangannya dari perspektif peruntukan sebelum ini tiada, kemudian kita adakan. Bila kita sebut undang-undang syariah, tidak semestinya dalam bidang kuasa negeri atau mahkamah syariah sahaja. Sebagai contoh, mengenai halal, ia adalah isu syariah, tetapi tidak berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan DUN untuk menjatuhkan hukuman.

Mengenai haji, ia di bawah menteri yang bertanggungjawab di Persekutuan. Begitu juga dengan perbankan dan kewangan Islam. Justeru, adakah ini dianggap tidak syariah? Adakah mahkamah sivil itu, jika ia memenuhi syarat mengikut piawaian syariah, dianggap sebagai mahkamah sekular? Kita perlu keluarkan kefahaman mengenainya. Kita lihat kepada Kanun Keseksaan, bagaimana 70 peratus daripadanya adalah Islamik. Ia mengandungi qisas (balas bunuh) dan selepas ini ada alternatif, digantikan dengan diyat, itu juga ada dalam Kanun Keseksaan. Adakah itu dianggap sebagai tidak syariah?

S: Mungkin akan ada bukan Islam menolak cadangan mengharmonikan undang-undang syariah dan Perlembagaan. Bagaimana hendak menjelaskannya?

J: Semua orang secara fitrahnya mahukan perkara baik. Apabila kita mahu mengharmonikan undang-undang, kita tidak perlu sebut undang-undang itu adalah Islam kerana ia tidak akan dipersetujui sebab mereka melihat kepada hukum hudud. Ia perlu dilaksanakan dengan cara tidak melabelkan ia sebagai syariah dan Islam. Mengapa Kanun Keseksaan yang 70 peratus bersifat Islamik itu boleh diterima? Sebab tidak disebut Islam. Sistem perbankan dan kewangan Islam juga boleh diterima kerana ia menguntungkan mereka. Bagi saya, yang mana boleh dibuat secara pentadbiran tanpa memerlukan pindaan Perlembagaan, kita buat tapi jika tidak boleh dan perlu pindaan, kita lakukannya juga.

Maka, dalam mengharmonikan undang-undang syariah dan sivil, kita lihat yang mana bercanggah dengan Islam, kita 'Islamkan' walaupun ia dalam undang-undang sivil. Hukuman Islam itu juga bukanlah bersifat fizikal, tetapi juga mendidik, yang mana hukuman itu boleh berbentuk restoratif dan kerja kebajikan.

S: Apa aspek utama akan IKIM perjelaskan kepada umum susulan keputusan Mahkamah Persekutuan?

J: Dalam isu ini, ia berkaitan perundangan syariah di Malay- sia, terutama berkenaan jenayah syariah. Keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan itu, walaupun membabitkan Perlembagaan, ada kaitan dengan perundangan syariah, terutama Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Antara rancangan IKIM, kita akan mengadakan persidangan meja bulat pada masa terdekat, membabitkan pakar dalam bidang perundangan sivil dan syariah serta ulama dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tujuannya adalah untuk mencari jalan penyelesaian dan syor, akan dimajukan kepada kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar dan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. Pada masa sama, kita mengeluarkan kenyataan dalam media, menegur tindakan umum seperti individu melakukan video parodi susulan keputusan itu dan penulisan untuk siaran di akhbar menerangkan mengenai isu ini.

Kita juga menerangkannya dalam media IKIM, iaitu penjelasan daripada pakar melalui radio kita, malah ia sudah pun dibincangkan sejak kes ini belum diputuskan Mahkamah Persekutuan. Siri mendidik masyarakat mengenai fakta sebenar kes ini akan kita teruskan. Saya turut hadir dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Khamis lalu dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sama seperti kita anjurkan, iaitu menghormati keputusan mahkamah itu, jangan dipolitikkan, melihat kepada bidang kuasa negeri dan Persekutuan dan pada hemat baginda, kajian perlu dibuat.

Jawatankuasa itu kelak akan membuat syor dan dimaklumkan kepada MKI, sebelum dibawa kepada Majlis Raja-Raja. Selain itu, IKIM juga akan menyediakan soalan lazim ditanya (FAQ) mengenai perundangan syariah di Malaysia dari aspek fiqh dan pelaksanaannya, dengan adanya Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi.

S: Nasihat IKIM kepada umat Islam supaya tidak terus polemik isu ini?

J: Kita perlu menerima keputusan mahkamah ini tapi tidak semestinya kita tidak, mengambil apa-apa langkah susulan. Kita perlu lihat apa penambahbaikan yang boleh dilakukan. Ini bukan isu baharu kerana kes sama pernah berlaku sebelum ini, dalam kes Sulaiman Takrib pada 2008 dan Iki Putra Mubarak pada 2021. Kita sudah tahu dan sepatutnya sudah bergerak untuk melakukan sesuatu.

Alhamdulillah, dengan titah Sultan Selangor dan penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, kita sudah memulakannya. Justeru, dalam hal ini, orang ramai perlu memahami bidang kuasa syariah dan Persekutuan. Jika tidak faham bidang kuasa masing-masing, kita akan mudah menganggap sesuatu itu tidak sah dan tidak betul. Maka, menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara mesti didukung rakyat Malaysia. Orang mempunyai pengaruh mesti menjelaskan perkara sebenar, bukan mengambil kesempatan untuk mendapat habuan masing-masing.

Apa yang menjadi masalah, kes Nik Elin ini sudah dipolitikkan sesetengah pihak. Insya-Allah, persidangan meja bulat nanti dan syor akan dikemukakan jawatankuasa khas kelak, kita mungkin dapat mencari satu titik pertemuan. Orang Islam sepatutnya bersatu. Jika ada insiden begini, kita tidak boleh mencari salah sesiapa, tetapi memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian, bukan pertengkaran dan mahu menunjukkan siapa lebih kuat atau pandai. Gunakan kes ini untuk kepentingan kita bersama, mengambil iktibar dan perbaiki kelemahan.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X