Sabtu, 17 Februari 2024 | 10:04am
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

Aduan, maklum balas baiki budaya kerja penjawat awam berintegriti

Wabak rasuah sekian lama membarah di seluruh dunia hingga menjadi sistemik, sekali gus menceroboh ke setiap aspek aktiviti kehidupan. Setiap tahun, gejala rasuah merugikan ekonomi global RM17.02 trilion seperti dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut bekas Pengerusi Transparency International, Delia Matilde Ferreira Rubio, pembudayaan nilai baik seperti integriti sebenarnya menjadi antara penawar ampuh.

Justeru, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil.6/2013 mengenai Penubuhan Unit Integriti di semua agensi pada 24 Julai 2013 yang kini dipraktikkan di hampir setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat Persekutuan atau negeri.

Sebaik mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri terus menyeru seluruh jentera penjawat awam menjadikan islah sebagai asas pembangunan negara.

Islah bermakna mengembalikan sesuatu keadaan sedia ada kepada suatu keadaan betul, tepat dan sesuai, sekali gus menuntut usaha pembaikan berterusan. Dalam konteks perkhidmatan awam, definisi kalimat 'islah' dapat dizahirkan melalui pemerkasaan budaya kerja perkhidmatan awam ke arah lebih baik secara berterusan.

Pembudayaan nilai baik dalam perkhidmatan awam menjadi aspek utama sentiasa dititikberatkan. Usaha berterusan hingga melahirkan budaya kerja cemerlang perlu sentiasa disemai dalam jati diri penjawat awam kerana kecekapan sistem perkhidmatan awam sebagai cerminan kepada kekuatan dan keupayaan ekonomi negara.

Budaya kerja cemerlang

Budaya kerja cemerlang memperuntukkan tatacara dan etika kerja baik dari setiap peringkat sama ada pengurusan atasan atau pekerja bawahan. Melalui pembudayaan ini, kegiatan tidak bermoral seperti rasuah pastinya dapat dihindari.

Pembabitan orang awam sebagai penerima perkhidmatan juga menjadi pemangkin utama memperkasakan budaya kerja cemerlang perkhidmatan awam. Pengaduan dan inkuiri awam, maklum balas sama ada berbentuk pujian, semangat atau pandangan berterusan daripada penerima perkhidmatan perlu sentiasa diberikan perhatian serta dihargai supaya budaya kerja sedia ada terus diperbaiki.

Ini selaras Perkara 13 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) memperuntukkan negara mempergiatkan usaha pembabitan kumpulan, selain sektor awam untuk bersama memerangi rasuah.

Hakikatnya, budaya kerja cemerlang ialah nadi dalam usaha memerangi rasuah melalui ketelusan dalam perkhidmatan dan keberkesanan terhadap penyampaian. Dalam hal ini, kerajaan melancarkan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) serta Jawatankuasa Tatakelola di pelbagai peringkat Disember 2023.

Objektif utama JKKTN adalah menjadi wadah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui penekanan dalam prinsip tatakelola seperti kebertanggungjawaban, ketelusan dan keterangkuman.

Terkini, usaha memerangi rasuah dilihat mendatangkan hasil apabila menunjukkan peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International. Pada 2023, Malaysia mencatat peningkatan tiga mata, iaitu 50 mata berbanding 47 mata pada 2022.

Ini melonjakkan Malaysia di kedudukan ke-57, berbanding 2022 (ke-61) daripada 180 negara. Pencapaian ini menjadi motivasi kepada rakyat dalam memberikan pengharapan tinggi dan kesediaan terbabit dalam usaha memerangi rasuah.

Matt Tenney dalam bukunya berkaitan kepemimpinan, iaitu Serve to Be Great menyatakan antara faktor utama menentukan budaya kerja organisasi dan penghasilan prestasi cemerlang adalah sejauh mana motivasi terhadap pekerja diberikan perhatian pengurusan.

Ini terkait dengan sejauh mana seseorang berasa perlu melakukan sesuatu tugasan dengan cemerlang dan berpuas hati dengan setiap tindakan diambil, selain persekitaran pekerjaannya.

Kerajaan melalui JPA pada tahun lalu memulakan perancangan penting untuk memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjaga, iaitu menyegerakan usaha mewujudkan sistem saraan baharu.

Harapan seluruh penjawat awam pastinya agar keputusan bakal diumumkan kelak dapat memberikan kelegaan dari sudut pendapatan, seterusnya meningkatkan motivasi mereka untuk lebih cemerlang.

Budaya kerja cemerlang melalui penyuburan nilai baik perlu menjadi keazaman setiap individu. Pemerkasaan budaya baik secara berterusan dalam perkhidmatan awam pastinya akan melahirkan iltizam tinggi menjauhi rasuah.

Penulis adalah Perunding Latihan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Berita Harian X