Selasa, 13 Februari 2024 | 11:35am
Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. - Foto fail NSTP
Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. - Foto fail NSTP

Harta wakaf terpilih wajar diiktiraf warisan dunia

SEBAGAI sumber daya ekonomi dan sosial negara, harta wakaf membawa satu naratif positif terhadap punca kuasa ketiga lebih bersifat sejagat. Kombinasi sektor awam khasnya majlis agama Islam negeri (MAIN) dengan rakyat sebagai penyumbang utama wakaf, seharusnya dapat memastikan harta wakaf dipelihara sebaiknya.

Bagi menghargai dan memanfaatkan harta wakaf sebaiknya, amat wajar jika harta wakaf menjadi sebahagian harta warisan negara diperkukuhkan dengan undang-undang. Ia bagi mengelakkan diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Jabatan Warisan Negara (JWN) di bawah punca kuasa Akta Warisan Kebangsaan 2005 boleh memainkan peranannya iaitu memulihara, memelihara, melindungi dan mempromosikan kekayaan khazanah warisan Malaysia.

Melalui kerjasama strategik antara MAIN dan JWN, harta wakaf terpilih boleh diiktiraf menjadi sebahagian warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Ini adalah strategi untuk memastikan harta wakaf mendapat perhatian pihak berwajib dengan menyediakan peruntukkan khas, khususnya daripada aspek pemuliharaan dan penyelenggaraan bangunan.

Langkah pertama adalah mengenal pasti harta wakaf mempunyai nilai sejarah, budaya atau seni signifikan. Penilaian menyeluruh amat diperlukan untuk menentukan keadaan fizikal dan nilai sejarah harta wakaf terbabit.

Sebelum boleh diiktiraf sebagai warisan dunia, harta wakaf perlu mematuhi kriteria ditetapkan UNESCO termasuk keaslian, kepentingan sejarah atau budaya serta pemeliharaan berkesan.

Wujudkan program 'celik harta wakaf'

Maka, MAIN boleh menjalankan kerjasama dengan universiti tempatan bagi menyediakan dokumen penilaian harta warisan negara. Selain itu, MAIN boleh mewujudkan program 'celik harta wakaf' bersama komuniti setempat untuk mendapatkan sokongan dan pemahaman meluas mengenai usaha ini daripada masyarakat.

Bagi memastikan wujud pelan pemuliharaan dan pembangunan komprehensif, MAIN atas nasihat JWN perlu memastikan harta wakaf dikekalkan dan dipelihara dengan sempurna sambil membolehkan akses sesuai untuk pengunjung atau masyarakat setempat.

Contohnya, Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, disenaraikan sebagai bangunan warisan oleh JWN. Masjid ini adalah contoh, bagaimana bangunan wakaf menjadi tumpuan ramai dapat dipelihara supaya terus berada dalam keadaan baik.

Usaha pendidikan dan kesedaran perlu dijalankan untuk menyampaikan nilai serta kepentingan harta wakaf sebagai warisan dunia kepada masyarakat setempat dan antarabangsa. Justeru, kempen kesedaran menjaga harta wakaf sebagai warisan negara perlu diperkasakan.

Bermakna, penting untuk MAIN memastikan dokumentasi dan fizikal harta wakaf mencapai piawaian Badan Warisan Malaysia kerana apabila harta wakaf diiktiraf sebagai warisan negara, sumber kewangan mencukupi akan diperuntukkan pihak berwajib.

Selepas hartanah wakaf diiktiraf sebagai warisan dunia, penting untuk menyediakan mekanisme pemantauan dan penilaian berterusan bagi memastikan keadaan fizikal dan nilai sejarahnya terpelihara dengan baik.

Oleh itu penting, untuk MAIN merangka strategi memfokuskan kepada pendaftaran harta wakaf sebagai warisan negara ke dalam Daftar Warisan Kebangsaan.

Proses ini tentunya boleh mendapat kerjasama daripada JWN kerana, tugas melindungi harta wakaf bukan sahaja terletak pada MAIN selaku pemegang amanah, malah seluruh umat Islam perlu menjaga harta wakaf sebaiknya.

Penjagaan harta wakaf dari aspek maqasid syariah juga sangat penting supaya ia tidak hanya mengekalkan warisan berharga untuk generasi akan datang, tetapi membuka pintu kepada peluang baharu untuk pertumbuhan dan kemajuan berkekalan.

Apabila harta wakaf yang wujud diiktiraf sebagai harta warisan, harta wakaf ini akan turut dipelihara dalam aspek dokumentasi melalui kajian ilmiah, sekali gus mengangkat martabat Islam dan umatnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak

Berita Harian X