Selasa, 13 Februari 2024 | 11:28am
Sektor komoditi memainkan peranan penting dalam ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dan perolehan eksport. - Foto hiasan
Sektor komoditi memainkan peranan penting dalam ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dan perolehan eksport. - Foto hiasan

Kerjasama rentas kementerian tangani kenaikan harga komoditi

SEKTOR komoditi memainkan peranan penting dalam ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dan perolehan eksport, di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Sektor ini pembekal utama makanan dan bahan mentah untuk industri berasaskan sumber.

Secara purata, sektor ini menyumbang RM18.1 hingga RM24.4 bilion setiap suku tahunan dari suku tahun pertama 2019 sehingga suku tahun ketiga 2023.

Selari dengan peranan utama sektor komoditi, kerajaan terus mengambil langkah pelarasan bagi mempercepatkan daya saing sektor ini bagi membolehkannya menghadapi cabaran baharu pada tahap domestik dan antarabangsa.

Antara langkah itu adalah melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 1.0 -2011 hingga 2020) bermatlamat menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan, meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani dan menjadikan industri agromakanan sebagai industri berdaya saing lagi mampan. Kini kerajaan melaksanakan DAN 2.0.

Di samping itu, Dasar Komoditi Negara (DKN -2011 hingga 2020) bermatlamat meningkatkan sumbangan industri komoditi kepada ekonomi negara, memoden dan mentransformasi industri komoditi untuk berdaya saing dan mampan, menggalakkan pertumbuhan di sepanjang rantaian nilai industri komoditi, meningkatkan pendapatan pengusaha industri komoditi termasuk pekebun kecil, dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi perladangan dan pemprosesan berasaskan komoditi industri.

Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) pula menggariskan penekanan dan hala tuju lapan komoditi utama iaitu kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biojisim dan biobahan api.

Dalam usaha melunaskan matlamat digariskan, cabaran kini dan seterusnya adalah supaya produk komoditi ini mampu dinikmati pengguna. Namun, isu menjadi semakin kritikal kerana berdasarkan pemantauan harga purata agromakanan terpilih pada peringkat runcit Semenanjung mendapati kebanyakan komoditi mencatatkan peningkatan terutamanya bagi sayur jenis kekacang dan sayuran berbuah.

Data Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merekodkan trend peningkatan harga purata barangan runcit harian dan ia mencecah tahap amaran kedua.

Senario kenaikan harga ini, jika diambil ambil lewa akan menimbulkan masalah besar kepada ekonomi Malaysia secara menyeluruh seperti inflasi, penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penurunan kuasa beli pengguna, pendapatan benar pengguna merosot, peningkatan jurang pendapatan dan kelestarian ekonomi negara serta isi rumah. Dalam jangka panjang, meningkatkan kadar kemiskinan tegar dan jenayah pula.

Dari perspektif ekonomi, kenaikan harga ini mungkin disebabkan penawaran berkurang atau permintaan semakin meningkat dari masa ke semasa melebihi tindak balas peningkatan penawaran.

Memang benar ada usaha kerajaan untuk meningkatkan penawaran produk komoditi, namun faktor lain seperti pemanasan global dan perubahan suhu atau musim, isu geopolitik seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang mewajibkan produk dijual di negara EU tidak membawa kepada penebangan hutan, ketidakstabilan ringgit dan kekurangan tenaga kerja.

Ia termasuk desakan permintaan semakin meningkat kesan daripada peningkatan jumlah populasi dari dalam dan luar negara serta sifat produk komoditi sendiri yang juga produk keperluan penduduk di Malaysia.

Justeru, isu ini perlu diperhalusi kerajaan merentas kementerian selain kajian lebih serius dan terperinci amat diperlukan supaya kenaikan harga produk komoditi ini tidak menjadi lebih parah pada masa akan datang.

Penulis adalah Ketua, Jabatan Perniagaan dan Pengurusan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Berita Harian X