Isnin, 12 Februari 2024 | 8:48am
Podcast medium penyebaran maklumat popular masa kini. - Foto hiasan
Podcast medium penyebaran maklumat popular masa kini. - Foto hiasan

Podcast perlu berpaksikan etika, moral elak kegusaran awam

ERA digital semakin berkembang dalam masyarakat global apabila program atau kandungan video podcast menjadi satu platform semakin popular bagi individu untuk berkongsi idea, cerita dan pandangan mereka terhadap sesuatu isu termasuk yang sensitif.

Seiring kebebasan diberikan platform ini, timbul juga tanggungjawab untuk memastikan isu dibincangkan perlu disampaikan dengan penuh pertimbangan moral dan etika.

Podcast muncul pada 2004 dan pada awal kemunculannya, umum memahami podcast sebagai penyiaran fail audio digital dimuat naik ke platform dalam talian untuk didengar secara langsung menggunakan desktop, gajet atau dihantar ke peranti media mudah alih.

Podcast adalah sebahagian daripada media kandungan yang mendapat perhatian ramai kerana lebih fleksibel dan intensif berbanding siaran radio. Malah ia boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja serta mempunyai pelbagai topik boleh dibincangkan.

Ia juga bebas daripada iklan dan lebih signifikan dalam memenuhi permintaan pendengar mendambakan kupasan pelbagai topik dan isu semasa termasuk hal perhubungan, keluarga dan kesihatan secara bebas tanpa sekatan. Hari ini, pengertian itu sudah diperluaskan kepada penstriman lain seperti platform YouTube dan pelbagai aplikasi berasaskan laman web.

Di luar negara, teknik podcast seperti temu bual santai dan pendedahan peribadi merangkumi isu sensitif dan kontroversi, misalnya dalam hal bertentangan dengan moral dan agama semakin meluas. Hal ini menyebabkan ia meraih populariti di pelbagai saluran media sosial, kononnya dengan alasan 'pendedahan kepada realiti sebenar' dengan tujuan memberi kesedaran umum.

Hal ini tidak boleh menjadi ikutan pencipta dan pengelola podcast di negara ini kerana sudah tentu boleh mencetuskan kegusaran dan kemarahan awam. Maka, pengendali podcast perlu mengambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab terhadap topik dibincangkan supaya tidak mencetuskan kegusaran awam.

Pengelola kena bijak menilai isu

Ini boleh dilaksanakan dengan pengelola podcast memahami kepentingan pendekatan moral dan etika dalam pembinaan serta penyampaian kandungan dipilih untuk dibincangkan serta disiarkan.

Isu dibincangkan tidak seharusnya menggambarkan atau mempromosikan tindakan atau tingkah laku bertentangan moral atau nilai masyarakat, apatah dari sudut keagamaan walaupun atas alasan 'memberikan kesedaran umum'. Hal ini dikhuatiri menggalakkan aktiviti tidak bermoral, mencetus pula kepada masalah seperti menormalisasi perkara sensitif.

Berfungsi sebagai medium penyebaran maklumat, podcast harus mengutamakan kepentingan kesejahteraan umum dan integriti moral dengan mempersembahkan isu menepati definisi sensitiviti tempatan. Ini termasuk memberikan konteks sesuai, mengelak perkara sensasi dan menangani isu berbangkit dengan penuh empati serta penghormatan terhadap mangsa atau individu berkaitan bagi menggambarkan keinsafan atau pengajaran kepada kehidupan masyarakat.

Pengelola podcast perlu melihat bagaimana isi kandungan media mereka boleh membawa manfaat pada jangka panjang kepada masyarakat dengan menggalakkan perkongsian dan perdebatan membantu memupuk persekitaran sihat, positif dan berdaya maju.

Ini membantu penonton atau pendengar berfikir secara kritis dan boleh mempertimbangkan implikasi moral menerusi tindakan dan keputusan baik atau buruk serta memahami perbezaan antara hak, batasan moral dan agama.

Kepentingan untuk mendekati isu dengan moral dan etika dalam podcast bukan sekadar mengenai pematuhan kepada peraturan atau norma sosial semata-mata, tetapi berkait rapat dengan aspek memartabat nilai kemanusiaan, penerapan kesedaran dan nilai empati dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks isu sensitif dibincangkan dalam podcast, paparan secara berterusan terhadap mesej negatif boleh membentuk persepsi dan keyakinan individu terhadap realiti sosial, walaupun pada dasarnya tujuan paparan adalah untuk membendung sesuatu aktiviti tidak sihat.

Untuk mengelak berlaku pembentukan pemikiran dan impak negatif dalam masyarakat, pengelola podcast perlu menyampaikan isu sensitif dengan menyediakan konteks sesuai dan menyeluruh dengan menjelaskan implikasi moral serta sosial, selain memberikan pandangan rasional untuk membantu audien memahami isu secara menyeluruh.

Pengelola kandungan disaran tidak memberikan pendedahan berlebihan terhadap isu sensitif, selain menawarkan pemahaman mendalam dan kritis dengan berpaksikan nilai moral dan etika khasnya seiring Perlembagaan dan Rukun Negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Berita Harian X