Ahad, 11 Februari 2024 | 8:12am

Penerapan AI jadikan perakaunan lebih dinamik

Di sebalik kebimbangan terhadap gelombang dicetuskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang diramalkan menjejaskan hampir 40 peratus pekerjaan, sektor perakaunan tanah air semakin mengangkat teknologi itu sebagai pemacu utama meningkatkan kecekapan dan keselamatan dalam operasi kewangan.

Keperluan untuk menerima pakai teknologi ini semakin mendapat pengiktirafan, sekali gus membuka peluang besar untuk membentuk masa depan perakaunan negara.

Menurut Mordor Intelligence, saiz pasaran AI dalam sektor perakaunan dianggarkan pada AS$1.56 bilion (RM7.45 bilion) pada tahun ini dan dijangka mencapai AS$6.62 bilion (RM31.6 bilion) menjelang 2029.

Pertumbuhan ini disebabkan pelbagai faktor, termasuk pertumbuhan pesat data kewangan dan keperluan untuk meningkatkan ketelusan serta kebolehpercayaan dalam pelaporan kewangan.

Aplikasi AI boleh dilaksanakan dalam pelbagai jenis tugasan perakaunan seperti simpan kira, pengauditan dan cukai, selain digunakan institusi kewangan serta perdagangan sekuriti.

Semua operasi ini bersifat rumit dan memakan masa sekiranya dilakukan menggunakan kaedah perakaunan tradisional. Bagaimanapun, dengan menggunakan teknologi AI, akauntan boleh menghabiskan masa berharga mereka untuk menguruskan perkara lebih kompleks yang memerlukan pemikiran kritis.

Tingkat kecekapan operasi

Ini menunjukkan penerapan AI dalam sektor perakaunan tidak hanya memberikan peningkatan operasi efisien, bahkan keupayaan unik untuk mengatasi cabaran semasa. Satu aspek penting ialah peningkatan kecekapan operasi yang dapat dicapai menerusi automasi tugas rutin.

Dengan AI, proses penyelarasan akaun, pemprosesan invois, dan tugas kewangan lain dapat dijalankan secara lebih cepat dan tepat.

Selain itu, kebolehpercayaan maklumat kewangan menjadi terjamin dengan penggunaan AI dalam penyediaan laporan. Teknologi ini mampu menyemak data secara sistematik, mengurangkan risiko kesilapan manusia dan memberikan keyakinan kepada pihak berkepentingan terhadap integriti penyata kewangan syarikat.

Dalam konteks pelaporan kewangan, penggunaan AI juga memberikan kelebihan dalam menganalisis data dengan cepat dan tepat. Ini membantu akauntan dan pihak pengurusan untuk membuat keputusan lebih tepat berdasarkan maklumat terkini, memberikan ketelusan dihargai dalam pengurusan kewangan.

Sektor pendidikan dalam bidang ini juga semakin mengiktiraf pentingnya integrasi AI dalam kurikulum. Institusi pendidikan perakaunan tanah air dalam proses menyediakan kursus dan latihan berkaitan teknologi AI, sekali gus memastikan graduan memasuki pasaran kerja dengan kemahiran relevan serta terkini.

Namun, terdapat cabaran dalam pelaksanaan teknologi ini dalam sektor perakaunan negara. Masih ada syarikat ragu-ragu atau kekurangan sumber melaksanakan AI sepenuhnya.

Kesedaran dan sokongan penuh daripada pihak industri dan kerajaan penting untuk meyakinkan lebih banyak syarikat terhadap manfaat dan potensi teknologi ini.

Realitinya, penerapan AI dalam sektor perakaunan tanah air bukan sahaja melonjakkan prestasi operasi, bahkan membuka peluang untuk pertumbuhan ekonomi mampan. Langkah itu penting dalam menjadikan perakaunan lebih dinamik dan menyokong pembangunan ekonomi negara.

Dengan masyarakat perniagaan dan pendidikan bersatu tenaga, Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai keunggulan dalam era digital ini.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Kajian Perniagaan Global dan Ekonomi Digital, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Malaysia (UKM)

Berita Harian X