Jumaat, 9 Februari 2024 | 11:18am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Strategi antirasuah perlu efektif tutup tiga faktor utama jenayah

Masihkah wujud amalan 'duit kopi' atau 'pengeras' untuk mendapatkan sesuatu seperti keutamaan, perhatian, kelonggaran istimewa atau apa-apa kepentingan tertentu secara pintas atau mengikut jalan belakang?

Sebenarnya senario ini tidak banyak berubah walaupun kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 meningkat hingga mencapai 50 mata pada tahun lalu berbanding 47 mata sebelumnya daripada keseluruhan 100 mata skor dalam pengumuman Transparency International Malaysia, baru-baru ini.

Peningkatan ini menaikkan Malaysia berada di tangga ke-57 bagi tahun lalu berbanding ke-61 (2022). Pada satu sisi, kita gembira kerana ada perubahan baik sedang berlaku dalam membanteras rasuah tetapi ia juga isyarat masih banyak kerja keras perlu dilakukan dengan tekad lebih gigih.

Hakikatnya, sejak sedekad lalu, kedudukan Malaysia dalam CPI berlegar di sekitar skor purata 49. Data ini bukan sekadar angka statistik tetapi menggambarkan tahap rasuah kritikal. Suatu ketika dulu, skandal 1MDB menyebabkan Malaysia terkenal secara salah.

Umumnya, gejala rasuah diketahui punca kebinasaan kerana kunci membuka jalan kepada jenayah lain terutama apabila membabitkan isu penguatkuasaan undang-undang.

Selagi kitaran rasuah 'terpelihara' serta sistem mekanisme semak dan imbang tidak dapat ditegakkan, selagi itu rantaian rasuah akan terus menyubur dan sukar dibanteras.

Ahli kriminologi Amerika Syarikat (AS), Dr Donald R Cassey pernah memperkenalkan hipotesis penting pada 1953, iaitu tiga faktor utama berlakunya jenayah penipuan (termasuk rasuah) iaitu peluang, tekanan dan rasionalisasi.

Faktor peluang didorong rasa ada kemampuan melakukannya dengan keyakinan perbuatan terbabit tidak dapat dikesan, ditangkap atau hukumannya terlalu ringan. Peluang ini timbul apabila ada penguatkuasaan lemah serta kegagalan sistem semak dan imbang untuk berfungsi.

Tekanan pula mewujudkan desakan melakukan rasuah. Kesempitan kewangan, keinginan diri atau konflik hidup antara punca menimbulkan dorongan memberikan atau menerima rasuah.

Rasionalisasi ialah usaha meyakinkan diri bahawa penipuan adalah perbuatan wajar atas alasan seperti 'hanya meminjam' atau menggantikan bonus sepatutnya diterima. Unsur penipuan ini paling kompleks untuk difahami dan ditentukan.

Keutuhan sistem semak dan imbang

Menurut Pengerusi Transparensi Antarabangsa, Francois Valerian, rasuah akan terus berakar hingga sistem keadilan mampu menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan dilanggar manakala kerajaan dapat dikawal melalui keutuhan sistem semak dan imbang.

Tambahnya, apabila keadilan dibeli atau dihalang campur tangan politik, rakyat akan menderita. Beliau mengatakan, pemimpin harus komited sepenuhnya untuk menjamin kemerdekaan institusi menegakkan undang-undang dan menangani rasuah.

Jelas terbukti negara mempunyai kadar korupsi tinggi akan mengalami masalah ekonomi dan sosial kritikal. Bahkan, sistem terbaik juga akan gagal apabila rasuah berleluasa kerana undang-undang tidak dihormati, penguatkuasaan lemah dan masyarakat sudah hilang nilai murni.

Hakikatnya, keazaman politik kuat diperlukan jika Malaysia mahu dikenali sebagai negara disegani kerana integriti. Strategi Antirasuah Nasional 2024-2029 yang bakal dilancarkan perlu berjalan dengan baik dan efektif agar berkesan mencegah rasuah, meningkatkan tata kelola dan integriti dalam pentadbiran awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Undang-undang perlu dapat bertindak untuk mencegah jenayah daripada berleluasa. Justeru, penggubalan dan pindaan undang-undang berkaitan rasuah seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Rasuah 2010 dilihat perlu bagi memperbaiki kelemahan dan menutup lompong.

Idea mewujudkan mahkamah khas untuk perbicaraan kes rasuah ada kepentingannya bagi meningkatkan kecekapan usaha menangani gejala serius ini. Tidak dapat dinafikan, rasuah sudah lama membelenggu negara hingga berakar umbi dalam segenap peringkat.

Tentunya gejala ini memerlukan masa panjang untuk diperangi tetapi perlu ada tindakan mampu memberikan impak besar dan membawa perubahan signifikan. Reformasi menyeluruh perlu dilakukan bagi mengubah nilai dalam masyarakat.

Apabila rasuah dinormalisasikan, golongan rentan akan tertindas kerana mempunyai akses terhad kepada keadilan, sebaliknya golongan kaya dan berkuasa mengekang sistem hingga mengorbankan kepentingan bersama.

Penulis adalah Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Berita Harian X