Khamis, 8 Februari 2024 | 11:59am
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Ilmu urus kewangan isi rumah elak terjebak perangkap muflis

Masyarakat kontemporari kini perlu bersedia menghadapi cabaran kompleks dalam menguruskan kewangan isi rumah di era kepesatan teknologi digital. Dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan, pendekatan inovatif seperti pengurusan maklumat bersifat analitik perlu diberi tumpuan utama.

Senario terkini menunjukkan, sebanyak 247,407 kes bankrap terkumpul direkodkan sehingga September tahun lalu di seluruh negara. Kategori isi rumah paling ramai terbabit kes bankrap ialah belia berusia 35 tahun hingga 44 tahun. Angka ini memberi petunjuk ringkas bersifat tanda tanya mengenai persediaan dan kecukupan kewangan golongan isi rumah menghadapi tempoh persaraan kelak.

Oleh itu, bagi merungkai permasalahan ini, satu kaedah merakayasa kewangan dalam kalangan isi rumah perlu diketengahkan sebagai modus operandi bagi mewujudkan kesejahteraan kewangan bersifat lestari.

Secara umumnya, proses merekayasa kesejahteraan kewangan sering kali membabitkan penyesuaian dalam aspek perbelanjaan, simpanan, pembiayaan, perancangan pelaburan dan pengurusan risiko secara berkesan bagi memastikan sumber kewangan mencukupi dalam jangka panjang.

Kesedaran situasi kewangan serta melaksanakan analisis teliti dan penggunaan strategi bijak amat penting bagi merekayasa kesejahteraan kewangan isi rumah. Bagaimanapun, proses ini perlu selari dengan kaedah pengurusan maklumat kewangan secara analitik yang bertindak sebagai penampan bagi menghadapi kesenjangan kewangan masa hadapan.

Pengurusan maklumat secara analitik

Langkah pertama ialah mengambil sikap proaktif dalam pengurusan maklumat kewangan isi rumah, iaitu melaksanakan pengurusan maklumat secara analitik menerusi pengumpulan data meluas dari pelbagai sumber. Sumber dimaksudkan ialah berkaitan harga pasaran semasa, kadar mata wang, kadar inflasi, kadar faedah pembiayaan dan risiko kewangan.

Hal ini membolehkan isi rumah menyelidik corak perbelanjaan, pendapatan dan keperluan kewangan dari semasa ke semasa serta mengatur strategi kewangan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang. Penyiasatan kendiri boleh dilaksanakan bagi memastikan kantung kewangan isi rumah sentiasa berada dalam keadaan kondusif pada setiap masa.

Langkah seterusnya ialah menerusi tindakan pemprosesan data. Data diperoleh pada proses pertama perlu disaring dengan sebaik mungkin bagi membolehkan percaturan gelagat kewangan dapat disusun dengan baik. Dalam hal ini, isi rumah perlu bersifat selektif bagi menentukan elemen perbelanjaan berdasarkan susunan keutamaan.

Cabaran utama dalam pemprosesan data kewangan peribadi ialah mengenepikan elemen kepentingan peribadi dan mengutamakan keperluan hakiki dalam setiap keputusan kewangan diambil. Bagi melengkapkan proses pengurusan maklumat kewangan bersepadu, pemahaman mendalam terhadap data kewangan diproses adalah penting.

Kefahaman holistik berlandaskan etika baik dalam merancang kewangan penting bagi membolehkan isi rumah meramal perubahan pasaran kewangan, peningkatan kos serta mengintai peluang pelaburan berpotensi dan memberi pulangan baik.

Sementara itu, penggunaan alat dan teknologi analitik canggih memudahkan proses pengumpulan, pemprosesan dan analisis data. Pada masa ini, terdapat pelbagai aplikasi kewangan mudah akses di media digital sebagai pemudah cara isi rumah pembuatan keputusan.

Namun, isi rumah perlu memastikan data dan maklumat kewangan peribadi tidak terdedah kepada risiko kebocoran, kehilangan atau kecurian pihak tidak bertanggung jawab. Penggunaan teknologi digital membolehkan isi rumah memperoleh maklumat terkini, memahami dan memanfaatkan analitik bagi meningkatkan literasi kewangan dan membuat keputusan.

Strategi penyelesaian dan pembangunan kecekapan perlu dirangka untuk memastikan keberkesanan pengurusan maklumat analitik supaya masalah hutang tidak berbayar, muflis dan kemiskinan dalam kalangan isi rumah dapat dikurangkan.

Ironinya, merekayasa kesejahteraan kewangan isi rumah menerusi pengurusan maklumat analitik adalah pendekatan memerlukan pemahaman mendalam, kecekapan dan pelaksanaan strategi yang praktikal.

Menerusi pendekatan bersepadu teknologi dan pengetahuan, individu dapat membuat keputusan kewangan lebih bijak, mengoptimumkan peluang penciptaan kekayaan dan meningkatkan kestabilan kewangan bagi masa depan.

Berita Harian X